Pembohongan Pemimpin Pakatan dalam Isu Air Percuma dan Penstrukturan Holistik TS Khalid

1. Pemimpin pakatan 3P (PAS, PKR dan DAP) sering kali memanipulasi istilah tertentu bertujuan mengelirukan rakyat bagi mendapatkan sokongan politik. Penggunaan istilah Air Percuma adalah salah satu strategi yang digunakan bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU12 dan akan terus digunakan menjelang PRU akan datang. Dari sudut politik, ianya boleh dianggap satu strategi yang berkesan kerana mampu menarik sokongan rakyat biar pun ianya hanya satu manipulasi dan propaganda semata-mata. Sebaliknya, realitinya jauh berbeza. Jauh panggang dari api!

2. Sejak sekian lama, kerajaan BN memberikan subsidi kepada rakyat meliputi barangan keperluan asas seperti gula, gandum, minyak masak, petrol dan sebagainya. Jika diambil petrol sebagai contoh, setiap RM1.90 sen yang dibayar oleh pengguna, RM 0.82 sen (berdasarkan harga semasa petrol) dibayar oleh kerajaan. Seandainya pengguna membelanjakan RM200 sebulan untuk petrol, maka kerajaan telah membayar RM86.32sen dari kos perbelanjaan petrol mereka. Di Selangor, kerajaan negeri membayar kos 20m padu air yang berjumlah RM11 sebulan dan selebihnya akan ditanggung oleh pengguna. Dalam kedua-dua senario ini, apa yang dilakukan adalah sama tetapi yang membezakannya dari segi penjenamaan. Pakatan rakyat menggunakan istilah percuma, manakala kerajaan pusat menamakannya subsidi!

3. Jika kerajaan pusat ingin mempolitikkan isu subsidi petrol ini, sudah pasti mereka boleh menjenamakan subsidi petrol ini dengan istilah pemberian petrol percuma sebagaimana pemberian air percuma di Selangor. Apa bezanya subsidi RM11 yang diberikan untuk air di Selangor dengan subsidi RM86.32 sen untuk petrol yang diberikan oleh kerajaan pusat? Namun kerajaan pusat tidak menggunakan istilah percuma memandangkan ianya kurang tepat. Namun jika dilakukan, ianya akan dianggap satu penipuan atau percubaan untuk mengelirukan rakyat. Diwaktu itu berkemungkinan besar pemimpin pakatan akan berkokok siang dan malam menyerang kerajaan yang kononnya cuba menipu rakyat dengan memanipulasi istilah percuma!

4. Penggunaan istilah sebegini adalah isu remeh namun dari sudut politik ia memberikan kesan cukup besar. Bagi menjelaskan lagi strategi ini, kita ambil contoh sebuah pasaraya yang mengadakan jualan murah dengan diskaun tertentu untuk barangan yang dijual. Adakalanya mereka memberikan diskaun sehingga 70% potongan untuk barangan tertentu. Jika barangan tersebut berharga RM100, pengguna hanya perlu membayar RM30. Namun begitu kita belum dengar mereka menggunakan istilah percuma untuk barangan tersebut, walaupun RM70 dari harga yang ditawarkan itu diberi diskaun. Ini berlaku kerana majoriti pengguna memahami bahawa istilah barangan percuma itu akan diperolehi tanpa sebarang kos! Sebaliknya barangan yang dijual itu diistilahkan dengan barangan dengan harga diskaun. Maka disinilah letaknya perbezaan antara percuma, subsidi dan diskaun!

5. Dalam bidang pendidikan peringkat rendah dan menengah, kerajaan pusat telah memansuhkan segala yuran persekolahan sejak beberapa tahun yang lalu. Ini bermakna keseluruhan kos persekolahan pelajar ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Maka dalam situasi sebegini barulah perkataan percuma lebih tepat digunakan.

6. Begitu juga dalam soal kesihatan, dimana setiap pesakit warganegara Malaysia hanya perlu membayar sebanyak RM1 untuk setiap sesi rawatan biasa termasuk kos ubatan. Jika kos setiap rawatan yang diterima itu bernilai RM20, maka RM19 dibayar oleh kerajaan. Dalam situasi sebegini, istilah yang paling tepat adalah subsidi walaupun ianya hampir dengan percuma. Sebenarnya begitu banyak subsidi yang diterima oleh rakyat negara ini dalam pelbagai bentuk tanpa kita sedari. Namun disebabkan sudah terlalu biasa dengan apa yang ada, segala nikmat yang diperolehi mungkin dilupakan. Sebagaimana setiap manusia yang dilahirkan dengan kedua belah kaki. Kadangkala kita terlupa bahawa sepasang kaki kita itu begitu besar nikmatnya, malangnya kita melupakannya sehinggalah nikmat kaki itu ditarik oleh Allah swt. Mungkin di saat itu, hati kecil kita berkata, alangkah nikmatnya jika dikurniakan semula kedua belah kaki yang hilang itu.

7. Dalam isu janji air percuma di Selangor, rakyat beranggapan bahawa ianya boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah memandangkan Selangor diwaktu itu dianggap sebuah negeri kaya dan maju. Apa juga usaha yang bertujuan untuk memperbaiki hidup rakyat adalah baik, namun ianya perlu dilakukan secara berhemah tanpa memberi mudarat kepada rakyat pada masa akan datang. Jika diambil sebagai perbandingan, kerajaan pusat memberikan subsidi petrol kepada rakyat sejak sekian lama, dan jelas ia tidak menyebabkan kerajaan muflis. Begitu juga dengan perlaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dan jelas ia dibuat dengan cara yang berhemah tanpa menjejaskan ekonomi negara. Lebih penting dari itu ianya dapat dinikmati oleh golongan sasaran yang sepatutnya tidak seperti janji pakatan yang hanya diberikan secara berpilih-pilih.

8. Ketika ini sebahagian rakyat Selangor dapat menikmati subsidi air RM11 yang diberikan kerajaan negeri. Malangnya KDEB, sebuah GLC Selangor hampir muflis kerana terpaksa menanggung kos subsidi air ini sebanyak RM136.8 juta setahun. Disebabkan kewangan yang terhad ini, maka kerajaan negeri kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk menukarkan meter pukal kepada meter individu dengan pelbagai alasan kerana bimbang kos subsidi air akan meningkat secara mendadak. Jika keseluruhan meter pukal ini bertukar ke meter individu, maka jumlah perbelanjaan yang bakal ditanggung oleh kerajaan negeri adalah RM269.3 juta setahun (meningkat hampir sekali ganda). Kesudahannya rakyat miskin yang tinggal di flat dan pangsapuri kos rendah tidak dapat menikmati subsidi air ini sebagaimana dinikmati oleh golongan berada.

9. Bagi menutup segala kesilapan yang dilakukan, kerajaan negeri cuba menuntut kerajaan pusat agar melaksanakn penstrukturan semula air dengan menjadikan projek pembinaan Loji Rawatan Langat 2 sebagai bahan untuk tawar menawar. Kali ini sekali lagi TS Khalid Ibrahim sengaja menggunakan istilah holistik bagi mengelirukan rakyat. Holistik hanyalah satu istilah lain bagi perkataan menyeluruh. Isunya, benarkah penstrukturan yang dicadangkan itu benar-benar bersifat penyelesaian secara menyeluruh? Bilamana perkataan bombastik sebegini digunakan, rakyat semakin terkeliru. Apa yang cuba dilakukan oleh TS Khalid melalui pelbagai istilah seperti pengstrukturan, holistik, model baru atau apa sahaja bahasa yang digunakan, hanyalah untuk meminta kerajaan pusat mengambil alih konsesi air dari Syabas agar diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan.

10. Bagi memahami isu ini, kita perlu kembali ke titik yang membawa kepada perubahan struktur bekalan air yang dibuat sewaktu dibawah kerajaan BN. Masalah paling besar yang dihadapi oleh pengguna satu masa dahulu berkait dengan soal air bersih terawat yang dibekalkan ke rumah kediaman melalui saluran paip sedia ada yang telah usang. Kos RM2billion yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini tidak mampu ditanggung oleh kerajaan negeri. Maka disebabkan itu tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak konsesi (Syabas) yang menggunakan dana dari institusi kewangan. Kerajaan negeri pula melalui anak syarikatnya KDEB dan kumpulan Perangsang memiliki 30% kepentingan dalam Syabas. Dengan kata lain, kerajaan negeri juga mempunyai hak untuk memberikan sebarang input bagi menjaga kepentingan umum jika ia digunakan dengan betul tanpa perlu mempolitikkan isu air ini. Perkara ini cuba disembunyikan oleh kerajaan negeri. Malah apa juga kenaikan takrif air yang yang terkandung dalam perjanjian konsesi perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri setelah memastikan segala syarat perjanjian dipenuhi oleh pihak konsesi.

11. Isu yang cuba dipolitikkan oleh TS Khalid Ibrahim, tentang soal kenaikan takrif air tetapi dalam model yang kononnya holistik jelas menunjukkan kenaikan takrif air tetap akan dilaksanakan. Jika konsesi diambil alih dari Syabas sekali pun, kepada siapa pula beban pengurusan air ini akan diserahkan? Apakah ianya akan diserahkan kepada KDEB yang sudah hampir muflis itu? Kerajaan negeri tidak perlu  mengelirukan lagi rakyat dengan menukar terma pemegang konsesi dengan penggunaan istilah Operator Rawatan dan Agihan (SPV), seperti yang diwar-warkan. Itu belum dikira lagi tentang jaminan kualiti dan pengurusan air yang lebih baik. TS Khalid perlu menjelaskan bagaimana dan dimana dana akan diperolehi untuk menyelesaikan masalah air ini tanpa melibatkan sebarang kesan kenaikan takrif air sebagaimana yang diwar-warkan! Perlu diingat bahawa apa juga krisis air yang berlaku jika ianya tersalah-urus, maka bukan Selangor sahaja bakal terjejas. Kuala lumpur dan Putrajaya yang menjadi nadi ekonomi negara juga akan menerima kesan yang teruk.

12. Kerajaan negeri telah pun mengadakan Forum Air Selangor kononnya untuk menyelesaikan masalah air ini. Sehingga ke hari ini saya masih menunggu sebarang langkah dan tindakan konkrit dari kerajaan negeri. Malangnya tiada apa yang dilakukan. Mungkin TS Khalid berfikir bahawa setelah forum diadakan, dan kenyataan akhbar dibuat maka isu air telah pun diselesaikan! Inilah budaya bodoh sombong pemimpin pakatan, bila ada isu timbul mereka akan panggil untuk berforum atau berdebat. Maka bertempik bersoraklah penyokong mereka dalam sesi debat itu. Setelah debat selesai, mereka akan pulang dengan rasa puas penuh bangga dan fikir apa juga masalah yang didebatkan telah pun dapat diselesaikan! Pemimpin mereka pula mungkin berharap, akan ada orang lain datang untuk menyelesaikan masalah mereka satu hari nanti!

13. Dalam pertikaian tentang kenaikan takrif air ini, kerajaan negeri sendiri mengakui bahawa kenaikan takrif air tetap akan berlaku. Tiada mana-mana institusi kewangan yang sanggup memberikan pinjaman yang begitu besar melainkan diberi jaminan bahawa mereka akan memperolehi semula hasil dari pinjaman yang dikeluarkan dalam tempoh masa tertentu. Jika sekiranya pemegang konsesi diserahkan kepada GLC Selangor sekali pun, mereka juga akan menghadapi masalah yang sama. Kos merawat air sentiasa meningkat. Kita bukan lagi hidup di zaman pra sejarah dimana air sungainya begitu bersih untuk diminum begitu sahaja. Seandainya TS Khalid begitu taksub dengan air lombongnya itu, saya ingin mencabar beliau untuk buktikan berapa kos untuk merawat air tersebut sehingga ia selamat diminum! Dan untuk tempoh berapa lama simpanan air lombong tersebut mampu bertahan! Sepatutnya kerajaan negeri perlu berterima kasih kepada kerajaan pusat yang bersedia menanggung segala kos untuk membina loji rawatan air Langat 2 untuk manfaat rakyat Selangor. Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri hanyalah memberikan kelulusan untuk pembinaan ditanah yang menjadi milik kerajaan negeri. Malangnya TS Khalid lebih berminat untuk mempolitikkan isu ini demi menunjukkan kuasa tanpa memikirkan kesan yang bakal ditanggung oleh rakyat pada masa akan datang!

 14. Kerajaan Pusat tidak berminat pun untuk menggunakan isu air ini sebagai bahan politik, namun sikap kerajaan negeri yang terus menyalahkan kerajaan pusat dan cuba mempolitikkannya amat menjijikkan. Umum mengetahui bahawa projek Langat 2 adalah projek kerajaan pusat yang langsung tidak menggunakan wang dari kerajaan negeri walaupun manfaatnya bakal dinikmati oleh rakyat selangor. TS Khalid cuba bermain politik dengan mengatakan bahawa krisis air tidak akan berlaku pada tahun 2014. Sebenarnya pada perkiraan politik TS khalid, apa juga krisis air yang bakal dihadapi oleh rakyat Lembah Kelang akan berlaku selepas pilihanraya umum 13 samada 2014 atau 2019. Diwaktu itu jika pakatan tidak lagi memerintah, maka masalah ini akan ditinggalkan kepada kerajaan BN untuk menyelesaikannya dan sebaliknya jika mereka terus memerintah, krisis air ini akan digunakan sebagai alasan untuk memaksa kerajaan pusat mengambilalih pengurusan air dari pihak konsesi.

15. Bagi mewajarkan tindakan politik kerajaan negeri, berbagai alasan telah digunakan oleh TS Khalid. Pada satu ketika, beliau mendakwa Selangor boleh menggunakan air dari lombong. Selepas itu beliau mendakwa Air Tasik Kenyir boleh digunakan kerana kosnya lebih murah. Nampaknya TS Khalid terpaksa bersilat memberikan pelbagai alasan bagi menutup segala perancangan jahat penasihatnya untuk mensabotaj rakyat Selangor secara halus.

16. Perkiraan politik sebegini memang bijak, namun ia seumpama meletakkan rakyat dalam keadaan berisiko menghadapi krisis air yang kita tidak tahu akan kesannya. Krisis air akan memberikan kesan ekonomi yang sangat besar memandangkan ia bukan sahaja melibatkan Selangor semata-mata tetapi akan turut melibatkan ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pelabur akan meninggalkan negara dan ini memungkinkan penurunan peluang pekerjaan. Kekurangan pekerjaan seterusnya akan menyebabkan masalah sosial meningkat secara mendadak. Ini adalah bencana besar kepada penduduk Lembah Kelang. Mungkin pemimpin pakatan tidak peduli semua ini, asalkan mereka dapat terus berkuasa!

17. Jika diteliti apa yang berlaku ini, tiada apa yang holistiknya penyelesaian yang canangkan oleh TS Khalid Ibrahim. Sekali lagi ianya hanyalah satu istilah bombastik yang sedap di dengar tetapi isinya kosong! Ia hanyalah satu lagi penyalahgunaan istilah sebagaimana penjenamaan Bersih bagi menghalalkan perhimpunan yang kotor, ganas dan menjijikkan oleh pemimpin pakatan! Selangor kini dilambakkan dengan pelbagai istilah dan slogan selain dari pelbagai papan tanda yang terpampang wajah TS Khalid Ibrahim yang setiap hari tersenyum melihat rakyatnya tertipu saban hari.

18. Justeru itu, jika diberi peluang untuk menjenamakan semula istilah pakatan 3P yang saya ungkapkan diawal tulisan ini, maka ianya lebih tepat jika digambarkan sebagai pakatan Pembohong, Perosak dan Putar alam! Benarlah kata bijak pandai, tikus sentiasa gagal membaiki labu!

Satim Diman
Ketua pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Isu Semasa, PKR and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s