Kekotoran Pasca Bersih 3.0

1.    Perhimpunan Bersih 3 menyerlahkan perlakuan ganas segelintir manusia yang berjuang demi hak dan kebebasan mengikut tafsiran sendiri tanpa memikirkan hak orang lain. Bagi mereka hak dan kebebasan orang lain tidak penting asalkan tuntutan hawa nafsu mereka dapat dipuaskan.

2.    Bersih dirancang sedemikian rupa bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui rampasan kuasa sebagaimana yang berlaku di Dataran Tahrir, Mesir. Dengan cara itu, cita-cita Anwar untuk menjadi PM akan tercapai. Kecekapan pihak polis menangani perhimpunan itu telah mengecewakan pemimpin pakatan.

3.    Setelah Bersih berakhir dengan keganasan, pemimpin pakatan pula bertelingkah tentang siapa yang harus bertanggungjawab. Parti politik menyatakan bahawa mereka bukanlah penganjur manakala NGO yang diketuai oleh Ambiga pula memberikan alasan bahawa perhimpunan itu disabotaj oleh Anwar dan pemimpin pakatan lain. Mereka sedang bermain silap mata untuk mengurangkan kesan kemarahan rakyat!

4.    Anwar meletakkan segala kesalahan kepada pihak berkuasa. Begitu juga pemimpin Pas yang berbangga dan menyifatkan ianya satu kejayaan! Namun kebenaran tidak dapat diselindungkan. Rancangan Anwar untuk mencetuskan keganasan terbongkar. Bukti  video yang menunjukkan Anwar memberikan arahan agar sekatan polis dirempuh telah terdedah. Media mereka jelas gagal melakukan spin untuk menyelamatkan pembohongan Anwar.

5.    Apa juga alasan yang cuba digunakan, jelas mereka langsung tidak bertanggungjawab kepada peserta, rakyat dan negara ini! Saya melihat sendiri rakaman video bagaimana anak kecil, wanita dan orang tua yang terperangkap disebabkan perbuatan mereka yang begitu ghairah membuat provokasi bagi menjadikan Dataran Merdeka sebagai Dataran Tahrir! Laungan maki hamun polis, aksi ganas peserta membelasah polis menjadi sejarah hitam negara.

6.    Anwar sebenarnya cuba menghidupkan semula semangat reformasi yang pernah dilakukannya dahulu. Hakikatnya zaman itu telah pun berlalu. Mereka yang menjadi penggerak reformasi dulu sudah pun sedar tentang siapa Anwar lantas menjauhkan diri darinya. Demi menghidupkan sisa-sisa perjuangan politiknya yang semakin berkubur, maka semangat reformasi dulu cuba dihidupkan kembali melalui Bersih.

7.    Siri Bersih 2 gagal kerana tidak memberikan impak yang positif untuk Anwar! Maka untuk Bersih 3, pelbagai NGO dipujuk untuk bernaung dibawah Bersih. Setiap NGO ini mempunyai perjuangannya sendiri. Di kalangan mereka ada yang berjuang untuk menghalalkan cara hidup songsang LGBT, berjuang untuk alam sekitar, berjuang untuk golongan sosialis, berjuang atas nama hak asasi dan berbagai lagi agenda yang rata-ratanya tidak diterima oleh majoriti rakyat negara ini. Golongan muda yang tidak faham dan keliru dihasut dan dibayar sejumlah wang untuk bersama-sama menghuru-harakan Dataran Merdeka.

8.    Ambiga jelas tidak mempunyai kawalan mutlak terhadap peserta perhimpunan. Keadaan ini dipergunakan sebaik mungkin oleh pemimpin pakatan untuk mencetuskan suasana tidak terkawal seperti yang diharapkan. Mereka langsung tidak mempedulikan keselamatan peserta perhimpunan itu. Inilah sebabnya mereka menolak tawaran pihak keselamatan untuk berhimpun di Stadium Merdeka.

9.    Keganasan yang dilakukan oleh peserta Bersih tidak boleh diterima oleh rakyat negara ini yang berfikiran waras. Anggota keselamatan yang bertugas telah dipukul seolah-olah tiada langsung naluri kemanusiaan bersarang dalam jiwa mereka. Siapa juga yang menonton rakaman dimana polis dipukul dan dibelasah pasti terfikir apa sudah jadi dengan rakyat negara ini? Selama ini rakyat Malaysia dididik dengan budaya timur yang sopan. Apakah nilai ini telah pun lenyap dalam diri segelintir masyarakat kita yang begitu mengagungkan seorang pemimpin yang diragui moralnya?

10.    Kita menghormati apa jua perjuangan seandainya ia tidak bertentangan dengan nilai moral dan agama namun perlukah tindakan tidak berperikemanusian sebegitu? Apakah anggota polis yang dipukul dan dibelasah itu tiada hak disisi perlembagaan  negara? Bayangkan jika anggota polis yang dipukul itu adalah bapa, abang atau adik kita. Apakah perasaan kita? Jadi ia bukan  lagi tentang persoalan perjuangan ideologi tertentu tetapi melibatkan isu kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan sebagai seorang manusia. Apakah pemimpin sebegini layak diangkat sebagai pemimpin negara?

11.    Dengan menyalahkan pihak polis yang kononnya tidak bertimbang rasa, Anwar sebenarnya sedang bermain taktik psikologi bagi menutup segala perancangan yang telah dilakukannya disamping memberikan persepsi yang buruk rakyat terhadap polis  sebagaimana dilakukannya sebelum ini. Faktanya, polis hanya bertindak mengawal kekecohan selepas perusuh mula bertindak liar setelah mendapat arahan dari Anwar dan Azmin sendiri! Ini yang gagal dijawab oleh Anwar dalam sidang akhbar pertamanya selepas perhimpunan tersebut.

12.   Ini bukan kali pertama Anwar berbohong. Apa sahaja yang berlaku akan di spin bagi menyalahkan pihak lain. Maka tidak hairan bila timbul isu skandal seks yang dikaitkan dengannya, Azmin Ali seperti kebiasaannya menyalahkan UMNO! Ironinya, Umi Hafilda sendiri mengesahkan bahawa pelaku dalam video itu 99.9% Azmin Ali. Ada orang politik bercerita yang video itu didedahkan oleh orang dalam sendiri dari kem yang berbeza. Sejauh mana kebenarannya kita tunggu dan lihat!

13.    Pihak polis kini memburu mereka yang terlibat dalam keganasan tempoh hari. Mereka yang bersalah pastinya akan dihukum mengikut undang-undang negara. Ambiga, Anwar, Azmin dan pemimpin pakatan mungkin terlepas kerana mereka lebih bijak memanipulasi keadaan dan berkemungkinan akan terus menghasut rakyat agar melakukan keganasan. Sepatutnya mereka ini juga harus disiasat dan dihukum sebagaimana rakyat biasa!

14. Dalam sidang media sehari selepas bersih, Ambiga telah membuat permohonan maaf tetapi dalam masa yang sama terus menyalahkan pihak lain kerana mencetuskan keganasan. Beliau sendiri ternyata tidak bertanggungjawab dan tidak berlaku jujur kepada peserta yang menyertai perhimpunan. Bagi Anwar, Ambiga telah pun lulus sebagai seorang lagi calon Pakatan dalam PRU nanti atas penganjuran Bersih. Mungkin jika menang, Ambiga boleh dilantik sebagai Menteri Undang-Undang bagi menghalalkan aktiviti LGBT. Rakyat akan diberi kebebasan mengikut tafsiran mereka sebagaimana yang diimpikan oleh Anwar dan Barat! Di waktu itu, rakyat Malaysia mungkin tidak lagi peduli jika mempunyai PM dari golongan biseksual!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Isu Semasa, Pas, PKR and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Kekotoran Pasca Bersih 3.0

  1. Acor says:

    Reblogged this on DUNIA.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s