Dr Rani dan Harakah Cuba Putar Belit Kenyataan Baginda Sultan Selangor

Kemaskini 16hb Disember 2012:
[Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali turut menyelar putar belit Harakah dan Dr Rani Osman dalam isu ini. Kenyataan beliau turut disiarkan di sini.
Mingguan Malaysia melalui ruangan rencananya pula mengulas tentang isu ini di sini.]

1. Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor yang lalu, akhbar Utusan Malaysia telah membuat temuramah khas bersama baginda Sultan yang telah disiarkan pada 9hb Disember 2012. Saya turut membaca dan menyiarkan sebahagian wawancara tersebut di sini dan menyediakan pautan wawancara penuh di sini. Tujuannya agar pembaca blog saya dapat membaca dan memahami keseluruhan teks titah baginda.

2. Namun saya dikejutkan dengan pertanyaan orang ramai, benarkah baginda Sultan sangat benci kerana dituduh oleh orang UMNO? Maka saya bertanya kembali, dari mana sumber dakwaan tersebut diperolehi? Sepanjang bacaan daan penelitian saya sebelum ini, baginda Sultan tidak pernah sesekali pun bermaksud sedemikian. Mereka menjawab, apa yang didakwa itu disiarkan dalam Harakah (merujuk kenyataan Dr Rani, Pesuruhjaya Pas Selangor) dan Malaysiakini.

3. Berbangkit dari persoalan yang ditimbulkan itu, maka saya membaca dan meneliti semula ketiga-tiga laporan dari Utusan (laporan wawancara penuh), Malaysiakini dan Harakah. Maka dari situ saya dapati tajuk berita yang digunakan sudah cukup untuk mengelirukan pembaca:

[Utusan] Tajuk Berita: Janji Sultan Sharafuddin – rujuk di sini
[Malaysiakini] Tajuk Berita : Sultan S’gor benci dituduh ‘orang Umno’ – rujuk di sini
[Harakah] Tajuk Berita: Sultan Selangor benci dituduh orang Umno – rujuk di sini

4. Dari tajuk berita yang digunakan, maka ada dikalangan pembaca yang telah menerima tafsiran yang salah terhadap titah baginda Sultan. Maka inilah yang menjadi salah satu punca kekeliruan yang timbul. Tajuk Harakah “Sultan Selangor benci dituduh orang Umno”, jika tidak difahami secara konteks maka ia boleh disalahertikan dengan membawa maksud “Sultan Selangor benci dituduh oleh orang UMNO” sedangkan apa yang dimaksudkan oleh baginda Sultan, “baginda benci apabila sering dituduh orang UMNO (penyokong UMNO) sedangkan baginda tidak menyebelahi mana-mana parti politik”.

5. Dalam dunia kewartawanan, sering kali berlaku dimana tajuk berita yang mengelirukan digunakan untuk tujuan tertentu. Salah satunya bagi menarik perhatian pembaca. Kedua, mungkin disebabkan ruang tajuk yang terhad maka ia cuba diringkaskan. Ketiga, ia sengaja dibuat untuk memberi mesej yang salah kepada pembaca atas kepentingan tertentu. Namun walau apa juga alasannya, saya berpendapat bilamana kita melaporkan titah Sultan yang sepatutnya dihormati maka perkara yang mengelirukan seperti ini perlu dielakkan. Apakah terlalu sukar kepada kita untuk memberikan sedikit perhormatan kepada baginda Sultan dengan tidak memanipulasi titah baginda.

6. Maka atas dasar itu saya agak keberatan untuk mengulas tentang isu ini pada awalnya, kerana mungkin dituduh oleh sesetengah pihak cuba mengheret Sultan dalam kancah politik. Dalam tulisan saya sebelum ini pun, saya cuba untuk tidak mengulas lebih lanjut titah baginda Sultan, sekadar menyiarkannya petikan dan pautan untuk dibaca agar dihayati semua pembaca dengan penuh keinsafan. Namun kali ini, saya merasa bertanggungjawab untuk membetulkan kekeliruan yang timbul hasil dari permainan politik sempit pihak tertentu ini.

7. Berikut adalah titah baginda sultan Selangor yang menjadi sumber rujukan asal:

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh cakap banyak mengenai politik. Saya baca semua akhbar dan blog walaupun ramai kawan-kawan kata jangan baca blog. Tapi bagi saya maklumat ialah kuasa, jadi saya perlu membaca semua laman blog dan portal. Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca. Tapi malangnya, dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang UMNO, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

boleh rujuk printscreen berikut:

titah sultan

titah2

8. Berikut pula apa yang dilaporkan oleh Harakah:

Sultan Selangor benci dituduh orang Umno
Mohd Rashidi Hassan, 12 Dis 2012

Kepimpinan PAS Selangor menyambut baik dan amat menghargai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa baginda bukan Umno, tidak menyokong Umno dan sangat benci mendengar tuduhan bahawa baginda merupakan orang Umno.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman sewaktu berbicara dengan penulis berkata, beliau menjunjung kasih terhadap baginda dan mahu hasrat Sultan dipatuhi semua pihak.

9. Jika dibandingkan antara kenyataan asal (Utusan) dan laporan oleh Harakah, walaupun kelihatan sama tetapi ia mendorong pembaca untuk membuat satu tafsiran yang salah tentang maksud sebenar baginda Sultan. Seandainya, akhbar pro UMNO ingin memanipulasi kenyataan baginda Sultan itu sepertimana dilakukan Harakah, ia boleh menterbalikkan perkataan UMNO dengan PAS sebagaimana berikut:

Kepimpinan UMNO Selangor menyambut baik dan amat menghargai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa baginda bukan PAS, tidak menyokong PAS dan sangat benci mendengar tuduhan bahawa baginda merupakan orang PAS.

Dengan kenyataan itu, maka pembaca diberikan persepsi yang buruk terhadap PAS kerana tidak disokong dan dibenci oleh baginda Sultan sedangkan hakikatnya Sultan tidak terikat dengan mana-mana parti politik mahu pun berniat sedemikian. Kedudukan baginda sendiri jelas berada diatas politik sebagaimana yang ditegaskan. Tentunya kedua-dua kenyataan tersebut tidak bertentangan dengan kenyataan baginda Sultan, tetapi ia sangat berniat jahat untuk memberikan persepsi yang buruk dengan memanipulasi titah baginda Sultan.

10. Dalam kenyataan Dr Rani berikutnya pula ditambah:

Mengulas lanjut perkara tersebut, Dr Rani mengharapkan semua pihak, khususnya Umno, supaya tidak lagi cuba ‘mempengaruhi’ Sultan untuk kelihatan ‘bias’, yang akhirnya persepsi negatif dilemparkan terhadap baginda.

Tegas Dr Rani, pihak yang terbabit menasihati Sultan sama ada di Istana, mahupun dalam MAIS, JAIS dan SUK harus berhati-hati dan jangan sekali-kali mencemar kemuliaan baginda dengan agenda Umno.

“PAS Selangor amat menyanjungi Tuanku dan berharap para penasihat Sultan memastikan selepas ini sebarang kenyataan yang hendak dibuat atas nama baginda, hendaklah berhati-hati harus tidak dilihat ‘bias’,” ujarnya.

11. Saya merasakan kenyataan yang dibuat ini sangat biadap terhadap baginda Sultan. Jika Dr Rani meneliti titah berikutnya, baginda Sultan bertitah dengan membuat penegasan sebagaimana berikut:

Hakikatnya Najib ada banyak kerja lain hendak dibuat. Ini seolah-olah mereka cuba menyatakan saya tidak berotak dan tidak tahu buat ucapan sendiri.

Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar, “apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang UMNO di dalam blog”. Saya yakin sekarang kerana beri wawancara kepada Utusan, orang akan kata saya orang Utusan. Padahal pihak Utusan yang minta jumpa.

Macam kes Talam dan sebagainya, saya tidak campur tangan. Kalau tidak suka kepada isu pentadbiran, saya akan minta setiausaha sulit menulis surat kepada kerajaan negeri bahawa perkara itu tidak betul.

Kalau perkara lebih penting, saya akan tulis sendiri kepada Menteri Besar. Tetapi kalau melibatkan agama, bangsa Melayu dan perpecahan perpaduan, saya akan kritik secara terbuka dalam ucapan, itu prinsip saya.

Kalau dalam soal pentadbiran, saya akan tegur Menteri Besar kalau tidak betul, sama ada melalui perjumpaan atau menulis surat, tetapi tidak secara terbuka.

Malangnya, terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang UMNO. Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas.

12. Jika baginda Sultan sendiri telah membuat penegasan bahawa apa juga tindakan baginda dibuat berdasarkan kepentingan rakyat dan negeri Selangor tanpa dipengaruhi oleh kepentingan parti politik tertentu, maka apa pula maksud Dr Rani mengeluarkan kenyataan tersebut? Apakah Dr Rani berfikir, bahawa setiap keputusan baginda Sultan yang tidak menyebelahi partinya disebabkan oleh pengaruh UMNO? Apakah pada pandangan Dr Rani, bahawa semua penasihat istana, MAIS, JAIS dan SUK adalah orang UMNO dan tiada integriti? Saya tidak mahu membuat tuduhan, tetapi semua boleh menilai pihak mana yang dimaksudkan oleh baginda Sultan yang bercakap ikut sedap mulut! Pastinya baginda lebih arif tentang siapa yang dimaksudkan. Baginda telah memberi nasihat dengan penuh bijaksana dan cukup berhati-hati untuk menjaga nama baik semua pihak. Apakah manusia seperti Dr Rani ini begitu susah untuk menerima nasihat tanpa banyak kerenah. Jika nasihat dari seorang Sultan pun susah untuk diterima, apakah jaminan orang ini sanggup menerima nasihat dari rakyat kebanyakan?

13. Saya mengharapkan Dr Rani sedar tidak terus menunjukkan keangkuhan dan kesombongan semata-mata kerana beliau telah dipilih oleh rakyat. Mana-mana sultan sekali pun, akan bertindak berdasarkan lunas undang-undang yang telah diperuntukkan kepada baginda dengan cukup berhati-hati berdasarkan kepentingan rakyat dan negeri. Berdasarkan perlembagaan negara, Sultan dan Raja berada diatas politik. Dengan bahasa mudahnya, sehebat mana pun pemimpin parti politik, beliau tetap rakyat yang berada dibawah naungan Sultan sebagaimana yang diamalkan dalam sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

14. Dalam kenyataannya yang disiarkan Harakah itu, saya dapati banyak tuduhan-tuduhan yang dibuat kepada UMNO yang kononnya menggunakan istana untuk kepentingan politik. Apa yang cuba digambarkan seolah-olah Sultan langsung tidak mampu untuk berfikir dan mengikut sahaja arahan dari pemimpin UMNO. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang tuduhan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Selangor ini, saya akan siarkan petikan tuduhan yang telah dibuat dan biarlah rakyat menilainya. Berikut tuduhan dan fitnah yang cuba disebarkan terhadap UMNO dan Istana oleh Dr Rani dan Harakah:

Namun orang politik ada juga ragam dan karenahnya. Khususnya bagi Umno yang sering mempergunakan Raja untuk kepentingan mereka, tambahan pula juak-juak Umno yang puluhan tahun mendominasi institusi Istana, tidak mudah untuk menerima perubahan yang berlaku dalam kerajaan Selangor.

Di Perak, walaupun ditekan dengan begitu hebat selama 11 bulan dan dilaga-lagakan dengan Sultan, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan sikap profesional beliau, sehinggalah Umno menggunakan Raja untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Ini berbeza dengan Umno. Mereka bukan sahaja meminda Perlembagaan. Mereka juga memaki hamun Raja-Raja dalam Perhimpunan Agung Umno. Menderhaka kepada Sultan, menabalkan Sultan ‘boneka’ di Kelantan, malahan membinatangkan Sultan Terengganu dalam satu demonstrasi di hadapan Istana Terengganu.

Sehinggakan ada kalangan Istana tertentu yang secara terbuka menyokong Umno dan menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Justeru, molek benarlah jika Sultan Selangor sendiri sudah bertitah, baginda cukup benci dituduh orang Umno. Malah apa yang dititahkan Sultan Selangor, harus juga dicontohi Sultan Perak, Sultan Johor dan Sultan Pahang.

Bagi membantu pembaca memahaminya, saya letakkan pautan kenyataan penuh dari Harakah yang boleh diakses di sini.

15. Pada pandangan saya, apa yang cuba dilaporkan oleh akhbar Harakah jelas satu bentuk pemberitaan yang tidak bertanggungjawab serta cuba memanipulasi kenyataan istana untuk meraih keuntungan politik. Perbuatan sebegini mengambarkan bahawa golongan ini sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kuasa hinggakan sanggup memanipulasi dan memutarkan belit fakta untuk mengelirukan rakyat.

16. Sebelum ini kita sudah cukup faham pun dengan gaya pemberitaan sensasi dan fitnah yang diamalkan oleh Harakah dan akhbar pakatan rakyat. Namun, kali ini saya agak terkilan bila mana titah baginda Sultan pun turut sama menjadi bahan propaganda murahan mereka. Maka dengan apa yang berlaku ini, saya mula faham kenapa Harakah yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang kononnya memperjuang Islam telah dkritik hebat oleh ahli Pas sendiri sewaktu Muktamar yang lalu. Dengan apa yang dilakukan ini, seolah-olah wujud usaha-usaha terancang untuk memburukkan instusi raja dengan cara yang cukup halus. Maka tidak hairanlah bila orang seperti Datuk Hasan Ali yang cuba mempertahankan Melayu, Islam dan Raja dipecat kerana dianggap sudah tidak sealiran dengan mereka ini.

17. Kepada baginda Sultan Selangor, saya memohon ampun kerana terpaksa membangkitkan isu ini. Apa yang cuba saya lakukan hanyalah untuk menjelaskan segala kekeliruan yang cuba dipropagandakan. Semoga kita semua dibukakan hati, dilapangkan dada untuk menerima segala nasihat dan teguran untuk menjadi insan berhati mulia.

Satim Diman
Ketua Pembangkang Dun Selangor

Advertisements
Posted in Isu Semasa, Pas | Leave a comment

Daulat Tuanku : Ulang Tahun Hari Keputeraan ke 67 DYMM Sultan Selangor

1. Hari ini pada tanggal 11hb Disember 2012 bersamaan 27 Muharam 1434, rakyat Selangor meraikan Keputeraan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah AlHaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan.

2. Amalan sambutan Hari Keputeraan Sultan yang diamalkan di negara ini bukan sekadar meraikan sambutan keputeraan semata-mata tetapi lebih bermakna dari itu, ia adalah satu simbolik kepada amalan Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

3. Kita amat beruntung kerana dapat terus mengekalkan sistem beraja dan dalam masa yang sama dapat mengamalkan sistem perkongsian kuasa yang diturunkan kepada rakyat melalui Demokrasi Berparlimen. Di banyak negara, institusi raja telah lenyap dan terhapus dan ada sesetengahnya pula bergelut untuk mengekalkan sistem ini sebagaimana yang pernah dialami oleh Jepun. Di suatu ketika, rakyat Jepun sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan sistem raja dapat dikekalkan.

4. Sultan dan Yang diPertuan bagi negeri-negeri yang berdaulat merupakan ketua kepada seluruh rakyat negeri tanpa mengira agama, bangsa mahupun etnik. Walaupun baginda seorang Melayu dan beragama Islam, baginda merupakan ketua kepada seluruh rakyat. Maka atas sebab itu maka baginda sultan menjadi sumber penyatuan rakyat jelata tanpa mengira agama atau bangsa sebagaimana yang yang termaktub dalam perlembagaan negara.

5. Perkara ini yang adakalanya gagal difahami dan berkemungkinan cuba dipesongkan oleh sesetengah pihak atas kepentingan tertentu. Seringkali rakyat digambarkan bahawa peranan Sultan hanya untuk menjaga kaum tertentu sahaja. Ini satu fakta yang sangat menyeleweng dan perlu diperbetulkan dikalangan rakyat. Biarpun baginda sultan dipertanggungjawabkan menjaga kedudukan orang-orang Melayu dan Islam (Per 153), ianya perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa lain. Dengan kata lain, Sultan juga berfungsi menjaga kepentingan bangsa lain sebagaimana dijamin oleh perlembangaan. Ini yang telah diamalkan sejak sekian lama semenjak kita merdeka.

6. Perlembagaan telah memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada baginda Sultan sebagaimana diberikan kepada badan eksekutif, legislatif dan judisiari. Tanpa kita sedari, sejarah negara telah membuktikan bahawa peranan yang dimainkan oleh Sultan dan Yang DiPertuan Agong bersama badan-badan ini telah menyaksikan wujudnya kestabilan dan kemakmuran negara yang kita kecapi hari ini. Semoga ianya terus dapat dipertahankan.

7. Sempena dengan hari keputeraan ini, saya mewakili ADUN BN Selangor serta seluruh rakyat negeri merafak sembah, mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah. Semoga Tuanku Sultan dipanjangkan usia dan terus meyumbang bakti menjaga seluruh rakyat negeri Selangor khususnya.

8. Dalam temuramah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang boleh diakses di sini, ternyata baginda begitu serius untuk melihat rakyatnya dapat hidup dengan aman dan bersatu padu. Baginda bertitah dari hatinya yang tulus ikhlas, memberi pesanan, teguran dan nasihat kepada sekalian rakyat.

Berikut sedikit petikan temuramah yang saya petik unntuk renungan kita bersama:

Sebagai ketua agama negeri apa masalah dan cabaran yang dilalui kebelakangan ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Sejak kebelakangan ini saya dapati banyak aduan daripada orang Islam, yang mana masih banyak berlaku politiking di dalam masjid. Kalau saya tegur, mereka akan menuduh saya menyebelahi kepada sesuatu parti. Saya bertitah senang sahaja, jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah. Itu saja yang saya cakap.

Tetapi malangnya, terdapat pihak yang masih lagi mengikut emosi dan tidak berfikir panjang. Saya cuma cakap jangan buat lagi, kerana ia tidak elok. Saya tidak suka buang pegawai masjid jika buat kesalahan, kerana ia bukan cara saya menyelesaikan masalah. Saya tidak mahu rosakkan periuk nasi orang, tapi mesti dengarlah cakap. Saya bukan tidak suka orang cakap politik atau tidak suka orang politik, malah sebenarnya kuasa saya mengatasi politik. Saya lebih bimbangkan perpecahan orang Melayu.

Apakah Tuanku merasakan cabaran kini semakin hebat, dan mengapa begitu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang semakin hebat cabaran, terutama sebagai Sultan Selangor. Saya fikir kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan. Malah saya lihat, ada di antara mereka yang mempunyai ijazah dan berpelajaran tinggi, namun masih terikut-ikut dengan emosi dan tidak menggunakan kewarasan fikiran.

Kenapakah Tuanku menyediakan semua sendiri (Teks Ucapan)?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak ada pasukan penyelidik. Kakitangan Pejabat Sultan Selangor akan mengumpulkan maklumat. Saya membuat ucapan sendiri kerana kalau orang lain buat, takut ada udang sebalik batu. Saya tidak ada agenda tersembunyi, ucapan saya untuk menasihati rakyat. Sebab itu kadang-kadang saya berasa sedih dan benci kalau ada orang kata saya menyebelahi mana-mana parti. Apa ni! Saya tidak ada kena mengena dengan perkara itu. Saya cakap apa yang penting untuk Islam dan bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum. Saya cuma memberikan nasihat secara ikhlas kepada rakyat Selangor.

Tuanku kelihatan selalu ditohmah dalam segenap aspek tetapi Tuanku masih terus berani melahirkan pandangan.

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan atau menyerah kalah, terutama ketika di saat-saat mencabar. Saya telah memikirkan perkara ini, serta menanam keazaman pada saat mengangkat sumpah sebagai sultan. Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu. Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik.

Adakah Tuanku melihat perkara melaga-lagakan orang Melayu ini sudah sampai ke tahap melampau sehingga ada yang mendoakan kehancuran orang Melayu lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin ia sudah ke tahap melampau dan masih belum ada persefahaman bahawa sudah sampai masa untuk orang Melayu berbaik-baik. Saya masih belum melihat sesiapa pun bersungguh-sungguh mengajak orang Melayu berbaik-baik. Orang Melayu sudah berpuak-puak tetapi saya mahu melihat semua orang Melayu bangkit dan berbaik-baik sesama mereka. Kini orang Melayu terlalu mengejar kedudukan dan kebendaan. Saya melihat apabila orang Melayu terperangkap dalam sesuatu isu, mereka perlu bersatu sesama sendiri, insya-Allah mereka akan lebih selamat. Kalau berterusan bergaduh sebegini, habislah orang Melayu. Sekurang-kurangnya saya melihat kita orang Melayu perlu bersatu sebagai umat Islam.

Pada pandangan Tuanku apakah masalah ini boleh diselesaikan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya bahawa setiap masalah ada penyelesaian. Kalau orang Melayu fikir mendalam dan faham sejarah, mereka tidak akan lakukan perkara ini. Allah kata kalau manusia buat salah, mereka boleh insaf dan bertaubat dan balik jalan yang betul. Kita perlu sedar apabila dah melakukan kesalahan, tetapi jangan asyik mengulanginya, kita perbetulkan balik. Saya juga buat salah, tapi kemudian minta maaf dan tidak buat lagi. Saya perbetulkan balik. Tetapi masalahnya, ahli politik kebanyakannya tidak mahu mengaku salah. Mereka sentiasa menegakkan benang basah. Mereka melakukan kesalahan berulang-ulang. Almarhum Ayahanda selalu cakap, kalau buat salah mengaku sahaja, dan mulakan buku baharu. Tetapi bagi ahli politik, mustahil itu semua akan berlaku.

Apa yang saya siarkan ini hanyalah sebahagian temuramah dengan baginda. Sila lawati temuramah penuh di sini. Marilah kita sama-sama menghayatinya dengan penuh keinsafan.

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Kertas Putih Talam Yang Kelabu

1. Dengan membentangkan Kertas Putih Talam sewaktu sidang DUN Selangor yang lepas, kerajaan negeri telah menganggap isu skandal jutaan ringgit penyalahgunaan duit rakyat Selangor telah selesai.

2. Namun setelah meneliti apa yang dibentangkan itu, saya menyimpulkan ianya hanyalah sebuah karangan politik yang diolah sedemikian rupa untuk menutup skandal yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

3. Jika benar kerajaan negeri telus dalam isu ini, mereka seharusnya membentangkan semua penyata transaksi secara terperinci. Malah maklumat yang terkandung dalam kertas putih tersebut merupakan maklumat yang telah diketahui umum, cuma berbeza kaedah pengolahannya hasil sentuhan para penasihat yang mengambil masa bertahun untuk disiapkan.

4. Dalam kertas putih tersebut, kerajaan negeri telah membuat satu kesimpulan yang mudah kononnya dengan hanya RM420 ribu, RM392 juta hutang Talam telah berjaya dikutip dan menganggap ianya satu tindakan yang bebaloi.


5. Perlu kita ingat bahawa RM392 juta yang dikutip itu sebahagian besarnya dalam bentuk aset tanah manakala RM420 ribu itu pula adalah wang rakyat dalam bentuk tunai yang telah dibelanjakan untuk proses apa yang disebut sebagai round-tripping bagi melupuskan hutang Talam mengikut peraturan kewangan standard.

6. Teknik round-tripping sememangnya satu amalan yang tidak menyalahi peraturan kewangan, namun dari segi moralnya ia bukanlah satu tindakan yang baik dalam amalan perniagaan. Kerajaan negeri dilihat cenderung menggunakan teknik sebegini sebagai satu amalan biasa dalam pengurusan kewangan negeri. Skandal kewangan terbesar di Eropah yang melibatkan syarikat gergasi Enron, berlaku disebabkan amalan ini yang akhirnya menyebabkan syarikat tersebut bankrap akibat kehilangan kepercayaan pemegang sahamnya. Namun dalam isu Talam ini, kerajaan negeri begitu yakin untuk melakukannya kerana mereka mempunyai ramai pakar pembelit untuk menutup segala penyelewengan yang dilakukan.

7. Perlu kita fahami bahawa hutang Talam berlaku sejak 10 tahun yang lalu dan dalam tempoh itu, Talam sendiri telah gagal menjual aset-aset tersebut. Dengan menyerahkan kepada kerajaan negeri, maka kerajaan negeri dibebankan untuk melakukan perkara yang perlu bagi menukarkan aset yang diterima dalam bentuk tunai bagi menyelesaikan beban hutang gadaian yang terkandung bersama-sama aset tersebut.

8. Satu perkara yang cuba dikaburkan dalam isu Talam, kerajaan negeri telah menerima aset tanah yang telah digadaikan oleh Talam yang keseluruhanya berjumlah RM266 juta. Jika dirujuk ringkasan laporan KPMG dan kertas putih Talam tentang penyelesaian hutang ini, apa yang cuba digambarkan, hutang tersebut hanya ditolak dari jumlah RM676.1 juta dari nilai aset yang diterima. Maka dengan itu kerajaan negeri hanya menerima aset bersih tanpa beban tanggungan hutang.

9. Namun begitu, ia jelas bertentangan dengan Circular to Shareholder yang dikeluarkan Talam bertarikh 15 Mac 2011 kepada Bursa Malaysia dan pemegang sahamnya. Perkara 2.4 menyatakan hutang tersebut perlu dijelaskan oleh MBI dalam masa 6 bulan dari tempoh kelulusan pemegang saham Talam. Rujuk terma dibawah:

10. Siapa yang benar dalam hal ini? Jika kertas putih itu benar maka maklumat yang diberikan Talam kepada pemegang sahamnya adalah palsu dan perlu diambil tindakan oleh Bursa Malaysia/SC. Jika sebaliknya kenapa kerajaan negeri cuba mengaburkannya?

11. Jika benar dakwaan bahawa kerajaan negeri perlu menjelaskan hutang gadaian tersebut, maka kesimpulan bahawa kerajaan hanya membelanjakan Rm420 ribu untuk mengutip hutang Talam adalah tidak benar. Sepatutnya apa yang ditulis, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM420 ribu + RM266.3 juta iaitu RM266.72 juta wang tunai milik rakyat untuk menyelesaikan hutang tersebut. Isu penyelesaian hutang ini turut dinyatakan dengan jelas dalam perkara 4.0 Circular to Shareholder  sebagaimana berikut:

12. Berdasarkan Announcement yang dibuat oleh Talam di Bursa Malaysia, jelas menunjukkan hutang gadaian tersebut sedang dibayar sedikit demi sedikit oleh Talam. Ini menimbulkan persoalan kepada kita semua, dari mana duit itu diperolehi? Jika kerajaan negeri benar-benar telus, maka ianya perlu dijelaskan kepada rakyat Selangor.

13. Isu penilaian tanah yang cuba dijawab oleh kerajaan negeri adalah isu kedua yang cuba diperbesarkan dalam kertas putih tersebut. Sudah pasti kerajaan negeri boleh melantik dan mengarahkan konsultan untuk membuat penilaian berdasarkan selera mereka selepas menerima aset tersebut.

14. Isunya kenapa semasa menandatangani perjanjian penerimaan aset-aset itu, wujud perlanggaran peraturan dengan tidak menggunapakai penilaian JPPH. Apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan negeri ialah membuat satu tindakan cover-up dengan membuat penilaian selepas GSA kononnya tanah itu telah ditukarkan status. Ini dilakukan setelah skandal ini telah diketahui umum.

15. Jika benar ianya telah ditukar statusnya, pihak mana yang telah membayar kos penukaran tersebut? Kerajaan negeri menyatakan bahawa MBI telah membayar RM4 juta caruman perparitan untuk menyelesaikan penukaran status Tanah Bukit Beruntung. Soalnya apakah duit RM 4 juta tersebut bukan datang dari duit rakyat? Jika berdasar logik matematik mudah, kerajaan negeri telah kehilangan RM 4 juta dari RM392 juta yang kononnya dibayar oleh Talam akibat proses ini. Jika kerajaan negeri mahu penilaian keseluruhan yang dibuat itu dianggap benar, maka RM4 juta itu perlu ditolak dan ini bermaksud jumlah keseluruhan yang dikutip hanyalah RM388 juta.

16. Mungkin kerajaan negeri begitu bermurah hati memberikan diskaun berjumlah RM4 juta kepada Talam atas usaha murninya menyerahkan aset-aset yang telah digadaikan kepada institusi pinjaman itu. Maka jika kerajaan negeri begitu prihatin untuk membantu Talam, kenapa tidak kerajaan negeri juga menunjukkan keprihatinan yang sama untuk menyelesaikan hutang-hutang PKNS rakyat miskin di negeri Selangor ini. Apatah lagi kerajaan negeri sering melaungkan slogan negeri berkebajikan. Nilai RM 4 juta ini mungkin kecil pada pandangan Tan Sri Khalid Ibrahim, tetapi cukup besar bagi rakyat miskin.

17. Dalam urusan penilaian ini, kerajaan negeri gagal menjelaskan berapa kos yang dibayar kepada pihak Sulaiman & Co dan siapa yang membayar kos tersebut? Saya difahamkan bahawa ia dilantik oleh Talam, dan jika benar maka sudah pasti penilaian yang dibuat akan berpihak kepada Talam dan Kerajaan negeri. Maka atas sebab itu, kita membangkitkan tentang kenapa penilaian JPPH, sebuah agensi yang mempunyai integriti tidak digunakan? Apakah disebabkan penilaian JPPH tidak menyebelahi Talam?

18. Jika dirujuk dalam senarai aset pula, Talam turut menyerahkan 60% saham Ulu Yam Golf and Country Club yang dianggarkan berjumlah RM4.26 juta sebagai pertukaran. Mengikut laporan kewangan yang terkandung dalam Circular to Shareholder Talam, syarikat ini telah mencatatkan kerugian berdasarkan laporan kewangan berakhir 31 disember 2010. Dan dijelaskan bahawa syarikat ini tidak dapat membayar dividen kepada pemegang sahamnya.

19. Dengan kata lain, RM4.2 juta yang diterima dalam bentuk saham ini datang dengan satu bebanan kerajaan negeri untuk memulihkan syarikat ini. Bagi tujuan itu, berkemungkinan besar kerajaan negeri perlu membelanjakan sejumlah wang lagi untuk memulihkannya. Maka sekali lagi duit rakyat akan digunakan. Jika tidak dilakukan, bermakna kerajaan tidak akan dapat sebarang keuntungan dari saham yang diterima selain dari menanggung beban kos operasinya seumpama kata pepatah melayu ‘ibarat menanggung biawak hidup’.

20. Itu belum lagi disentuh tentang perkara 3.7 berkait tentang pampasan yang kononnya akan diberikan kepada UNISEL, KHSB dan PNSB. Perkara 3.7.1 menyebut UNISEL akan diberi pampasan RM248.7 juta sedangkan, ia bukanlah pampasan tetapi hutang Talam kepada UNISEL yang sepatutnya dibayar sebanyak RM248.7 juta. Kenapa pula MBI perlu mengambil alih aset tetap sedia ada UNISEL sebagai balasan? Aset mana yang cuba diambil alih oleh MBI? Apakah aset yang diserahkan oleh Talam atau tanah lain yang menjadi idaman MB untuk dijual sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau sewaktu isu PTPTN dulu timbul?

21. Berkait dengan tanah Lot 14002 yang telah dilelong dan dijual kepada individu perseorangan seperti yang dinyatakan dalam perkara 3.6.2 dalam kertas putih tersebut, merupakan sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Bagaimana kerajaan negeri boleh terlepas pandang dengan menerima aset yang telah dijual kepada orang perseorangan? Seolah-olah urusan perjanjian ini dibuat secara ala kadar tanpa penelitian yang rapi. Jika dalam hal sepenting ini pun Talam boleh memperbodohkan kerajaan negeri, apatah lagi yang melibatkan perkara lain. Maka kita cukup hairan bagaimana MB Selangor yang kononnya tokoh korporat terkemuka boleh ditipu oleh Talam.

22. Kesimpulannya apa yang terkandung dalam laporan kertas putih Talam ini hanyalah sekadar karangan politik yang diolah sedemikian rupa demi menutup segala penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri. Banyak persoalan tidak dijawab malah lebih banyak persoalan lain timbul akibat cubaan kerajaan negeri mengaburkannya pelbagai fakta atas tujuan tertentu.

23. Rakyat mungkin masih tertanya-tanya kenapa kerajaan negeri begitu beria-ia membantu Talam menyelesaikan hutang-hutangnya. Siapa sebenarnya yang sedang mengaut keuntungan dari skandal ini? Sekarang ini pula timbul dakwaan sesetengah pihak bahawa wujud pihak tertentu yang rapat dengan penasihat ekonomi negeri telah meraih keuntungan dari penyelesaian hutang Talam ini. Jawapan kepada banyak persoalan yang berbangkit ini tidak akan kita perolehi dari kertas putih Talam yang dibentangkan, kerana apa yang dibentangkan itu hanyalah kertas kelabu asap!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Penglibatan Soros: Siapa Yang Nyanyuk? Mahathir Atau Tony Pua?

1. Beberapa hari lalu, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir memberi amaran tentang campur tangan George Soros yang cuba menjatuhkan pemimpin negara melalui dana yang disalurkan kepada pakatan pembangkang. Beliau menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam. Ini dibuktikan dengan jatuhnya kerajaan Georgia, Hungary dan Ukraine hasil campurtangan Soros melalui Open Society Institute.
2. Kenyataan beliau itu telah dibidas oleh Tony Pua sebagai pandangan dari seorang tua yang nyanyuk. Beliau mendakwa kononnya pemimpin pakatan tidak pernah kenal dengan manusia bernama Soros. Walau apa pun alasannya, menggunakan perkataan sebegitu kepada Tun Mahathir jelas menggambarkan sikap anak muda yang biadap dan angkuh. Budaya sombong yang diajar oleh pucuk pimpinan pakatan kini terbawa-bawa sehingga ada yang sudah lupa diri.

[Benarkah pemimpin pakatan tidak kenal Soros? Siapa yang menipu?] 

3. Tun Mahathir mungkin agak tua jika dibandingkan dengan Tony Pua. Tetapi beliau bukan sebarangan orang tua. Seorang tua yang berpengetahuan luas tentang gerakan yahudi antarabangsa, serta sarat dengan pengalaman politik. Sewaktu dalam majlis bersama beliau di program anjuran MUBARAK, ternyata pemikiran beliau masih lagi tajam dan kritis mengalahkan orang muda. Beliau seperti biasa tahu apa yang diungkapkan, memahami tentang subjek yang diperkatakan dengan jelas – lebih dari itu, beliau tahu kenapa ia perlu diperkatakan. Begitulah Tun Dr Mahathir, seorang tokoh politik dan negarawan hebat yang disegani dunia tetapi diperlekehkan oleh Tony Pua.

4. Kerana ingin mempertahankan ketua dan partinya, maka Tony Pua diserang penyakit sering terlupa dan buat-buat lupa. Beliau mungkin terlupa bahawa sejak dari 2008 lagi begitu banyak dana asing mencurah masuk untuk membantu kempen pakatan pembangkang. Beliau mungkin buat-buat lupa tentang penglibatan NGO asing seperti National Endowment for Democracy (NED) yang bergerak aktif menyalurkan dana bagi membantu jentera kempen pilihanraya pakatan. Bagaimana mungkin, seorang pemimpin kanan parti seperti Tony Pua tidak tahu tentang penglibatan Soros dalam penyaluran dana asing ini?

5. Sejak dibawa masuk ke dalam UMNO oleh Tun Dr Mahathir, Anwar bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan mengecapi gelaran negarawan hebat sebagaimana dikecapi oleh Tun Dr. Mahathir. Malangnya, disebabkan moralnya teruk dan kurangnya sifat patriotik untuk mempertahankan negara dari serangan penyangak seperti Soros, menyebabkan beliau disingkirkan dan tidak dilantik sebagai Perdana Menteri, sebaliknya Tun Abdullah telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke 5. Begitulah ketentuan Ilahi yang tidak dapat diterima oleh Anwar sehingga ke hari ini.

6. Sejarah Islam pernah mencatatkan, sewaktu Rasulullah SAW wafat, maka para sahabat berkumpul untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Di saat itu ada sahabat mencadangkan Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A dilantik sebagai khalifah disebabkan beliau adalah sahabat yang paling rapat dengan baginda Rasulullah SAW. Tetapi Saidina Abu Bakar R.A menolaknya, dan meminta agar melantik sahabat lain yang mungkin lebih layak daripadanya. Rupanya tiada lagi yang lebih layak selain dari beliau, dan akhirnya Saidina Abu Bakar dilantik sebagai khalifah Islam pertama. Beliau berpegang kepada prinsip kepimpinan adalah satu amanah yang dikurniakan kepada manusia oleh Allah swt kepada siapa yang dikehendakiNya sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. – Ali ‘Imran : 26

7. Begitulah qada dan qadar Allah swt, yang mana telah tertulis Saidina Abu Bakar RA adalah Khalifah umat Islam yang pertama. Beliau tetap dipilih dan diangkat kerana kelayakannya walaupun pada peringkat awal menolaknya dengan rendah diri. Tetapi akhlak Anwar jauh berbeza, beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi perdana menteri. Soalnya apakah rakyat negara ini sanggup menerima seorang pemimpin tertinggi negara dikalangan orang yang diragui akhlaknya? Apakah kita sanggup melantik pemimpin yang tidak kisah tentang negaranya dijajah semula, asalkan impiannya tercapai? Maka dalam hal ini, tindakan Tun Mahathir tidak melantik Anwar adalah pilihan tepat biar pun terpaksa berhadapan dengan tindakan yang tidak popular.

8. Semasa didalam UMNO, Anwar mengatur pelbagai strategi politik untuk menduduki tampuk pemerintahan negara. Beliau menubuhkan badan pemikir melalui pelbagai pertubuhan untuk melonjakkan namanya dipersada politik tanahair dan antarabangsa. Malah beliau diberi ruang dan laluan yang selesa untuk mengembangkan karier politiknya. Siapa juga yang pernah terlibat dalam perjalanan politik Anwar, pasti tahu bagaimana Anwar berusaha untuk menaikkan namanya. Sewaktu menjadi Menteri Kewangan, begitu banyak wang dibelanjakan untuk menggerakkan kempen politik beliau. Namun semua itu tidak menjamin beliau untuk mengecapi apa yang dicita-citakannya. Firman Allah swt berikut seharusnya dikaji dan perhalusi. “Sesungguhnya manusia merancang dan Allah juga Merancang. Dan Allah sebaik-baik Perancang” (Ali ‘Imran:54)

9. Sehingga hari ini Anwar masih merasakan beliau masih layak menjadi perdana menteri Malaysia. Maka atas dasar itu, beliau sanggup meminta bantuan asing untuk membantu kempen politiknya. Pelbagai misi ke luar negara telah digerakkan untuk mendapatkan sokongan pelobi asing termasuk penyokong kuat zionis Israel. Beliau sudah tidak kisah akan kesan kepada negara pada masa depan. Hasilnya begitu banyak dana asing mengalir melalui NGO tertentu bagi menggerakkan kempen pakatan rakyat. Portal berita propembangkang Malaysiakini dan SUARAM akhirnya terpaksa mengakui telah menerima dana dari Soros melalui Open Society Institute (OSI) setelah didedahkan oleh media. Semua pendedahan ini hanya mengesahkan bahawa apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir 14 tahun lalu mengenai Anwar sebagai tali barut asing memang tepat.

10. Jika diperhalusi sistem penyaluran wang yang dilakukan secara terancang ini, jelas menunjukkan pelobi ini bukan sebarangan organisasi, tetapi ia melibatkan satu jaringan yang kuat dan berpengaruh mencorakkan politik dunia. Sekarang ini kita hanya mampu menafsirkan sehingga penglibatan Soros melalui OSI dan NED sebagai punca dana. Namun apakah Soros berseorangan? Apakah wujud organisasi atau individu lain yang berada disebalik bayang-bayang Soros ini? Kita perlu memahami bahawa apa juga bantuan yang diberikan kepada pakatan pembangkang bukan percuma. Jika IMF yang nampak begitu prihatin dengan kesusahan negara membangun pun, meletakkan syarat tertentu, apatah lagi organisasi sebegini yang diketuai oleh penyangak seperti Soros.

11. Semua pertanyaan ini membawa kita kepada persoalan yang lebih serius. Siapa yang sebenarnya sedang berusaha menakluk negara ini dengan bersekongkol dengan Anwar? Sejauh mana pula komitmen dan kesanggupan pemimpin pakatan lain untuk mempertahankan negara, seandainya dalam keadaan sekarang ini pun mereka sudah sanggup melutut meminta bantuan penyangak asing? Maka bilamana Tun Dr Mahathir memberi amaran kepada rakyat negara ini agar berhati-hati tali barut asing ini, jelas beliau tahu dan sedar tentang apa yang diperkatakannya. Beliau terpaksa bercakap kerana tidak mahu melihat anak bangsanya dijajah semula setelah lebih 55 tahun mengecapi kemerdekaan.

12. Pelobi dari golongan kaya yahudi memainkan peranan yang amat penting dalam setiap kempen presiden Amerika Syarikat. Sejak sekian lama, calon presiden berlumba-lumba untuk mendapatkan bantuan dari pelobi ini bagi menjamin kemenangan mereka. Kesan dari itu, siapa juga yang menjadi presiden terpaksa akur dengan tuntutan dari pelobi ini. Maka hasilnya, presiden yang dilantik terpaksa melakukan apa saja demi menjamin keselamatan Negara Zionis Israel dari sebarang ancaman. Belajar dari situasi inilah, maka Anwar sanggup memberi aku janji untuk menjaga keselamatan Israel demi menjamin kemasukan dana untuk menjayakan cita-citanya.

 13. Terlalu banyak bukti yang menunjukkan penglibatan Anwar dengan penyangak asing ini. Wartawan veteran Dateline Australia, George Negus pernah melaporkan secara khusus tentang penglibatan Anwar dalam International Crisis Group (ICG) yang turut dianggotai oleh Soros, Wesley Clark, Shlomo Ben Ami (bekas Menteri Luar Israel) dan beberapa tokoh lain. ICG melalui kenyataan di Vancouver pada 2007, telah mengeluarkan deklarasi untuk mengiktiraf Israel melalui “Two State Solution” dan deklarasi ini turut dipersetujui oleh Anwar.


[Anwar dan Soros dalam persidangan ICG, dalam usaha mengiktiraf negara Zionis Israel]

14. Satu masa dahulu, British mula bertapak di Tanah Melayu kerana dijemput oleh segelintir pembesar melayu ketika itu bertelingkah sesama sendiri kerana berebutkan kuasa pemerintahaan. Dengan kekuatan ketenteraan dan wang, British telah menawarkan sokongan kepada salah satu pihak yang bertelagah untuk mendapatkan kuasa. Dengan sokongan yang diberikan, sedikit demi sedikit British memperoleh kuasa dan akhirnya menguasai keseluruhan Tanah Melayu. Apa yang tinggal ketika itu hanyalah sedikit kuasa yang masih ada pada raja-raja melayu.

15. Kita bernasib baik, di saat British cuba menghapuskan terus kuasa Raja-Raja Melayu melalui Malayan Union, wujud kesedaran dikalangan orang melayu untuk bersatu dan mempertahankan saki baki kuasa yang ada seterusnya menuntut kemerdekaan. Disaat itu UMNO bangkit menuntut hak untuk rakyat negara ini melalui diplomasi untuk memerdekakan negara tanpa pertumpahan darah walaupun ada linangan air mata yang gugur dibumi bertuah ini.

16. Apakah kita sanggup melihat tragedi sama berulang kembali? Jika ia benar-benar berlaku, apakah kita ada cukup masa untuk menyelamatkan negara ini dari terus menuju kehancuran? Sepatutnya setiap pemimpin, baik dari kerajaan mahu pun pembangkang harus menyemai sifat kasih dan cintakan negara. Namun semua ini tidak berlaku, demi kuasa ada dikalangan kita yang sanggup menjual negara, bangsa, malah agamanya sendiri.

17. Budaya politik kotor yang diamalkan oleh Anwar ini sedikit demi sedikit telah meresap dan menjadi budaya dalam pakatan pembangkang. Disebabkan itu, kita lihat bagaimana konflik dalaman berlaku dalam PKR kerana mengejar kuasa. Di Selangor, kita boleh lihat bagaimana wujud dua kem yang diketuai oleh Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Masing-masing saling menjatuhkan antara satu sama lain bagi memastikan kuasa pemerintahan negeri dikawal oleh orang kepercayaan masing-masing. Pas pun turut menerima tempias dari campurtangan Anwar. Kerana kuasa, Pas juga sudah berpecah kepada beberapa kumpulan, antaranya kumpulan Anwarinas dan Pro Ulama.

18. Bila ini berlaku, banyak masa dan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk menguruskan negeri terpaksa dibazirkan begitu sahaja. Maka tidak hairanlah wujud pelbagai kepincangan dalam pentadbiran negeri yang dikuasai pakatan. Itu belum lagi dikira dengan kem serpihan yang wujud di peringkat Cabang, Kawasan dan Cawangan. Apakah ini gambaran bentuk pentadbiran negara jika pakatan diberikan peluang untuk memerintah negara? Semoga kita semua dijauhi dari bala bencana ini!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

Posted in PKR | Tagged , , , , , | 1 Comment

Innocence of Muslims: Serangan Persepsi Terhadap Islam

1. Perkara yang menjadi tunjang asas kepada seseorang yang mengaku dirinya Islam ada dua:

  • Pertama, percaya dan mengakui bahawa tiada tuhan yang wajib disembah melainkan Allah Yang Esa.
  • Keduanya, mengakui Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah swt sebagai Rasul terakhir yang diutuskan kepada seluruh umat manusia.

Kedua-dua penyaksian ini terkandung dalam lafaz syahadah yang diikrarkan oleh setiap umat Islam setiap kali solat.

2. Di atas kepercayaan dan tauhid ini, Islam melarang keras perbuatan mensyirikkan Allah swt dengan sesuatu yang lain. Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir yang diutuskan kepada umat manusia dengan membawa kitab suci Al Quran sebagai panduan hidup manusia hingga ke akhir zaman. Allah swt, Nabi Muhammad saw dan Al Quran merupakan asas kepada kepercayaan umat Islam, maka atas dasar itu ketiga-tiganya menjadi subjek sasaran pihak tertentu.

3. Kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad saw telah tertulis dalam kitab yang diturunkan kepada nabi yang terdahulu. Sebagaimana para utusan Allah sebelumnya, beliau adalah manusia yang telah dipilih untuk memberi rahmat kepada sekalian alam ini. Sebagaimana Al-Quran, begitulah akhlak yang ditunjukkan oleh baginda. Sejak dari kecil hingga wafat, Nabi Muhammad saw mempamerkan akhlak terpuji sebagai tauladan kepada umatnya.

4. Nabi Muhammad saw diutuskan untuk memberi panduan kepada manusia bagi mencapai kebahagian diakhirat melalui cara hidup Islam. Baginda mengajar manusia untuk melakukan kebaikan sesama manusia dan alam ciptaan tuhan. Dalam masa yang sama juga, baginda menyampaikan peringatan Allah swt, tentang wujudnya hari pembalasan serta amaran terhadap manusia yang melakukan kezaliman.

5. Sepanjang kajian oleh para pengkaji Islam dan barat, tidak pernah ada sebarang kecacatan yang ditemui berkait tingkah laku baginda sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini. Mana-mana para ulamak Islam, pasti sanggup berhujah dan bersedia memberikan bukti yang jelas dan nyata tentang akhlak baginda sekiranya ada yang mempertikaikannya.Tetapi ia tidak berlaku, kerana mereka yang tidak bertanggungjawab ini hanya cuba untuk memburukkan Nabi Muhammad melalui serangan persepsi berdasarkan fitnah tanpa bukti yang kukuh.

6. Menerusi filem, serangan persepsi samada baik atau buruk boleh dipropagandakan kepada khalayak umum. Sejak tahun 60-an lagi, filem dieksplotasi untuk memberikan gambaran kehebatan tentera Amerika dalam peperangan Vietnam. Penonton diberikan persepsi bahawa Amerika adalah hero manakala tentera Veitcong (yang mempertahankan negaranya dari dijajah) sebagai musuh yang jahat. Antaranya filem The Green Berrets, The Deer Hunter dan puluhan lagi filem propaganda persepsi yang dihasilkan penerbit Hollywood.  Begitulah peranan filem yang berjaya dipropagandakan oleh dunia barat.

7. Sebagaimana filem dalam peperangan Vietnam, filem Innocence of Muslims adalah satu serangan terancang untuk memberikan persepsi buruk kepada Nabi Muhammad saw dan Islam. Menggunakan individu seperti Nakoula Basseley Nakoula, sejumlah dana diperuntukkan bagi menerbit filem bagi mencapai matlamat tersebut.

8. Semua ini dilakukan atas prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang telah diterapkan sejak sekian lama melalui NGO tertentu di pelbagai negara seluruh dunia. Apakah ini ‘test market’ untuk menguji sejauh mana doktrin kebebasan bersuara berjaya dihadamkan oleh umat Islam. Mungkinkah satu hari nanti, segala sensitiviti umat Islam yang ditonjolkan dalam siri penentangan terhadap filem sebegini akan hilang setelah doktrin kebebasan bersuara ini berjaya didoktrinkan sepenuhnya?

9. Di dunia barat, kebebasan bersuara telah pun menjadi satu prinsip hidup. Maka tidak hairanlah bila mereka bebas untuk menghina dan mempersenda siapa saja yang mereka suka. Kini mereka sudah berani menghina Nabi Muhammad saw yang sangat tinggi kedudukannya dalam Islam. Tidak cukup dengan itu, mereka dengan tidak sedikit pun rasa bersalah terus menyiarkan kartun untuk mempersenda Nabi Muhammad saw.

10. Apa yang dilakukan ini merupakan satu penghinaan darjah tertinggi kepada seluruh umat Islam. Maka amat wajar umat Islam seluruh dunia bangkit untuk menyatakan bantahan terhadap penghinaan yang dilakukan. Pemimpin Iran, Ayatullah Khomeni satu masa dulu pernah mengeluarkan arahan bunuh kepada Salman Rushdie yang menghina Al Quran melalui bukunya ‘The Satanic Versus’. Hari ini kita menyaksikan bagaimana seorang menteri Pakistan, Ghulam Ahmed Bilour pula menawarkan AS$100,000 kepada sesiapa yang berjaya membunuh Nakoula. Semua ini adalah tindakbalas yang sememangnya kita jangkakan.

11. Kenyataan pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang menyatakan bantahan yang dilakukan oleh umat Islam sebagai membuang masa juga amat biadap. Siapa beliau untuk mengajar umat Islam tentang perkara yang berkait dengan pegangan agama Islam? Jika umat Islam gagal menunjukkan bantahan, pasti akan lebih banyak penghinaan akan dilakukan. Ini bukan soal sekadar penghinaan kepada parti politik atau bangsa, tetapi ia melibatkan penghinaan terhadap agama Islam. Apakah pemimpin DAP ini ingin berkata bahawa ratusan juta umat Islam yang sedang membantah penerbitan filem ini juga sedang membuang masa?

12. Kita boleh lihat pemuda UMNO dan pemuda Pas turut sama memberikan komitmen untuk menyertai bantahan yang turut dilakukan di seluruh dunia. Majlis Tertinggi UMNO juga telah mengeluarkan kenyataan bantahan yang tegas. Tetapi apa yang menjadi kemusyikalan kita, dimana suara bantahan dari pemimpin PKR? Apakah mereka sependapat dengan pemimpin DAP, bahawa apa juga bantahan sebagai membuang masa? Atau mereka tidak sanggup lagi untuk membuat ‘tour’ meminta maaf buat kali kedua sekiranya menunjukkan kelantangan mengkritik yahudi?

13. Disebabkan kecaman pelbagai pihak, Ngeh Koo Ham telah pun meminta maaf atas sikap biadap beliau. Namun kita sangsi apakah permohonan maaf itu, benar-benar ikhlas atau sekadar terpaksa demi meraih undi pilihanraya? Apakah jaminan bahawa beliau tidak akan mengulangi perbuatan biadapnya itu pada masa depan, seandainya berkuasa kelak? Kita perlu mengingatkan pemimpin ini agar menjaga sensitiviti umat Islam. Jangan sesekali cuba mencurahkan minyak ke api. Sebagai warganegara kita bebas untuk berpolitik dan menyuarakan pendapat tetapi ia tidak harus melampaui batas.

14. Kita bimbang jika kebebasan ini disalah guna, maka kemarahan ini akan diterjemahkan dalam bentuk keganasan yang sukar untuk kita bendung. Sepanjang negara ini merdeka, belum ada lagi rusuhan yang melibatkan agama sebagaimana berlaku di sesetengah negara. Tragedi seumpama 13 Mei harus dielakkan dengan langkah-langkah pencegahan. Mencegah itu lebih baik dari merawati. Maka semua pihak harus hormat menghormati dan sentiasa menunjukkan akhlak mulia sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Muhaamad saw.

15. Persoalan tentang kepercayaan agama ini lebih kompleks dari pegangan politik yang boleh berubah mengikut masa. Jika tidak ditangani, ia boleh membawa implikasi yang sangat buruk. Di Eropah, penganut kristian Protestan dan Katholik sanggup berperang kerana memperjuangkan kepercayaan mereka.

16. Di Timur Tengah juga berlaku perkara yang sama antara golongan Sunni dan Syiah. Akhirnya, peperangan menyebabkan mereka menjadi sasaran serangan kuasa asing. Tragedi 911 muncul dari kemarahan umat Islam kepada Zionis Israel yang menzalimi umat Islam di Palestin. Kesudahannya ia menyebabkan dunia tidak lagi aman dan peperangan berterusan. Kesannya, banyak pihak termasuk negara kita turut menerima tempias dari konflik yang melanda.

17. Di India, pernah berlaku konflik agama yang melibatkan penganut Islam dan Hindu sehingga berlakunya pertumpahan darah. Biar pun ia telah berlalu, namun proses memulihkan masyarakat yang dilanda konflik agama ini amat sukar dan mengambil masa yang panjang.

18. Maka atas sebab itu, kita tidak bersetuju dengan hujah sesetengah pemimpin Pas dari golongan Anwarinas yang memandang remeh tentang apa yang diungkapkan oleh pemimpin Dap. Dr Hatta Ramli dalam kenyataannya cuba membela pemimpin DAP kononnya ia bersifat peribadi.

19. Kenyataan sebegini memberikan satu mesej yang salah kepada masyarakat. Jika ianya diterima, apakah nanti sesiapa sahaja bebas menghina umat Islam, para Nabi dan Allah swt atas dasar mengeluarkan pandangan peribadi? Sudah pasti penerbit filem Innocence of Muslims dan Salman Rushdie juga boleh berkata bahawa apa yang dilakukan mereka juga merupakan pandangan peribadi!

[bila pemimpin Pas sudah satu kapal dengan PKR, maka nadanya juga sudah berbeza]

20. Disebabkan itu suka saya menyatakan dengan jelas kepada pemimpin Pas, usahlah meletakkan kepentingan politik lebih dari kepentingan Islam. Ada ketikanya kita terpaksa melupakan politik seketika demi menunaikan amanah Allah dan RasulNya demi kemaslahatan umat. Kuasa bukan satu jaminan mutlak untuk membawa kita ke syurga Allah swt, akan sampai masanya kita terpaksa meninggalkannya untuk mengadap Illahi!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

Posted in Isu Semasa | Leave a comment

Kemerdekaan : Rakyat Bebas Membuat Pilihan

1. Kita telah dijajah terlalu lama sebelum diberi kuasa untuk mengurus tadbir negara sendiri. Jika dibandingkan usia kita dijajah selama 446 tahun, usia kemerdekaan yang kita kecapi selama 55 tahun ini bukanlah satu tempoh yang terlalu panjang. Sewaktu dalam era penjajahan, nenek moyang kita hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kedaifan. Jika pun tidak menjadi hamba, mereka terpaksa bekerja untuk penjajah dan segala hasil negara tidak dapat dinikmati oleh rakyat jelata.

2. Setelah Tanah Melayu berjaya dimerdekakan, usaha ke arah penyatuan dengan Sabah dan Sarawak (termasuk Singapura dan Brunei) telah digerakkan maka terbentuklah negara Malaysia pada 16hb September 1963. Generasi hari ini lebih bertuah kerana dilahirkan sebagai warganegara yang bebas dan merdeka. Hasilnya kita boleh melakukan apa sahaja selagi ianya tidak bertentangan dengan undang-undang negara malah lebih dari itu kita dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan.

3. Namun demikian, di saat ramai warga asing yang sanggup melakukan apa sahaja untuk terus tinggal dinegara ini seterusnya menikmati kemakmuran ekonomi, ada segelintir rakyat kita yang tidak menghargainya. Mereka lebih menyanjung negara lain lebih dari negara sendiri sehingga sanggup menghina bendera yang menjadi simbol negara kita.

4. Tradisi penggunaan bendera telah wujud sejak zaman berzaman lagi. Ianya menjadi simbol kepada maruah sesebuah negara. Atas sebab itu maka dalam peperangan dizaman silam, bendera dijadikan panji-panji untuk dibawa ke medan peperangan. Maka tidak hairanlah, bilamana bendera negara dihina sedemikian rupa, maka ia mengundang kemarahan banyak pihak.

5. Kita merasa simpati dengan ibubapa pelajar terbabit yang terpaksa memohon maaf bagi pihak anaknya akibat kejadian ini. Namun begitu, negara ini mempunyai sistem perundangan yang termaktub dalam perlembagaan. Polis ditugaskan untuk menyiasat sesuatu kes berdasarkan laporan yang dibuat. Pendakwaraya pula menjalankan pendakwaan dimahkamah jika wujud perlanggaran undang-undang manakala hakim pula menentukan pesalah bersalah atau sebaliknya. Maka seharusnya kita perlu akur dengan proses ini demi memastikan proses keadilan itu berjalan sebaik-baiknya bagi semua pihak terlibat.

6. Episod ini memberikan kita satu gambaran jelas bahawa anak-anak muda ini begitu mudah dipergunakan oleh sesetengah pihak demi meraih kuasa politik. Malangnya disaat anak-anak muda ini diburu oleh pihak berkuasa, pemimpin yang menjadi dalangnya masih bebas menghasut anak muda kita untuk dijadikan kambing hitam.

7. Budaya politik merosakkan negara yang diamalkan oleh sesetengah pemimpin ini perlu dihentikan. Mereka ini perlu ada kesedaran yang jelas bahawa tujuan politik adalah untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara. Namun begitu, jika apa yang dilakukan itu menyebabkan negara dan bangsa menjadi rosak maka untuk apa mereka berpolitik? Kaedah matlamat menghalalkan cara yang diamalkan pemimpin Pakatan hanya menjadikan rakyat negara ini terjerumus ke kancah kezaliman!

8. Kita semua sedar dalam sistem demokrasi, perbezaan pendapat tentang sesuatu isu tidak dapat dielakkan. Namun ianya perlu ditangani sebaik mungkin dengan ada batas tertentu demi memastikan keamanan dan kemakmukran negara terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

9. Kadangkala kita perlu memandang ke negara lain yang terus menerus dilanda konflik. Rakyat mereka tidak bebas untuk keluar bekerja mencari nafkah untuk anak dan isteri, apatah lagi untuk mengumpul kekayaan mahu pun mendapat hak untuk memilih pemimpin. Dalam keadaan yang lebih teruk, nyawa sudah tiada nilainya. Apakah keadaan ini yang kita inginkan? Sudah pasti tiada rakyat mana-mana negara sekali pun yang inginkan kehidupan sebegitu.

10. Kita melihat sendiri nasib etnik Rohingya yang menjadi pelarian tanpa negara yang dibunuh dan dirogol dengan kejam! Mereka dihalau dan tidak diiktiraf sebagai warganegara di negara yang mereka huni. Suasana sebegini tidak berlaku di negara ini biarpun kita juga mempunyai pelbagai bangsa dan etnik. Banyak dasar yang menjurus kepada perpaduan kaum dilaksanakan kerajaan.

11. Kepelbagaian bangsa ini cuba digemblengkan oleh pemimpin negara dan akhirnya ia menjadi sumber kekuatan dalam konteks pembinaan negara Malaysia hari ini! Setiap bangsa berpeluang memberikan sumbangan kepada negara. Malangnya ada pemimpin tertentu yang sanggup menjadi batu api melaga-lagakan rakyat dengan harapan dapat menangguk di air yang keruh! Pemimpin dengan sifat sebegini hanya akan menghabiskan sepanjang masanya untuk memikirkan bagaimana untuk berkuasa tanpa memikirkan tentang soal kepentingan rakyat. Selagi boleh, apa sahaja perkara akan dipolitikkan!

12. Rakyat Selangor khususnya, pasti merasai bagaimana dipimpin oleh pemimpin sebegini. Sepanjang 4 tahun diperintah Pakatan, ternyata keadaan infrastruktur untuk keselesaan rakyat di Selangor amat mengecewakan. Keadaan jalanraya dibiarkan dalam keadaan tidak terurus dan berlubang sedangkan kita maklum setiap kerajaan negeri diberikan bajet khusus untuk melakukan penyelenggaraan jalan demi kepentingan rakyat sebagai pembayar cukai. Maka kita perlu bertanya ke mana duit itu dibelanjakan? Itu baru soal jalanraya. Bagaimana pula dengan pelbagai kemudahan lain seperti pengurusan sampah, infrastruktur pelancongan dan sebagainya?

13. Dalam kes banjir kilat yang melanda Taman Seri Serdang minggu lalu jelas sedikit sebanyak ia berpunca dari kegagalan kerajaan negeri melakukan penyelenggaraan yang sepatutnya. Kawasan takungan air semakin mengecil disebabkan sebahagiannya ditimbus untuk pembangunan yang sudah tidak terkawal. Sampah yang tidak dikutip akan dihanyutkan air seterusnya menutup laluan air ke kolam takungan. Dalam keadaan sebegini, limpahan air yang banyak akan menyebabkan berlakunya banjir kilat.

14. Bila banjir berlaku, maka banyak kesusahan dan kerugian terpaksa ditanggung oleh rakyat jelata sedangkan mereka ini dipaksa membayar cukai taksiran yang lebih tinggi. (Usah ditanya tentang janji bohong untuk menurunkan cukai pintu!) Apakah kerajaan negeri hari ini tidak sedikit pun merasa bertanggungjawab atas kesusahan penduduk ini. Bila rumah ditenggelami air, banyak barangan yang musnah malah banyak juga kereta yang rosak. Begitu juga dengan sekolah yang ditenggelami air. Dalam lawatan ke sekolah terbabit, saya merasai sendiri bagaimana kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh guru dan anak-anak kita yang tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran. Saya berterima kasih bagi pihak ibubapa dan guru kepada pihak Kementerian Pelajaran yang segera menghulurkan bantuan kepada sekolah yang terjejas. Akibat kerakusan pemimpin, maka anak-anak kecil yang tidak bersalah ini turut menjadi mangsa! Di pihak BN kita sedang mencuba sedaya upaya membawa perkara ini untuk perhatian kerajaan pusat bagi mendapatkan bantuan untuk meringankan sedikit beban penduduk yang terjejas.

15. Kita juga pernah membangkitkan tentang soal penutupan asrama Tun Dr Ismail dan asrama Toh Puan Norashikin milik Yayasan Selangor yang ditutup untuk projek pembangunan. Di waktu itu Menteri Besar Selangor membuat kenyataan kononnya akan menyediakan asrama bagi menyelesaikan masalah pelajar terbabit. Namun hari ini saya dimaklumkan ada dikalangan pelajar yang terlibat terpaksa berulang alik dari rumah sendiri sejauh dari Klang untuk ke sekolah. Sekali lagi anak-anak yang tidak bersalah ini dibiarkan menanggung kesusahan! Cukuplah dengan apa yang berlaku ini.

16. Masanya akan tiba tidak lama lagi untuk rakyat Selangor mendapat mandat bagi memilih pemimpin melalui peti undi, maka pilihlah yang terbaik. Kita akui Barisan Nasional yang selama ini memerintah sejak sekian lama bukanlah sebuah parti yang begitu sempurna tetapi dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, BN mempunyai keazaman politik yang kuat untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” bukan sekadar retorik kosong tetapi ia berjaya dibuktikan oleh kepimpinan negara hingga kini! Maka terpulanglah kepada rakyat Selangor untuk membuat pilihan!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

Posted in DAP, Isu Semasa, Pas, PKR | Leave a comment

Manifesto Pilihanraya 2008 : Punca Kekalutan Kerajaan Pakatan

1. Sejak beberapa hari yang lalu pelbagai peristiwa berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang mengundang kemarahan rakyat. Semua kejadian ini berkait rapat dengan sambutan kemerdekaan negara yang disambut 31hb Ogos yang lalu.

2. Bermula dengan tindakan pemimpin pakatan yang berdegil mengadakan himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka di malam ambang merdeka dan diikuti dengan tindakan biadap penyokong mereka yang menghina jalur gemilang serta pemimpin negara. Kemuncak kepada kekalutan ini diterjemahkan dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor membelakangkan Sultan dalam upacara sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor dengan mengutamakan Penasihat Ekonomi Negeri! [Kemaskini: Kenyataan terbaru oleh Setiausaha Sulit MB Selangor tentang isu ini boleh dibaca di sini dan di sini. Sekali lagi mereka cuba menunding jari kepada pihak lain!]

[Anak muda ini mungkin tidak sedar bahawa warna biru tua yang dibuang dari jalur gemilang itu adalah nilai perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara. Dan jangan lupa juga bahawa 14 jalur yang dibuang itu pula mewakili negeri-negeri yang mempunyai sultan yang berdaulat!]

3. Di saat ini pemimpin pakatan sedang bekerja lebih masa memikirkan cara bagaimana untuk mengurangkan impak kemarahan rakyat demi survival politik mereka. Seperti kebiasaannya teknik paling mudah yang sering diamalkan adalah dengan meletakkan segala kesalahan kepada orang lain! Maka tidak hairanlah bila Menteri Besar Selangor telah pun meletakkan segala kesalahan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri kerana melanggar protokol sambutan kemerdekaan. Apakah mungkin usaha menunding jari kepada UMNO terhadap serangan bas mewah milik Pakatan di Kota Bharu yang lalu juga sebahagian konspirasi untuk mengalih pandangan umum kepada apa yang berlaku?

4. Samada kita sedar atau tidak, segala kekalutan ini berpunca dari dua perkataan keramat yang dijadikan tema kemerdekaan untuk tahun ini – Janji Ditepati! Sewaktu Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan Janji Ditepati sebagai tema hari kemerdekaan 2012, pemimpin pakatan sudah mula resah dan gelisah. Tema lain cuba diketengahkan bagi mengalih pandangan rakyat tentang janji manifesto mereka yang belum tertunai, maka terhasillah tiga tema berbeza di Selangor, Kelantan dan Kedah. Semua ini adalah manifestasi kekalutan mereka akibat gagal menunaikan janji yang dibuat!

5. Sebagaimana tulisan saya sebelum ini, pemimpin pakatan yang dibantu oleh strategis mereka selama ini begitu rakus memanipulasi istilah dan slogan tertentu demi meraih undi politik sedangkan apa yang diwar-warkan hanyalah bersifat indah khabar dari rupa. Setelah 4 tahun rakyat memberikan peluang untuk mereka memerintah ternyata hasilnya amat mengecewakan rakyat!

6. Sebaliknya diperingkat kebangsaan tema Janji Ditepati digunakan bagi menyatakan kepada rakyat bahawa kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerajui negara hari ini adalah sebuah kerajaan yang bersifat bertanggungjawab dalam menunaikan janjinya membawa kemakmuran dan keamanan kepada negara selama 55 tahun mengecapi kemerdekaan. Tiada apa yang salahnya dengan tema ini. Ianya bersifat universal malah dalam sistem demokrasi yang diamalkan, mana-mana parti politik sekali pun akan berjanji perkara tertentu demi kebaikan rakyat. Maka tindakan menunaikan apa yang dijanjikan adalah sesuatu yang terpuji dan sebaliknya parti yang tidak menunaikan janjinya adalah satu tindakan sangat tercela.

7. Namun di saat tema ini berkumandang dan diraikan dalam sambutan kali ini pemimpin pakatan seperti cacing kepanasan. Seolahnya tema ini telah meranapkan segala keegoaan pemimpin pakatan yang selama ini sering berjanji bulan dan bintang untuk diberikan peluang memerintah.

8. Janji pakatan rakyat di Selangor banyak tidak ditunaikan dan sehingga hari ini pemimpin pakatan tidak sedikit pun menunjukkan rasa bersalah atas kegagalan mereka menunaikan segala janji yang dibuat. Bila kita sebut manifesto, ia adalah janji-janji kita atau parti kita kepada rakyat dan ianya diterima sebagai satu perjanjian yang mengikat kita dalam sistem demokrasi. Kenyataan Menteri Besar Selangor yang mengatakan bahawa manifesto pakatan 2008 bukanlah satu perjanjian, jadi ianya tidaklah perlu ditunaikan adalah satu kenyataan yang bersifat sangat angkuh lagi sombong!

9. Rakyat memberikan undi dalam pilihanraya disebabkan tertarik dengan janji yang kita buat semasa berkempen, sebaliknya jika ianya tidak ditunaikan bermakna kita mengkhianati janji dan amanah yang diberi. Jika ini berlaku, bermakna kita tidak jujur kepada rakyat dan pengundi. Apakah pemimpin sebegini wajar diberi peluang untuk memimpin negara?

10. Soal janji pilihanraya ini turut saya ulas dalam pertemuan saya dengan wakil akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan dalam ruangan rencana oleh saudara Zulkifli Jalil dengan tajuk Manifesto: Usah tipu rakyat Selangor di sini.

11. Tidak perlu lagi untuk saya ulas tentang janji manifesto pakatan 2008, cukup sekadar rakyat melihat sendiri apa janji yang telah dibuat oleh kerajaan negeri!

12. Dengan apa yang berlaku jelas menunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin pakatan begitu kalut memikirkan kaedah bagaimana untuk mengelakkan agar tidak dipersalahkan kerana tidak menunaikan janji pilihanraya. Tema janji ditepati itu seumpama satu tsunami yang menjadikan pemimpin pakatan berada dalam keadaan kekalutan sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan diluar akal manusia yang waras!

13. Episod ini sebenarnya memberi satu pengajaran berguna kepada semua parti politik bahawa usah berjanji jika tidak mampu untuk ditunaikan dan jika berjanji maka ia perlu ditunaikan sebagaimana yang diterjemahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang sangat berpegang dengan janji yang dibuat!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

Posted in Uncategorized | 2 Comments