BR1M : Agenda Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat, Sebuah Janji Ditepati

BR1M-2.0

1. Kerajaan Pusat telah pun mengagihkan BR1M 2.0 kepada individu yang layak sejak awal Februari lepas. Proses pengagihan masih berjalan untuk beberapa minggu akan datang bagi kawasan penerima yang ramai. Di kawasan Seri Serdang, seramai 28,000 penerima berjaya akan menerima bantuan secara berperingkat.

2. Sejak BR1M 1.0 diperkenalkan pada tahun lalu, ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan pemberian tunai ini. Ada yang berkata ianya bersifat rasuah menjelang pilihanraya. Tidak kurang pula yang menuduh kerajaan akan bangkrap kerana membelanjakan wang tanpa berhemah serta dakwaan kerajaan terpaksa menambah hutang kerana BR1M. Di saat pelbagai tuduhan tersebut dibuat, mereka pula berjanji bermacam perkara dalam kitab dongeng jingga. Orang ini berkata, kerajaan mampu melaksanakannya dan kerajaan tidak akan bangkrap seandainya semua itu dilaksanakan. Tanpa mereka sedar, mereka telah berbohong kepada rakyat.

3. Prinsip ekonomi yang asas menyatakan perbelanjaan kerajaan adalah berkadar terus dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Bila sesebuah kerajaan berbelanja, maka ekonomi negara akan semakin berkembang. Sebaliknya bila kerajaan kurang berbelanja, ekonomi akan menguncup. Pada tahun 1930, Amerika dan Eropah mengalami krisis ekonomi yang teruk. Presiden Hoover telah memberikan dana yang besar kepada bank dan syarikat perniagaan pada tahun 1932 sebagai langkah merangsang ekonomi. Ia diteruskan oleh Presiden Franklin D. Roosevelt pada tahun 1933. Namun ia gagal memulihkan ekonomi. Bila tercetusnya perang dunia ke 2 pada 1939, ekonomi Amerika mula berkembang. Perbelanjaan besar kerajaan dalam bidang persenjataan telah memberi rangsangan ekonomi yang sangat besar impaknya.

4. Negara barat cukup faham bagaimana kesan perang kepada ekonomi. Disebabkan itu, ada penganalisis politik beranggapan bahawa banyak peperangan dunia moden hari ini dicipta atas prinsip serampang dua mata – atas kepentingan politik dan rangsangan ekonomi melalui industri persenjataan. Dalam ketidaktentuan ekonomi global sekarang, kerajaan kita perlu merangsang ekonomi agar terus berkembang. Malaysia bukan sebuah negara yang cenderung untuk menggunakan peperangan sebagai satu mekanisme untuk memulihkan ekonomi. Sebaliknya, kerajaan cuba menggunakan mekanisme dalaman untuk merangsang ekonomi. Semua ini terbukti berjaya. Disaat negara lain masih bergelut mencari kaedah mengatasi krisis, ekonomi kita sudah pun berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi.

5. BR1M adalah satu mekanisme yang digunapakai. Ianya sebahagian dari agenda transformasi ekonomi negara. Melalui mekanisme ini, setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan melalui BR1M akan memberikan kesan berganda melalui rantaian ekonomi. RM500 yang diberikan kepada rakyat berpendapatan rendah, akan dibelanjakan untuk keperluan asas yang diperlukan. Jika dibelanjakan untuk keperluan makanan, maka ianya akan memangkin pertumbuhan industri makanan dan rantaiannya. Begitu juga, jika dibelanjakan untuk keperluan pengangkutan, pakaian, kediaman dan sebagainya. Semua ini akan merangsang ekonomi negara. Negara China mempunyai penduduk paling ramai di dunia. Bila rakyat mereka berbelanja, ianya sudah cukup untuk memberikan kesan yang kuat kepada ekonomi negara tersebut. Ini menyebabkan ekonomi China begitu kukuh hingga kurang terkesan dengan krisis ekonomi dunia.

6. Kerajaan dijangka akan membelanjakan sebanyak RM4.4 billion untuk BR1M 1.0 dan BR1M 2.0. Dengan andaian, hampir keseluruhan wang ini akan dibelanjakan melalui pelbagai industri berdasarkan keperluan rakyat, kesan rangsangan ini dapat dicapai dalam masa yang singkat. Dengan cara ini, rakyat mempunyai wang untuk berbelanja bagi memenuhi keperluan mendesak. Kesannya, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan akan meningkat. Peningkatan keuntungan pihak industri akan memberikan kesan kepada peningkatan cukai kepada kerajaan dan secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan baru kepada rakyat serta meningkatkan pendapatan rakyat. Implikasi dari tindakan ini, ekonomi akan terus berkembang.

7. Kerajaan mensasarkan dengan perlaksanaan BR1M ini, ekonomi akan dapat dikembangkan sebanyak 7%. Jika diteliti, strategi pemberian ini dilaksanakan berkonsepkan serampang dua mata – mengurangkan bebanan rakyat dan dalam masa yang sama bertujuan memberikan suntikan kepada ekonomi negara supaya terus berkembang.

8. Bagi menjayakan matlamat ini, kerajaan telah melaksanakannya secara bersepadu melalui pelbagai insentif seperti Bantuan Baucer Buku 1Malaysia, Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia, Bantuan Lesen 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi. Strategi sebegini pernah dilaksanakan kerajaan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara sewaktu krisis 1997/98 dengan kaedah yang hampir sama. Lebih awal dari itu, Perdana Menteri ke 2, Tun Abd Razak pernah melaksanakan Rancangan Tanah Felda untuk membasmi kemiskinan dan menjana pertumbuhan ekonomi melalui industri pertanian. Semua ini hanya akan dilaksanakan oleh pemimpin yang bijaksana dan berwawasan jauh.

9. Perdana Menteri, YAB Dato Seri Najib telah membayangkan bahawa BR1M akan diteruskan dan sekiranya ekonomi terus berkembang, berkemungkinan wang BR1M akan ditambah. Sewaktu BR1M 1.0 diberikan, pakatan pembangkang mendakwa ianya diberikan sebagai rasuah pilihanraya. Dakwaan tersebut ternyata meleset, 2012 bukanlah tahun pilihanraya. Bila BR1M 2.0 diberikan, sekali lagi mereka mendakwa ia diberikan disebabkan pilihanraya. Seandainya BN terus diberikan mandat dan kerajaan memberikan BR1M 3.0 pada tahun berikutnya, apakah ianya juga akan dianggap sebagai rasuah pilihanraya? Apakah pelbagai janji bulan dan bintang yang dibuat oleh pakatan pembangkang bukan rasuah pilihanraya?

10. Seandainya asas itu digunapakai, sepatutnya pemimpin pakatan juga perlu mendakwa bahawa penurunan harga minyak ke RM1.90 sebagaimana sekarang juga adalah rasuah pilihanraya. Malah banyak lagi tindakan kerajaan yang boleh dianggap sebagai rasuah pilihanraya. Antaranya memansuhkan yuran persekolahan, menurunkan tol disesetengah lebuhraya, memberikan subsidi untuk perkhidmatan kesihatan dan bermacam lagi tindakan kerajaan termasuklah membina sekolah, hospital, rumah ibadat dan sebagainya.

11. Dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, mana-mana kerajaan akan cuba melakukan tindakan yang dianggap popular. Apa juga tindakan popular akan mendorong rakyat untuk mengundi mereka dalam pilihanraya. Bila pakatan pembangkang di Selangor menjanjikan penurunan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20% dan 10% untuk premis perniagaan, ianya satu tindakan popular. Ini mendorong rakyat Selangor memberikan mandat kepada pakatan pembangkang untuk memerintah negeri. Sebaliknya, bila kerajaan negeri gagal menunaikan apa yang dijanjikan, maka ianya adalah satu tindakan tidak popular.

12. Mana-mana kerajaan yang melakukan tindakan tidak popular harus berdepan dengan risiko kehilangan mandat dalam pilihanraya. Rakyat diberi hak untuk memilih mana-mana parti sebagai pemerintah. Maka jika rakyat telah membuat keputusan yang tidak memihak kepada parti tertentu, usahlah kita menyalahkan sistem pemilihan yang tidak adil. Dalam soal janji cukai pintu, bukan sahaja ianya tidak diturunkan, malah disesetengah kawasan berlaku kenaikan yang cukup mendadak. Sudang barang tentu, kerajaan negeri sudah menjangka tahap kebolehpercayaan rakyat kepada kerajaan negeri Selangor sekarang ini. Disebabkan pemimpin pakatan cuba mempolitikkan apa sahaja isu bertujuan melencongkan pemikiran rakyat dari soal kegagalan mereka menunaikan janji.

13. Sebagai sebuah kerajaan yang diamanahkan untuk mentadbir negara, kerajaan memerlukan wang. Wang ini datang dari hasil kutipan cukai individu dan korporat melalui pelbagai industri disamping hasil dari pelaburan langsung kerajaan melalui GLC. Wang ini akan dibelanjakan semula untuk pembangunan negara dan kemudahan rakyat. Jika wang yang kutip tidak dibelanjakan, ia tidak memberi sebarang makna kepada ekonomi. Dalam contoh klasik, kita melihat bagaimana orang-orang tua di kampung dulu menyimpan wang dirumah dibawah bantal. Dari sudut ekonomi, wang itu ditakrifkan tidak mempunyai nilai ekonomi. Sampai satu ketika, wang tersebut mengalami penyusutan nilai disebaban faktor inflasi dan sebagainya.

14. Begitu juga kerajaan yang hanya menabung dan tidak membelanjakan wang yang dikumpul untuk pembangunan negara. Walaupun mereka boleh berbangga mempunyai wang banyak, tetapi rakyat akan menderita disebabkan tiada pelbagai kemudahan rakyat disediakan. Rakyat akan berhadapan dengan situasi jalanraya yang teruk dan tidak diselenggara dengan baik. Kemudahan riadah tidak dapat dinikmati sepenuhnya akibat kemudahan taman sudah rosak. Semua ini sedikit sebanyak akan menjejaskan kualiti hidup rakyat. Jika dibiarkan, ia turut memberikan kesan kepada pelabur. Bila pelabur sudah tidak lagi berminat untuk melabur, maka rakyat akan kehilangan mata pencarian. Kadar pengangguran akan meningkat seterusnya menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dan jenayah.

15. Disebabkan itu, sebagai kerajaan yang bertanggunjawab, mereka perlu bijak menguruskan negara mahupun negeri dengan membelanjakan wang ke jalan yang betul melalui pelbagai program pembangunan dan kemudahan rakyat. Sebuah organisasi perniagaan boleh berkembang bila ada suntikan modal. Mereka akan meminjam dari institusi kewangan. Dengan tambahan modal, ia akan dibelanjakan untuk memperolehi teknologi baru untuk meningkatkan produktiviti. Dengan cara itu, pendapatan akan meningkat dan keupayaan pembayaran balik pinjaman juga meningkat.

16. Semakin besar sesuatu perniagaan itu, maka makin besar modal yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan. Jika perniagaan bertaraf IKS memerlukan pinjaman dalam lingkungan puluhan ribu hingga ratusan ribu, mungkin industri besar memerlukan dana sehingga ratusan juta. Soal kuantiti pinjaman tidak boleh digunakan sebagai satu-satunya kayu ukur untuk menilai kedudukan ekonomi sesebuah organisasi perniagaan. Ada perniagaan yang hanya meminjam RM10 ribu tetapi tiada keupayaan membayar balik pinjaman. Manakala ada pula organisasi yang meminjam RM100 juta tetapi tetap mempunyai keupayaan membayar balik pinjaman yang dibuat.

17. Pada tahun 2010, nisbah hutang berbanding KDNK negara Jepun adalah sebanyak 200%. Singapura pula mempunyai nisabah hutang sebanyak 96.29%. Walau pun begitu, negara ini tetap mempunyai ekonomi yang kukuh. Berbeza pula dengan Greece yang mempunyai nisbah hutang yang tidak setinggi Jepun iaitu 142.76%, tetapi ekonomi negaranya muflis. Berdasarkan fakta ini, negara tidaklah berada dalam keadaan sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin pakatan pembangkang. Dengan pelbagai program untuk memangkin ekonomi negara yang dilakukan secara berhemah, negara tetap berada dilandasan yang kukuh untuk mencapai negara maju menjelang 2020.

18. Pemimpin pakatan rakyat sentiasa mencari peluang untuk memburuk-burukkan kerajaan. Apa juga juga usaha kerajaan akan ditentang dan dimomokkan dengan pelbagai fitnah dan tohmah demi meraih sokongan politik. Pepatah melayu ada berkata, benih yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau. Begitu juga segala usaha baik yang sedang digerakkan oleh YAB Perdana Menteri. Marilah kita semua berdoa agar segala usaha memakmur negara, mensejahterakan rakyat dan melaksanakan sebuah janji ditepati ini akan memberikan kesan positif kepada seluruh warga Malaysia!

Satim Diman
Ketua Pembangkang Selangor

[PENGUMUMAN]
Majlis Rumah Terbuka Malaysia sempena Tahun Baru Cina yang akan dirasmikan oleh YAB Dato Seri Najib bin Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia akan diadakan:
Tarikh: 16hb February 2013 (Sabtu)    Masa: 8.00 malam
 Tempat: Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor
Semua dijemput hadir untuk bersama Perdana Menteri meraikan majlis sambutan.

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in PKR, UMNO and tagged , , . Bookmark the permalink.

1 Response to BR1M : Agenda Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat, Sebuah Janji Ditepati

  1. Noor Ain says:

    Terime kasih kpd kerajaan BN yg prihatin dgn nasib rakyat.. BN hanye utk Negara MALAYSIA..

Leave a comment