Daulat Tuanku : Ulang Tahun Hari Keputeraan ke 67 DYMM Sultan Selangor

1. Hari ini pada tanggal 11hb Disember 2012 bersamaan 27 Muharam 1434, rakyat Selangor meraikan Keputeraan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah AlHaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan.

2. Amalan sambutan Hari Keputeraan Sultan yang diamalkan di negara ini bukan sekadar meraikan sambutan keputeraan semata-mata tetapi lebih bermakna dari itu, ia adalah satu simbolik kepada amalan Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

3. Kita amat beruntung kerana dapat terus mengekalkan sistem beraja dan dalam masa yang sama dapat mengamalkan sistem perkongsian kuasa yang diturunkan kepada rakyat melalui Demokrasi Berparlimen. Di banyak negara, institusi raja telah lenyap dan terhapus dan ada sesetengahnya pula bergelut untuk mengekalkan sistem ini sebagaimana yang pernah dialami oleh Jepun. Di suatu ketika, rakyat Jepun sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan sistem raja dapat dikekalkan.

4. Sultan dan Yang diPertuan bagi negeri-negeri yang berdaulat merupakan ketua kepada seluruh rakyat negeri tanpa mengira agama, bangsa mahupun etnik. Walaupun baginda seorang Melayu dan beragama Islam, baginda merupakan ketua kepada seluruh rakyat. Maka atas sebab itu maka baginda sultan menjadi sumber penyatuan rakyat jelata tanpa mengira agama atau bangsa sebagaimana yang yang termaktub dalam perlembagaan negara.

5. Perkara ini yang adakalanya gagal difahami dan berkemungkinan cuba dipesongkan oleh sesetengah pihak atas kepentingan tertentu. Seringkali rakyat digambarkan bahawa peranan Sultan hanya untuk menjaga kaum tertentu sahaja. Ini satu fakta yang sangat menyeleweng dan perlu diperbetulkan dikalangan rakyat. Biarpun baginda sultan dipertanggungjawabkan menjaga kedudukan orang-orang Melayu dan Islam (Per 153), ianya perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa lain. Dengan kata lain, Sultan juga berfungsi menjaga kepentingan bangsa lain sebagaimana dijamin oleh perlembangaan. Ini yang telah diamalkan sejak sekian lama semenjak kita merdeka.

6. Perlembagaan telah memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada baginda Sultan sebagaimana diberikan kepada badan eksekutif, legislatif dan judisiari. Tanpa kita sedari, sejarah negara telah membuktikan bahawa peranan yang dimainkan oleh Sultan dan Yang DiPertuan Agong bersama badan-badan ini telah menyaksikan wujudnya kestabilan dan kemakmuran negara yang kita kecapi hari ini. Semoga ianya terus dapat dipertahankan.

7. Sempena dengan hari keputeraan ini, saya mewakili ADUN BN Selangor serta seluruh rakyat negeri merafak sembah, mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah. Semoga Tuanku Sultan dipanjangkan usia dan terus meyumbang bakti menjaga seluruh rakyat negeri Selangor khususnya.

8. Dalam temuramah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang boleh diakses di sini, ternyata baginda begitu serius untuk melihat rakyatnya dapat hidup dengan aman dan bersatu padu. Baginda bertitah dari hatinya yang tulus ikhlas, memberi pesanan, teguran dan nasihat kepada sekalian rakyat.

Berikut sedikit petikan temuramah yang saya petik unntuk renungan kita bersama:

Sebagai ketua agama negeri apa masalah dan cabaran yang dilalui kebelakangan ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Sejak kebelakangan ini saya dapati banyak aduan daripada orang Islam, yang mana masih banyak berlaku politiking di dalam masjid. Kalau saya tegur, mereka akan menuduh saya menyebelahi kepada sesuatu parti. Saya bertitah senang sahaja, jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah. Itu saja yang saya cakap.

Tetapi malangnya, terdapat pihak yang masih lagi mengikut emosi dan tidak berfikir panjang. Saya cuma cakap jangan buat lagi, kerana ia tidak elok. Saya tidak suka buang pegawai masjid jika buat kesalahan, kerana ia bukan cara saya menyelesaikan masalah. Saya tidak mahu rosakkan periuk nasi orang, tapi mesti dengarlah cakap. Saya bukan tidak suka orang cakap politik atau tidak suka orang politik, malah sebenarnya kuasa saya mengatasi politik. Saya lebih bimbangkan perpecahan orang Melayu.

Apakah Tuanku merasakan cabaran kini semakin hebat, dan mengapa begitu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang semakin hebat cabaran, terutama sebagai Sultan Selangor. Saya fikir kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan. Malah saya lihat, ada di antara mereka yang mempunyai ijazah dan berpelajaran tinggi, namun masih terikut-ikut dengan emosi dan tidak menggunakan kewarasan fikiran.

Kenapakah Tuanku menyediakan semua sendiri (Teks Ucapan)?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak ada pasukan penyelidik. Kakitangan Pejabat Sultan Selangor akan mengumpulkan maklumat. Saya membuat ucapan sendiri kerana kalau orang lain buat, takut ada udang sebalik batu. Saya tidak ada agenda tersembunyi, ucapan saya untuk menasihati rakyat. Sebab itu kadang-kadang saya berasa sedih dan benci kalau ada orang kata saya menyebelahi mana-mana parti. Apa ni! Saya tidak ada kena mengena dengan perkara itu. Saya cakap apa yang penting untuk Islam dan bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum. Saya cuma memberikan nasihat secara ikhlas kepada rakyat Selangor.

Tuanku kelihatan selalu ditohmah dalam segenap aspek tetapi Tuanku masih terus berani melahirkan pandangan.

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan atau menyerah kalah, terutama ketika di saat-saat mencabar. Saya telah memikirkan perkara ini, serta menanam keazaman pada saat mengangkat sumpah sebagai sultan. Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu. Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik.

Adakah Tuanku melihat perkara melaga-lagakan orang Melayu ini sudah sampai ke tahap melampau sehingga ada yang mendoakan kehancuran orang Melayu lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin ia sudah ke tahap melampau dan masih belum ada persefahaman bahawa sudah sampai masa untuk orang Melayu berbaik-baik. Saya masih belum melihat sesiapa pun bersungguh-sungguh mengajak orang Melayu berbaik-baik. Orang Melayu sudah berpuak-puak tetapi saya mahu melihat semua orang Melayu bangkit dan berbaik-baik sesama mereka. Kini orang Melayu terlalu mengejar kedudukan dan kebendaan. Saya melihat apabila orang Melayu terperangkap dalam sesuatu isu, mereka perlu bersatu sesama sendiri, insya-Allah mereka akan lebih selamat. Kalau berterusan bergaduh sebegini, habislah orang Melayu. Sekurang-kurangnya saya melihat kita orang Melayu perlu bersatu sebagai umat Islam.

Pada pandangan Tuanku apakah masalah ini boleh diselesaikan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya bahawa setiap masalah ada penyelesaian. Kalau orang Melayu fikir mendalam dan faham sejarah, mereka tidak akan lakukan perkara ini. Allah kata kalau manusia buat salah, mereka boleh insaf dan bertaubat dan balik jalan yang betul. Kita perlu sedar apabila dah melakukan kesalahan, tetapi jangan asyik mengulanginya, kita perbetulkan balik. Saya juga buat salah, tapi kemudian minta maaf dan tidak buat lagi. Saya perbetulkan balik. Tetapi masalahnya, ahli politik kebanyakannya tidak mahu mengaku salah. Mereka sentiasa menegakkan benang basah. Mereka melakukan kesalahan berulang-ulang. Almarhum Ayahanda selalu cakap, kalau buat salah mengaku sahaja, dan mulakan buku baharu. Tetapi bagi ahli politik, mustahil itu semua akan berlaku.

Apa yang saya siarkan ini hanyalah sebahagian temuramah dengan baginda. Sila lawati temuramah penuh di sini. Marilah kita sama-sama menghayatinya dengan penuh keinsafan.

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s