Kemerdekaan : Rakyat Bebas Membuat Pilihan

1. Kita telah dijajah terlalu lama sebelum diberi kuasa untuk mengurus tadbir negara sendiri. Jika dibandingkan usia kita dijajah selama 446 tahun, usia kemerdekaan yang kita kecapi selama 55 tahun ini bukanlah satu tempoh yang terlalu panjang. Sewaktu dalam era penjajahan, nenek moyang kita hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kedaifan. Jika pun tidak menjadi hamba, mereka terpaksa bekerja untuk penjajah dan segala hasil negara tidak dapat dinikmati oleh rakyat jelata.

2. Setelah Tanah Melayu berjaya dimerdekakan, usaha ke arah penyatuan dengan Sabah dan Sarawak (termasuk Singapura dan Brunei) telah digerakkan maka terbentuklah negara Malaysia pada 16hb September 1963. Generasi hari ini lebih bertuah kerana dilahirkan sebagai warganegara yang bebas dan merdeka. Hasilnya kita boleh melakukan apa sahaja selagi ianya tidak bertentangan dengan undang-undang negara malah lebih dari itu kita dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan.

3. Namun demikian, di saat ramai warga asing yang sanggup melakukan apa sahaja untuk terus tinggal dinegara ini seterusnya menikmati kemakmuran ekonomi, ada segelintir rakyat kita yang tidak menghargainya. Mereka lebih menyanjung negara lain lebih dari negara sendiri sehingga sanggup menghina bendera yang menjadi simbol negara kita.

4. Tradisi penggunaan bendera telah wujud sejak zaman berzaman lagi. Ianya menjadi simbol kepada maruah sesebuah negara. Atas sebab itu maka dalam peperangan dizaman silam, bendera dijadikan panji-panji untuk dibawa ke medan peperangan. Maka tidak hairanlah, bilamana bendera negara dihina sedemikian rupa, maka ia mengundang kemarahan banyak pihak.

5. Kita merasa simpati dengan ibubapa pelajar terbabit yang terpaksa memohon maaf bagi pihak anaknya akibat kejadian ini. Namun begitu, negara ini mempunyai sistem perundangan yang termaktub dalam perlembagaan. Polis ditugaskan untuk menyiasat sesuatu kes berdasarkan laporan yang dibuat. Pendakwaraya pula menjalankan pendakwaan dimahkamah jika wujud perlanggaran undang-undang manakala hakim pula menentukan pesalah bersalah atau sebaliknya. Maka seharusnya kita perlu akur dengan proses ini demi memastikan proses keadilan itu berjalan sebaik-baiknya bagi semua pihak terlibat.

6. Episod ini memberikan kita satu gambaran jelas bahawa anak-anak muda ini begitu mudah dipergunakan oleh sesetengah pihak demi meraih kuasa politik. Malangnya disaat anak-anak muda ini diburu oleh pihak berkuasa, pemimpin yang menjadi dalangnya masih bebas menghasut anak muda kita untuk dijadikan kambing hitam.

7. Budaya politik merosakkan negara yang diamalkan oleh sesetengah pemimpin ini perlu dihentikan. Mereka ini perlu ada kesedaran yang jelas bahawa tujuan politik adalah untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara. Namun begitu, jika apa yang dilakukan itu menyebabkan negara dan bangsa menjadi rosak maka untuk apa mereka berpolitik? Kaedah matlamat menghalalkan cara yang diamalkan pemimpin Pakatan hanya menjadikan rakyat negara ini terjerumus ke kancah kezaliman!

8. Kita semua sedar dalam sistem demokrasi, perbezaan pendapat tentang sesuatu isu tidak dapat dielakkan. Namun ianya perlu ditangani sebaik mungkin dengan ada batas tertentu demi memastikan keamanan dan kemakmukran negara terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

9. Kadangkala kita perlu memandang ke negara lain yang terus menerus dilanda konflik. Rakyat mereka tidak bebas untuk keluar bekerja mencari nafkah untuk anak dan isteri, apatah lagi untuk mengumpul kekayaan mahu pun mendapat hak untuk memilih pemimpin. Dalam keadaan yang lebih teruk, nyawa sudah tiada nilainya. Apakah keadaan ini yang kita inginkan? Sudah pasti tiada rakyat mana-mana negara sekali pun yang inginkan kehidupan sebegitu.

10. Kita melihat sendiri nasib etnik Rohingya yang menjadi pelarian tanpa negara yang dibunuh dan dirogol dengan kejam! Mereka dihalau dan tidak diiktiraf sebagai warganegara di negara yang mereka huni. Suasana sebegini tidak berlaku di negara ini biarpun kita juga mempunyai pelbagai bangsa dan etnik. Banyak dasar yang menjurus kepada perpaduan kaum dilaksanakan kerajaan.

11. Kepelbagaian bangsa ini cuba digemblengkan oleh pemimpin negara dan akhirnya ia menjadi sumber kekuatan dalam konteks pembinaan negara Malaysia hari ini! Setiap bangsa berpeluang memberikan sumbangan kepada negara. Malangnya ada pemimpin tertentu yang sanggup menjadi batu api melaga-lagakan rakyat dengan harapan dapat menangguk di air yang keruh! Pemimpin dengan sifat sebegini hanya akan menghabiskan sepanjang masanya untuk memikirkan bagaimana untuk berkuasa tanpa memikirkan tentang soal kepentingan rakyat. Selagi boleh, apa sahaja perkara akan dipolitikkan!

12. Rakyat Selangor khususnya, pasti merasai bagaimana dipimpin oleh pemimpin sebegini. Sepanjang 4 tahun diperintah Pakatan, ternyata keadaan infrastruktur untuk keselesaan rakyat di Selangor amat mengecewakan. Keadaan jalanraya dibiarkan dalam keadaan tidak terurus dan berlubang sedangkan kita maklum setiap kerajaan negeri diberikan bajet khusus untuk melakukan penyelenggaraan jalan demi kepentingan rakyat sebagai pembayar cukai. Maka kita perlu bertanya ke mana duit itu dibelanjakan? Itu baru soal jalanraya. Bagaimana pula dengan pelbagai kemudahan lain seperti pengurusan sampah, infrastruktur pelancongan dan sebagainya?

13. Dalam kes banjir kilat yang melanda Taman Seri Serdang minggu lalu jelas sedikit sebanyak ia berpunca dari kegagalan kerajaan negeri melakukan penyelenggaraan yang sepatutnya. Kawasan takungan air semakin mengecil disebabkan sebahagiannya ditimbus untuk pembangunan yang sudah tidak terkawal. Sampah yang tidak dikutip akan dihanyutkan air seterusnya menutup laluan air ke kolam takungan. Dalam keadaan sebegini, limpahan air yang banyak akan menyebabkan berlakunya banjir kilat.

14. Bila banjir berlaku, maka banyak kesusahan dan kerugian terpaksa ditanggung oleh rakyat jelata sedangkan mereka ini dipaksa membayar cukai taksiran yang lebih tinggi. (Usah ditanya tentang janji bohong untuk menurunkan cukai pintu!) Apakah kerajaan negeri hari ini tidak sedikit pun merasa bertanggungjawab atas kesusahan penduduk ini. Bila rumah ditenggelami air, banyak barangan yang musnah malah banyak juga kereta yang rosak. Begitu juga dengan sekolah yang ditenggelami air. Dalam lawatan ke sekolah terbabit, saya merasai sendiri bagaimana kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh guru dan anak-anak kita yang tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran. Saya berterima kasih bagi pihak ibubapa dan guru kepada pihak Kementerian Pelajaran yang segera menghulurkan bantuan kepada sekolah yang terjejas. Akibat kerakusan pemimpin, maka anak-anak kecil yang tidak bersalah ini turut menjadi mangsa! Di pihak BN kita sedang mencuba sedaya upaya membawa perkara ini untuk perhatian kerajaan pusat bagi mendapatkan bantuan untuk meringankan sedikit beban penduduk yang terjejas.

15. Kita juga pernah membangkitkan tentang soal penutupan asrama Tun Dr Ismail dan asrama Toh Puan Norashikin milik Yayasan Selangor yang ditutup untuk projek pembangunan. Di waktu itu Menteri Besar Selangor membuat kenyataan kononnya akan menyediakan asrama bagi menyelesaikan masalah pelajar terbabit. Namun hari ini saya dimaklumkan ada dikalangan pelajar yang terlibat terpaksa berulang alik dari rumah sendiri sejauh dari Klang untuk ke sekolah. Sekali lagi anak-anak yang tidak bersalah ini dibiarkan menanggung kesusahan! Cukuplah dengan apa yang berlaku ini.

16. Masanya akan tiba tidak lama lagi untuk rakyat Selangor mendapat mandat bagi memilih pemimpin melalui peti undi, maka pilihlah yang terbaik. Kita akui Barisan Nasional yang selama ini memerintah sejak sekian lama bukanlah sebuah parti yang begitu sempurna tetapi dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, BN mempunyai keazaman politik yang kuat untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” bukan sekadar retorik kosong tetapi ia berjaya dibuktikan oleh kepimpinan negara hingga kini! Maka terpulanglah kepada rakyat Selangor untuk membuat pilihan!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in DAP, Isu Semasa, Pas, PKR. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s