Penglibatan Soros: Siapa Yang Nyanyuk? Mahathir Atau Tony Pua?

1. Beberapa hari lalu, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir memberi amaran tentang campur tangan George Soros yang cuba menjatuhkan pemimpin negara melalui dana yang disalurkan kepada pakatan pembangkang. Beliau menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam. Ini dibuktikan dengan jatuhnya kerajaan Georgia, Hungary dan Ukraine hasil campurtangan Soros melalui Open Society Institute.
2. Kenyataan beliau itu telah dibidas oleh Tony Pua sebagai pandangan dari seorang tua yang nyanyuk. Beliau mendakwa kononnya pemimpin pakatan tidak pernah kenal dengan manusia bernama Soros. Walau apa pun alasannya, menggunakan perkataan sebegitu kepada Tun Mahathir jelas menggambarkan sikap anak muda yang biadap dan angkuh. Budaya sombong yang diajar oleh pucuk pimpinan pakatan kini terbawa-bawa sehingga ada yang sudah lupa diri.

[Benarkah pemimpin pakatan tidak kenal Soros? Siapa yang menipu?] 

3. Tun Mahathir mungkin agak tua jika dibandingkan dengan Tony Pua. Tetapi beliau bukan sebarangan orang tua. Seorang tua yang berpengetahuan luas tentang gerakan yahudi antarabangsa, serta sarat dengan pengalaman politik. Sewaktu dalam majlis bersama beliau di program anjuran MUBARAK, ternyata pemikiran beliau masih lagi tajam dan kritis mengalahkan orang muda. Beliau seperti biasa tahu apa yang diungkapkan, memahami tentang subjek yang diperkatakan dengan jelas – lebih dari itu, beliau tahu kenapa ia perlu diperkatakan. Begitulah Tun Dr Mahathir, seorang tokoh politik dan negarawan hebat yang disegani dunia tetapi diperlekehkan oleh Tony Pua.

4. Kerana ingin mempertahankan ketua dan partinya, maka Tony Pua diserang penyakit sering terlupa dan buat-buat lupa. Beliau mungkin terlupa bahawa sejak dari 2008 lagi begitu banyak dana asing mencurah masuk untuk membantu kempen pakatan pembangkang. Beliau mungkin buat-buat lupa tentang penglibatan NGO asing seperti National Endowment for Democracy (NED) yang bergerak aktif menyalurkan dana bagi membantu jentera kempen pilihanraya pakatan. Bagaimana mungkin, seorang pemimpin kanan parti seperti Tony Pua tidak tahu tentang penglibatan Soros dalam penyaluran dana asing ini?

5. Sejak dibawa masuk ke dalam UMNO oleh Tun Dr Mahathir, Anwar bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan mengecapi gelaran negarawan hebat sebagaimana dikecapi oleh Tun Dr. Mahathir. Malangnya, disebabkan moralnya teruk dan kurangnya sifat patriotik untuk mempertahankan negara dari serangan penyangak seperti Soros, menyebabkan beliau disingkirkan dan tidak dilantik sebagai Perdana Menteri, sebaliknya Tun Abdullah telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke 5. Begitulah ketentuan Ilahi yang tidak dapat diterima oleh Anwar sehingga ke hari ini.

6. Sejarah Islam pernah mencatatkan, sewaktu Rasulullah SAW wafat, maka para sahabat berkumpul untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Di saat itu ada sahabat mencadangkan Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A dilantik sebagai khalifah disebabkan beliau adalah sahabat yang paling rapat dengan baginda Rasulullah SAW. Tetapi Saidina Abu Bakar R.A menolaknya, dan meminta agar melantik sahabat lain yang mungkin lebih layak daripadanya. Rupanya tiada lagi yang lebih layak selain dari beliau, dan akhirnya Saidina Abu Bakar dilantik sebagai khalifah Islam pertama. Beliau berpegang kepada prinsip kepimpinan adalah satu amanah yang dikurniakan kepada manusia oleh Allah swt kepada siapa yang dikehendakiNya sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. – Ali ‘Imran : 26

7. Begitulah qada dan qadar Allah swt, yang mana telah tertulis Saidina Abu Bakar RA adalah Khalifah umat Islam yang pertama. Beliau tetap dipilih dan diangkat kerana kelayakannya walaupun pada peringkat awal menolaknya dengan rendah diri. Tetapi akhlak Anwar jauh berbeza, beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi perdana menteri. Soalnya apakah rakyat negara ini sanggup menerima seorang pemimpin tertinggi negara dikalangan orang yang diragui akhlaknya? Apakah kita sanggup melantik pemimpin yang tidak kisah tentang negaranya dijajah semula, asalkan impiannya tercapai? Maka dalam hal ini, tindakan Tun Mahathir tidak melantik Anwar adalah pilihan tepat biar pun terpaksa berhadapan dengan tindakan yang tidak popular.

8. Semasa didalam UMNO, Anwar mengatur pelbagai strategi politik untuk menduduki tampuk pemerintahan negara. Beliau menubuhkan badan pemikir melalui pelbagai pertubuhan untuk melonjakkan namanya dipersada politik tanahair dan antarabangsa. Malah beliau diberi ruang dan laluan yang selesa untuk mengembangkan karier politiknya. Siapa juga yang pernah terlibat dalam perjalanan politik Anwar, pasti tahu bagaimana Anwar berusaha untuk menaikkan namanya. Sewaktu menjadi Menteri Kewangan, begitu banyak wang dibelanjakan untuk menggerakkan kempen politik beliau. Namun semua itu tidak menjamin beliau untuk mengecapi apa yang dicita-citakannya. Firman Allah swt berikut seharusnya dikaji dan perhalusi. “Sesungguhnya manusia merancang dan Allah juga Merancang. Dan Allah sebaik-baik Perancang” (Ali ‘Imran:54)

9. Sehingga hari ini Anwar masih merasakan beliau masih layak menjadi perdana menteri Malaysia. Maka atas dasar itu, beliau sanggup meminta bantuan asing untuk membantu kempen politiknya. Pelbagai misi ke luar negara telah digerakkan untuk mendapatkan sokongan pelobi asing termasuk penyokong kuat zionis Israel. Beliau sudah tidak kisah akan kesan kepada negara pada masa depan. Hasilnya begitu banyak dana asing mengalir melalui NGO tertentu bagi menggerakkan kempen pakatan rakyat. Portal berita propembangkang Malaysiakini dan SUARAM akhirnya terpaksa mengakui telah menerima dana dari Soros melalui Open Society Institute (OSI) setelah didedahkan oleh media. Semua pendedahan ini hanya mengesahkan bahawa apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir 14 tahun lalu mengenai Anwar sebagai tali barut asing memang tepat.

10. Jika diperhalusi sistem penyaluran wang yang dilakukan secara terancang ini, jelas menunjukkan pelobi ini bukan sebarangan organisasi, tetapi ia melibatkan satu jaringan yang kuat dan berpengaruh mencorakkan politik dunia. Sekarang ini kita hanya mampu menafsirkan sehingga penglibatan Soros melalui OSI dan NED sebagai punca dana. Namun apakah Soros berseorangan? Apakah wujud organisasi atau individu lain yang berada disebalik bayang-bayang Soros ini? Kita perlu memahami bahawa apa juga bantuan yang diberikan kepada pakatan pembangkang bukan percuma. Jika IMF yang nampak begitu prihatin dengan kesusahan negara membangun pun, meletakkan syarat tertentu, apatah lagi organisasi sebegini yang diketuai oleh penyangak seperti Soros.

11. Semua pertanyaan ini membawa kita kepada persoalan yang lebih serius. Siapa yang sebenarnya sedang berusaha menakluk negara ini dengan bersekongkol dengan Anwar? Sejauh mana pula komitmen dan kesanggupan pemimpin pakatan lain untuk mempertahankan negara, seandainya dalam keadaan sekarang ini pun mereka sudah sanggup melutut meminta bantuan penyangak asing? Maka bilamana Tun Dr Mahathir memberi amaran kepada rakyat negara ini agar berhati-hati tali barut asing ini, jelas beliau tahu dan sedar tentang apa yang diperkatakannya. Beliau terpaksa bercakap kerana tidak mahu melihat anak bangsanya dijajah semula setelah lebih 55 tahun mengecapi kemerdekaan.

12. Pelobi dari golongan kaya yahudi memainkan peranan yang amat penting dalam setiap kempen presiden Amerika Syarikat. Sejak sekian lama, calon presiden berlumba-lumba untuk mendapatkan bantuan dari pelobi ini bagi menjamin kemenangan mereka. Kesan dari itu, siapa juga yang menjadi presiden terpaksa akur dengan tuntutan dari pelobi ini. Maka hasilnya, presiden yang dilantik terpaksa melakukan apa saja demi menjamin keselamatan Negara Zionis Israel dari sebarang ancaman. Belajar dari situasi inilah, maka Anwar sanggup memberi aku janji untuk menjaga keselamatan Israel demi menjamin kemasukan dana untuk menjayakan cita-citanya.

 13. Terlalu banyak bukti yang menunjukkan penglibatan Anwar dengan penyangak asing ini. Wartawan veteran Dateline Australia, George Negus pernah melaporkan secara khusus tentang penglibatan Anwar dalam International Crisis Group (ICG) yang turut dianggotai oleh Soros, Wesley Clark, Shlomo Ben Ami (bekas Menteri Luar Israel) dan beberapa tokoh lain. ICG melalui kenyataan di Vancouver pada 2007, telah mengeluarkan deklarasi untuk mengiktiraf Israel melalui “Two State Solution” dan deklarasi ini turut dipersetujui oleh Anwar.


[Anwar dan Soros dalam persidangan ICG, dalam usaha mengiktiraf negara Zionis Israel]

14. Satu masa dahulu, British mula bertapak di Tanah Melayu kerana dijemput oleh segelintir pembesar melayu ketika itu bertelingkah sesama sendiri kerana berebutkan kuasa pemerintahaan. Dengan kekuatan ketenteraan dan wang, British telah menawarkan sokongan kepada salah satu pihak yang bertelagah untuk mendapatkan kuasa. Dengan sokongan yang diberikan, sedikit demi sedikit British memperoleh kuasa dan akhirnya menguasai keseluruhan Tanah Melayu. Apa yang tinggal ketika itu hanyalah sedikit kuasa yang masih ada pada raja-raja melayu.

15. Kita bernasib baik, di saat British cuba menghapuskan terus kuasa Raja-Raja Melayu melalui Malayan Union, wujud kesedaran dikalangan orang melayu untuk bersatu dan mempertahankan saki baki kuasa yang ada seterusnya menuntut kemerdekaan. Disaat itu UMNO bangkit menuntut hak untuk rakyat negara ini melalui diplomasi untuk memerdekakan negara tanpa pertumpahan darah walaupun ada linangan air mata yang gugur dibumi bertuah ini.

16. Apakah kita sanggup melihat tragedi sama berulang kembali? Jika ia benar-benar berlaku, apakah kita ada cukup masa untuk menyelamatkan negara ini dari terus menuju kehancuran? Sepatutnya setiap pemimpin, baik dari kerajaan mahu pun pembangkang harus menyemai sifat kasih dan cintakan negara. Namun semua ini tidak berlaku, demi kuasa ada dikalangan kita yang sanggup menjual negara, bangsa, malah agamanya sendiri.

17. Budaya politik kotor yang diamalkan oleh Anwar ini sedikit demi sedikit telah meresap dan menjadi budaya dalam pakatan pembangkang. Disebabkan itu, kita lihat bagaimana konflik dalaman berlaku dalam PKR kerana mengejar kuasa. Di Selangor, kita boleh lihat bagaimana wujud dua kem yang diketuai oleh Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Masing-masing saling menjatuhkan antara satu sama lain bagi memastikan kuasa pemerintahan negeri dikawal oleh orang kepercayaan masing-masing. Pas pun turut menerima tempias dari campurtangan Anwar. Kerana kuasa, Pas juga sudah berpecah kepada beberapa kumpulan, antaranya kumpulan Anwarinas dan Pro Ulama.

18. Bila ini berlaku, banyak masa dan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk menguruskan negeri terpaksa dibazirkan begitu sahaja. Maka tidak hairanlah wujud pelbagai kepincangan dalam pentadbiran negeri yang dikuasai pakatan. Itu belum lagi dikira dengan kem serpihan yang wujud di peringkat Cabang, Kawasan dan Cawangan. Apakah ini gambaran bentuk pentadbiran negara jika pakatan diberikan peluang untuk memerintah negara? Semoga kita semua dijauhi dari bala bencana ini!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in PKR and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Penglibatan Soros: Siapa Yang Nyanyuk? Mahathir Atau Tony Pua?

  1. Kamarudin Hasim says:

    Asslamualaikum Dato”

    Risalah yang menarik dan bermaklumat …tahniah…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s