Nik Aziz – BR1M Ibarat Memberi Makan Ayam dan Lembu. Hj Hadi – BR1M Idea Bodoh Dan Menerimanya Juga Bodoh.

nik+aziz+brim

1. Penghinaan Nik Aziz dengan menganggap usaha kerajaan memberi BR1M sebagai memberi makanan kepada haiwan mengundang kemarahan banyak pihak secara spontan. Reaksi sebegini memang dijangka. Dalam media internet, Nik Aziz dikritik keras sehingga ke tahap ada menggelarkan beliau dengan perkataan yang kurang enak didengar.

2. Itulah risiko yang dihadapi oleh mana-mana pemimpin politik. Apatah lagi bila seseorang pemimpin itu bercakap semberono sesedap rasa. Orang-orang tua selalu berpesan, jika tidak mahu dihina maka jangan sesekali menghina orang lain. Sebaliknya bila kita sanggup menghina orang, maka kita juga perlu sanggup menerima penghinaan. Begitulah lumrah hidup di alam ini.

3. Sebelum ini saya telah membuat ulasan tentang mengapa perlunya BR1M dilaksanakan untuk merangsang ekonomi negara. Sila rujuk di sini. Matlamat lebih besar yang ingin dicapai oleh kerajaan dalam pemberian pelbagai bantuan ini adalah untuk memulihkan ekonomi dan dalam masa sama membantu golongan berpendapatan rendah. Jika tindakan yang dilakukan ini dapat menambah sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah, sudah pasti ia akan menjadi satu bonus.

4. Seandainya BR1M satu-satunya cara untuk membeli undi sebagaimana didakwa oleh pemimpin Pas, kerja Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak tentunya amat mudah. Berikan sahaja BR1M setiap tahun dan tidak perlulah beliau berbuat apa-apa lagi. Hakikatnya ia bukan sebegitu mudah. Negara perlu diurus dengan bijaksana. Sejak dari merdeka, para pemimpin negara memerah segala kudrat untuk memajukan dan memakmurkan negara. Apa yang kita kecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah. Ianya tidak datang bergolek di depan mata sebagaimana yang difikirkan sesetengah orang termasuk pemimpin Pas.

5. Sebagaimana pandangan ramai orang, saya juag amat tidak bersetuju dengan padangan Nik Aziz. Apa pun alasannya, membuat perumpamaan penerima BR1M sebagai ayam dan lembu agak keterlaluan. Sewaktu pilihanraya kecil Galas, pernah tersebar di alam maya gambar Nik Aziz sedang memberikan wang kepada masyarakat orang asli. Walau pun ada yang menggelarkannya sebagai rasuah untuk pilihanraya. Namun saya cuba berbaik sangka dengan menganggapnya satu bantuan berupa wang tunai dari kerajaan negeri pimpinan Pas. Sewaktu itu, kenapa perumpamaan memberi makanan kepada haiwan tidak timbul? Apakah kerana yang memberi bantuan itu Nik Aziz maka ia dibolehkan?

nik aziz rasuah

6. Jika soal kerajaan memberi bantuan tunai ini dianggap sesuatu yang salah, bagaimana pula dengan program Jom Shopping Selangor? Apakah memberikan baucer shopping RM100 kepada warga emas juga satu kesalahan? BN Selangor tidak pernah menghina penerima baucer dengan menganggap mereka sebagai haiwan. Malah kita menuntut kerajaan negeri memberikan kepada semua yang layak, bukan kepada kumpulan tertentu sahaja. Kita menyokong sebarang usaha untuk kebaikan rakyat selagi rakyat yang patut menerimanya tidak dinafikan haknya sebagaimana berlaku dalam isu air dan lain-lain.

7. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga pernah memberikan bantuan tunai RM100 kepada warga emas. Malangnya ia menjadi isu kontroversi bila wujud dakwaan bahawa duit itu datang dari hasil wang perjudian. Sebagai pemimpin bergelar ulama, kenapa Nik Aziz tidak menggelarkan apa yang dilakukan Guan Eng itu sebagai usaha memberi makanan kepada haiwan? Jawapannya sudah pun kita maklum. Lim Guan Eng adalah pemimpin pakatan, maka apa juga yang dilakukan akan dianggap halal. Ini adalah sifat assobiyah sebenar yang diamalkan oleh ulama Pas.

8. Selepas kritikan Nik Aziz, kini giliran Hj Hadi pula membuat kritikan terhadap perlaksanaan BR1M. Dengan nada sedikit berbeza tetapi tetap seirama, Hj Hadi mendakwa pemberian BR1M adalah satu idea bodoh dan penerimanya juga adalah orang yang bodoh. Hj Hadi menyifatkan dengan pemberian tunai sebegini, ia tidak mengajar rakyat untuk berusaha. Dengan nada yang sinis, beliau menyindir kerajaan seolah-olah memberi ikan tanpa memberi pancing.

9. Apa yang diungkapkan oleh Hj hadi ternyata tidak ada asas tanpa sebarang fakta yang jelas. Sejak dari merdeka, begitu banyak bantuan telah diberikan oleh kerajaan untuk membantu rakyat bagi membina kehidupan lebih baik. Sebut sahaja, golongan mana yang tidak mendapat bantuan? Pelajar, peniaga kecil, golongan profesional, rakyat miskin, petani dan nelayan. Semuanya diberi ruang untuk memohon bantuan. Sudah pasti mereka disyaratkan untuk menunjukkan sedikit usaha bagi memperolehinya.

10. Peluang pendidikan yang diberikan seluas-luasnya kepada rakyat negara ini adalah joran pancing paling berguna yang diberikan oleh kerajaan. Hasilnya ramai graduan, golongan profesional dan ahli akademik berjaya dilahirkan. Mereka ini mempunyai pendapatan yang stabil. Sebahagiannya pula mempunyai kerjaya yang hebat. Jika Hj Hadi membuat beranggapan bahawa kerajaan tidak memberi pancing sebagaimana didakwa, beliau cuba menafikan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan atas kepentingan politik parti semata-mata.

11. Sebagai satu perbandingan, kita perlu bertanya apa pula sumbangan kerajaan Pas sepanjang 5 tahun memerintahh Kedah dan 23 tahun di Kelantan? Kerajaan pimpinan Nik Aziz perlu menunjukkan bukti berapa buah institusi pendidikan yang mereka wujudkan di Kelantan? Di Kedah, kemelut yang melanda Kolej Universiti Insaniah (KUIN) belum ada tanda penyelesaian. Kakitangan sudah mula merungut tentang soal pembayaran gaji. Pelajar pula dibebankan dengan kenaikan yuran berganda. Ini berlaku disebabkan kegagalan pemimpin Pas dalam mengurus negeri. Universiti Industri Selangor (Unisel) juga tidak terlepas dari menjadi mangsa kegagalan pimpinan Pakatan mengurus negeri.

12. Jika hendak menguruskan institusi pendidikan yang sedia ada pun, pemimpin ini tidak mampu, apatah lagi untuk mengharapkan mereka membina deretan institusi pendidikan. Ibaratnya, bukan setakat hendak memberi joran untuk memancing, joran yang ada pun dinaikkan sewanya, bagaimana rakyat hendak memancing! Peliknya, dalam keadaan ini pemimpin Pas masih tidak malu untuk mengkritik orang lain kononnya apa yang dilakukan itu semua salah.

13. Sebagai satu lagi kajian kes, cuba kita bandingkan pula Tanah Rancangan Felda dan Projek Ladang Rakyat oleh kepimpinan Pas Kelantan. Dalam projek Felda, peneroka yang asalnya penduduk miskin diberikan tanah dan pelbagai bantuan untuk mengusahakan ladang. Tapak rumah berdekatan ladang diberi agar mereka dapat membina rumah hasil hasil titik peluh mereka sendiri secara gotong royong. Bila tanaman mereka mengeluarkan hasil, kerajaan melalui Felda membantu memasarkannya. Mereka mendapat pulangan dari hasil yang diusahakan dan sebahagian kecil dari hasil tersebut dipulangkan semula kepada Felda untuk pembangunan masa depan mereka. Hari ini masyarakat Felda bukan lagi tergolong dari masyarakat miskin sebagaimana puluhan tahun lalu. Mereka mendapat pulangan hasil dari pengorbanan yang telah dicurahkan.

14. Dalam projek Ladang Rakyat pula, kerajaan negeri memberi tanah konsesi kepada syarikat swasta milik warga asing. Atas nama Ladang rakyat, balak-balak ditebang untuk mendapat keuntungan secara mudah. Peserta ladang rakyat tidak dilibatkan sama dalam projek yang diusahakan. Peserta pula diberi saham ladang rakyat (kebanyakan pemimpin bawahan pas) dan hanya menerima wang tunai beberapa ratus ringgit setiap bulan tanpa pernah melihat ladang yang diusahakan. Tiada jaminan bahawa peserta akan terus kekal menjadi peserta sekiranya mereka tidak lagi aktif dalam aktiviti parti. Samada benar ladang itu wujud atau sekadar atas angin, hanya pemimpin Pas sahaja yang boleh mengesahkannya.

15. Maka jika dibandingkan dengan akal yang waras, kita boleh menilai siapa yang memberi pancing dan siapa yang memberi ikan sebagaimana didakwa oleh Hj Hadi. Sebelum Hj Hadi mengkritik BR1M yang dilaksanakan oleh kerajaan BN, seeloknya beliau mengkritik dahulu kerajaan pimpinan Nik Aziz yang jelas tidak berlaku adil kepada rakyatnya.

16. Hj Hadi menyimpulkan bahawa idea BR1M adalah satu idea yang bodoh. Pengikut tegar Pas akan percaya apa yang dikatakan oleh presiden Pas itu. Tetapi bukan semua rakyat Malaysia begitu bodoh untuk menelan bulat-bulat apa yang dikatakan. Bank Negara dalam laporan tahunannya melaporkan pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.4% pada suku ke empat 2012. Peningkatan ini banyak disumbangkan oleh permintaan domestik pengguna kesan langsung dari pemberian pelbagai bantuan kerajaan termasuk BR1M.

siaran+bank+negara

17. Angka pertumbuhan ini menunjukkan usaha kerajaan memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah telah memberi impak positif untuk menaikkan ekonomi negara. Bagi keseluruhan tahun 2012, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6%. Angka yang dicatatkan oleh negara adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Kerajaan telah menetapkan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5.4% untuk lapan tahun akan datang bagi mencapai wawasan 2020.

economic+growth+2012

18. Pakar ekonomi meramalkan kita telah pun berada dilandasan yang betul untuk mencatat pertumbuhan lebih baik pada masa akan datang. Dengan perlaksanaan BR1M 2.0 kita yakin ia mampu melonjakkan ekonomi negara pada suku pertama 2013. Ditambah dengan jangkaan ekonomi global yang sedang menunjukkan pemulihan, pastinya ekonomi akan terus berkembang.

19. Perkembangan ekonomi yang baik akan memberi kesan secara langsung kepada rakyat negara ini. Peluang pekerjaan akan bertambah dan hasil negara juga bertambah. Dengan ini lebih banyak wang dapat pulangkan semula kepada rakyat melalui aktiviti pembangunan dan kebajikan rakyat. Maka dimana bodohnya apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pusat hari ni sepertimana didakwa oleh presiden Pas? Pada pandangan pemimpin Pas, apa yang dilakukan oleh orang lain semuanya salah. Hakikatnya bila diberi peluang memerintah, mereka langsung tidak boleh diharap. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila amanah diberikan bukan pada ahlinya, tunggulah saat kehancuran”. Semoga hadis ini menjadi iktibar kepada kita semua dalam menentukan kepimpinan negara dalam pilihanraya umum akan datang.

Satim Diman
Ketua Pembangkang Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Isu Semasa, Pas and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s