Banjir Di Selangor

1. Sejak kebelakangan ini, rakyat Selangor menghadapi dua fenomena yang agak pelik – kejadian banjir kilat dan disesetengah tempat mengalami putus bekalan air bersih. Pada logik akal, ianya tidak sepatutnya berlaku. Tapi dalam dunia hari ini, segalanya mungkin.

2. Kejadian banjir kilat berlaku dibanyak kawasan antaranya Klang, Sepang, Kajang, Seri Serdang, Seri Kembangan dan Hulu Langat. Setiap kali hujan lebat, penduduk dikawasan ini sukar untuk melelapkan mata. Mereka perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan kawasan kediaman dilanda banjir.

banjir

3. Di Seri Serdang, guru sekolah terpaksa menghentikan sesi persekolahan lebih awal pada sesi petang, bila hujan turun dengan agak lebat. Mereka bimbang dan trauma dengan kejadian pelajar dan guru yang terperangkap dalam sekolah akibat banjir. Beberapa kereta guru pernah ditenggelami air banjir.

4. Penduduk sekitar pula terpaksa menghadapi kerugian harta benda yang bukan sedikit bila air banjir dan lumpur memenuhi rumah. Kereta yang ditenggelami air, terpaksa dibaiki sendiri kerana tidak ditanggung oleh pihak insuran.

5. Sudah pasti bila berlaku kejadian banjir sebegini, pelbagai pihak cuba memberikan bantuan seadanya. Di pihak kerajaan pusat, bantuan disalurkan kepada penduduk melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) biarpun mengambil masa. Begitu juga, kerajaan negeri yang turut menghulurkan bantuan.

6. Persoalannya, sampai bila situasi ini perlu dihadapi oleh penduduk? Apakah kita hanya berpuas hati dengan bantuan ratusan ringgit yang disalurkan itu? Jika ditafsirkan kerugian sebenar yang ditanggung, ianya jauh lebih besar. Kita tidak boleh menyalahkan penduduk bila mereka merasa marah dan kecewa.

7. Bantuan kilat berupa wang ringgit bukan semata-mata yang ditagih. Mereka lebih memerlukan satu penyelesaian jangka panjang. Mereka inginkan ketenangan jiwa tanpa dihantui oleh masalah banjir berterusan.

8. Selepas beberapa kali rakyat mengadu mengenai masalah banjir ini, kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan bajet berjumlah RM5.3 juta untuk mengatasi masalah banjir di Klang dan RM 8.7 juta bagi mengatasi masalah banjir di Seri Serdang. Kita amat berharap, ianya bukan sekadar janji pilihanraya semata-mata sebagaimana yang pernah berlaku.

9. Di beberapa kawasan khususnya di Seri Serdang, Pakatan Rakyat telah menaikkan banner ucapan terima kasih kepada Menteri Besar dan dalam masa yang sama cuba menyalahkan kerajaan pusat kerana tidak menyelesaikan masalah banjir penduduk. Satu tindakan untuk meraih sokongan politik disamping mengalih kemarahan penduduk kepada pihak lain. Ironinya, setelah hampir tamat penggal pemerintahan, kerajaan negeri masih cuba menyalahkan kerajaan pusat atas masalah yang dihadapi. Sungguh memalukan!

banner+banjir

10. Jika benar kerajaan pusat yang bertanggungjawab atas segala masalah banjir ini, apa pula fungsi pemimpin kerajaan negeri yang ada? Jika soal peruntukan, bukankah kerajaan negeri berbangga kerana mempunyai rizab tunai mencecah RM2.5 billion? Apa gunanya kerajaan mempunyai wang yang banyak jika rakyat dibiarkan menderita? Sewaktu kejadian banjir di Hulu Langat 7 Mac 2012, SELCAT hanya merumuskan bahawa kejadian banjir berlaku disebabkan taburan hujan yang luar biasa melebihi 60mm.

11. Memang benar, faktor hujan luar biasa bukan dalam kawalan manusia. Allah swt memberikan kita anugerah akal supaya berfikir, mengkaji dan membuat perancangan bagi mendepani masalah. Di Kuala Lumpur, kerajaan telah membelanjakan RM 1.8 billion bagi melaksanakan terowong dwi fungsi SMART untuk mengalirkan limpahan air dari Kuala Lumpur. Walaupun banjir masih berlaku, namun ia berjaya dikurangkan dengan kesan yang minimum.

12. Kotaraya Jakarta juga dilanda banjir. Namun kesannya sungguh memeritkan. Pemerintah dan rakyatnya saling menyalahkan antara satu sama lain. Semua ini akibat kegagalan pemimpin membuat perancangan yang rapi. Jepun sering dilanda gempa bumi. Disebabkan itu, rumah dan bangunan baru yang dibina ditetapkan agar mengikut spesifikasi untuk kalis gempa. Kejadian gempa memang akan terus berlaku, tetapi kesannya dapat diminimumkan dengan perancangan berdasarkan ilmu pengetahuan dipelajari.

13. Di Selangor, kejadian banjir bukan tidak pernah berlaku. Maka atas sebab itu pada 2007, pentadbiran kerajaan Selangor yang lalu mengumumkan projek bersepadu Canal City yang merangkumi projek tebatan banjir melalui terusan 18km yang akan menghubungkan Sungai Langat dan Sungai Kelang. Dengan adanya terusan ini, maka risiko limpahan air dari kedua-dua sungai dapat diminimumkan. Limpahan air hujan dapat dialirkan ke kedua-dua sungai secara serentak. Dalam masa yang sama sebuah bandar baru berkonsepkan ‘Water Front” dapat dibangunkan untuk tarikan pelancongan sebagaimana yang ada di Eropah.

projek canal city

14. Namun pada 7hb feb 2011, Menteri Besar Selangor, YAB TS Khalid Ibrahim telah membatalkan projek ini, kononnya ia tidak memberi manfaat kepada rakyat. Soalnya, benarkah ia tidak memberikan manfaat atau tidak menguntungkan kerajaan negeri? Berdasarkan kenyataan Datuk Soam Heng (Pengarah Urusan IJM Land) pada November 2011, projek ini akan diteruskan melalui penjenamaan semula tetapi tanpa komponen terusan tebatan banjir.

15. Tanpa projek tebatan banjir, kerajaan negeri dan pemaju tidak perlu membelanjakan duit yang banyak. Maka keuntungan kepada kerajaan negeri juga akan bertambah. Sebaliknya rakyat Selangor terpaksa berhadapan dengan banjir kilat yang berterusan sebagaimana yang dialami sekarang. Soalnya, apakah kita sanggup melihat rakyat menderita akibat banjir hanya semata-mata ingin melihat kantung kerajaan negeri bertambah?

16. Bila berlakunya banjir kerajaan terpaksa juga mengeluarkan peruntukan untuk menyelesaikannya. Namun begitu, RM8.7 juta yang diumumkan untuk mengatasi masalah banjir di Seri Serdang, jika dikaji secara teliti hanya bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh.

IMG-20130119-WA006

17. Jika dirujuk kepada kerja-kerja yang diluluskan, RM240,000 akan dibelanjakan untuk kerja menaiktaraf sistem perparitan/saliran, RM100,000 akan dibelanjakan untuk kerja pembersihan dan sebahagiannya untuk meyelenggara kolam takungan. Ini mengesahkan dakwaan sesetengah pihak bahawa salah satu punca banjir adalah disebabkan sistem penyelenggaraan sampah yang lemah disamping penyelenggaraan kolam takungan tidak dilakukan. Bukankah ini dalam bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?

18. Bukankah apa yang bakal dilaksanakan itu hanyalah sebahagian kerja-kerja rutin PBT yang sepatutnya dilaksanakan secara berterusan? Seandainya penyelenggaraan dilakukan dengan betul, ia mungkin dapat menyelesaikan satu punca terjadinya banjir. Itu belum diambilkira punca banjir yang disebabkan oleh perlombongan pasir yang tidak terkawal sebagaimana yang berlaku di Sepang. Pembangunan yang tidak terkawal juga menjadi salah satu punca. Semua ini memerlukan penyelesaian yang bersepadu bukannya sekadar melepaskan batuk ditangga.

19. Seandainya kerajaan negeri ikhlas ingin menyelesaikan masalah rakyat, seharusnya perlaksanaan projek yang diwar-warkan itu perlu disegerakan. Bukannya menunggu selepas pilihanraya. Dan apa perlunya kerajaan negeri mengumpulkan tandatangan penduduk untuk mendesak kerajaan pusat menyelesaikan masalah pula? Sepatutnya, Ahli parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo perlu mendesak YAB Menteri Besar Selangor agar meneruskan projek tebatan banjir untuk jangka panjang, bukannya kerajaan pusat.

20. Sudah pasti pentadbiran kerajaan Selangor yang lalu merancang projek tebatan banjir berdasarkan asas tertentu. Banjir sebagaimana yang berlaku di Shah Alam pada 2006 memberikan pengajaran kepada mereka. Apakah kerajaan negeri hari ini masih cuba untuk mengulangi kesilapan yang sama? Soal perlaksanaannya mungkin boleh berbeza. Jika kerajaan sekarang merasakan ia tidak menguntungkan kerajaan negeri, maka ia boleh dilakukan dengan pendekatan yang lain. Tetapi soal menyelesaikan masalah banjir secara jangka panjang ini seharusnya diteruskan.

21. Maka bila YAB Menteri Besar membuat keputusan membatalkannya terus tanpa justifikasi yang kukuh, maka beliau seharusnya bertanggungjawab ke atas masalah banjir yang dihadapi oleh rakyat Selangor hari ini. Usahlah menunding jari kepada orang lain, bila masalah datang melanda. Sedangkan yang menjadi puncanya adalah sikap kita yang angkuh dan sombong!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Isu Semasa, PKR. Bookmark the permalink.

2 Responses to Banjir Di Selangor

  1. Noor Ain bt. Hamzah says:

    As Salam. Saya setuju dgn ape yg Dato’ katekan, utk pengetahuan Dato’ di kawasan saya Kampung Pasir Bharu, Batu 14 juge pernah dilande banjir kilat, saye x pasti sampai ke pengetahuan Dato’ @ tidak, kami harap jika BN memerintah Selangor selps ni, masalah yg ade akan selesai..

  2. hj hadi says:

    Cukup2lah khalid bodohkan rakyat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s