Mahasiswa Dan PTPTN

1.    Sekembalinya dari umrah, saya dijemput menghadiri majlis ramah mesra mahasiswa anak Selangor bersama Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar di dewan Banquet, UPM. Menyedari akan pentingnya mahasiswa kepada pembangunan negeri Selangor, maka saya cuba memenuhi jemputan walau pun baru saja sampai ke Malaysia.

2.    Dalam sesi dialog yang diadakan, banyak pertanyaan berkaitan dengan isu PTPTN dan Free Education dilontarkan oleh mahasiswa. Ianya membuatkan saya terfikir apakah benar masih ramai mahasiswa tidak mendapat penjelasan tepat tentang isu ini? Jika benar, ianya tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Lantaran itu, saya merasakan amat perlu untuk saya mengulas tentang isu ini sekali lagi.

3.    Mungkin ada yang berpendapat sepatutnya mahasiswa mempunyai kemampuan untuk  mencari sendiri segala jawapan kepada pelbagai isu semasa yang berbangkit seterusnya membuat analisis bagi mendapatkan jawapan yang benar. Dengan berpegang kepada teori ini maka mahasiswa akan dibiarkan mendapatkan segala maklumat dari pelbagai sumber media atas inisiatif sendiri.

4.    Berkemungkinan juga, penjelasan yang diberikan dari pihak kerajaan tidak sampai kepada sasaran atas faktor landskap sistem pendidikan tinggi yang telah jauh berubah dimana wujud jurang komunikasi khususnya di IPTS yang sekarang ini telah pun mencecah lebih 500 buah.

5.    Apa juga sebab kepada kelompongan ini harus diberi perhatian dan dicari kaedah bagi mengatasinya. Jika ianya dibiarkan, maka saya bimbang pihak berkepentingan akan memanipulasi keadaan ini dengan memberikan maklumat yang salah dan tidak tepat seterusnya mempergunakan mahasiswa untuk tujuan tidak baik. Ini memberikan kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang.

6.    Kita tidak boleh nafikan bahawa alam mahasiswa adalah satu zaman dimana mereka ini cuba membentuk jati diri dan adakalanya mereka bersifat idealis terhadap sesuatu perkara tanpa memikirkan kesan dan faktor sekeliling. Atas sifat sebegitu ada segelintir mereka yang mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi. Hari ini ada dikalangan mahasiswa yang percaya dengan janji pemimpin tertentu untuk memberikan pendidikan percuma jika sekiranya beliau menjadi perdana menteri Malaysia. Dalam hal ini kita perlu akui bahawa memang sifat semulajadi manusia inginkan sesuatu secara percuma.

7.    Buktinya jelas, saban hari begitu banyak pendekatan pengiklanan berbentuk peraduan yang menawarkan hadiah lumayan dengan syarat pengguna perlu membeli barangan tertentu sebagai sebagai bukti penyertaan. Semakin tinggi nilai hadiah yang ditawarkan lebih banyak penyertaan diperolehi, seterusnya syarikat akan mendapat lebih keuntungan melalui jualan produk mereka. Pengguna pula ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk menyertainya. Ada yang  bernasib baik memperolehinya dan ada pula yang kecewa dan menerimanya sebagai satu nasib.

8.    Jika pengguna biasa boleh tertarik dengan tawaran sebegitu, sudah barang tentu mahasiswa yang masih dalam proses belajar memahami kehidupan akan teruja dengan tawaran untuk diberikan pendidikan percuma. Dalam fikiran mereka, dengan adanya pendidikan percuma ini maka mereka tidak perlu membayar yuran pengajian, kos sara hidup mereka ditanggung oleh kerajaan dan setelah tamat pengajian pula mereka tidak terbeban dengan kos bayaran balik pinjaman sebagaimana sekarang.

9.    Apa yang digambarkan oleh pemimpin pakatan rakyat ini terlalu idealis tanpa berpijak di bumi yang nyata. Secara logik akalnya, jika ianya begitu praktikal untuk dilaksanakan, sudah tentu Anwar sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana dulu sudah pun melaksanakannya. Inilah persoalan yang wajar ditanya oleh mahasiswa kepada Anwar Ibrahim? Perlu juga ditanya, kenapa beliau sendiri meluluskan akta PTPTN diwaktu itu? Apakah diwaktu itu beliau berniat tidak baik kepada golongan mahasiswa?

10.    Hakikatnya beliau sendiri tahu bahawa negara tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan. Sebelum IPTS wujud, peluang pendidikan di peringkat pengajian tinggi amat terhad akibat kekurangan IPTA yang hampir keseluruhannya ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi. Lepasan SPM yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke IPTA terpaksa memasuki pasaran kerja sebagai tenaga kerja kurang mahir. Golongan ini seolah dinafikan hak mereka untuk melanjutkan pengajian diperingkat lebih tinggi. Ini dapat diatasi dengan pendemokrasian pendidikan yang cuba diterapkan melalui akta IPTS 1996 yang diusahakan oleh kerajaan.

11.    Dengan wujudnya akta PTPTN 1997 pula, mereka yang kurang berkemampuan boleh memilih pinjaman dari tabung PTPTN untuk membiayai pengajian mereka samada di IPTA atau IPTS dengan pilihan tawaran pertukaran kepada biasiswa untuk pelajar yang cemerlang. Dalam masa yang sama, biasiswa JPA masih diberikan kepada mereka yang terpilih dan dikhususkan untuk jurusan yang lebih kritikal. Kerajaan sendiri masih perlu menanggung 90% kos pengajian tinggi di lebih 20 buah IPTA sebagaimana biasa dalam bentuk subsidi.

12.    Gambaran yang cuba diberikan oleh pihak tertentu kononnya PTPTN umpama ah long yang mencekik darah pelajar jelas berniat jahat. Tabung pendidikan ini diwujudkan melalui sejumlah dana yang telah diberikan oleh kerajaan. Selebihnya PTPTN sendiri membuat pinjaman dari Tabung KWSP dengan jaminan pembayaran balik dengan kadar faedah yang lebih tinggi berbanding kadar faedah yang dikenakan kepada pelajar. Ini bermakna setiap warganegara yang mencarum dengan KWSP juga adalah penyumbang kepada peluang pendidikan yang dinikmati oleh setiap mahasiswa  di IPT hari ini.

13.    Seandainya PTPTN tidak memperolehi semula bayaran balik dari peminjam maka dana dalam tabung akan semakin susut kerana PTPTN perlu melunaskan setiap hutang kepada KWSP. Jika ini dibiarkan, maka secara tidak langsung kita sebenarnya menafikan hak orang lain untuk mendapatkan pembiayaan pengajian mereka. Dengan sejumlah besar kos subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi pendidikan percuma di peringkat sekolah, maka ekonomi negara tidak akan dapat bertahan jika sekiranya PTPTN dihapuskan dan kerajaan dipaksa menanggung segala kos pengajian tinggi termasuk di IPTS berjumlah puluhan billion sebagaimana yang dicadangkan oleh pemimpin tertentu.

14.    Saya pernah mencabar kerajaan negeri Selangor untuk memberikan pendidikan percuma kepada semua pelajar di IPT milik kerajaan negeri dan hingga kini tiada kenyataan pun dari Tan Sri Khalid Ibrahim  mahu pun Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi negeri untuk melaksanakannya. Jika kerajaan negeri Selangor yang dinobatkan negeri terkaya pun tidak mampu untuk memberikan pendidikan percuma di hanya 2 buah IPT, maka segala janji yang diwar-warkan ini hanyalah cakap-cakap politik yang akhirnya tidak akan dilaksanakan jika pun pakatan diberikan peluang untuk ke Putrajaya! Cukuplah rakyat Selangor yang kini makan hati berulam jantung akibat janji-janji yang tidak ditunaikan.

15.    Isu PTPTN yang cuba dianggap kompleks oleh sebahagian rakyat hari ini sebenarnya tidaklah begitu rumit untuk dihuraikan sebab ianya hanya berpunca dari seorang  individu yang mempunyai masalah moral akibat terpengaruh dengan budaya songsang. Beliau terperangkap dengan kenyataannya yang menyokong Israel lantas  menyebabkan rakyat marah.  Konsep pluralism agama yang dibawanya juga ditentang oleh para ulamak. Skandal demi skandal yang mula terbongkar memberi tekanan kepadanya.

16.    Demi menyelesaikan masalah peribadinya ini, maka tiada jalan lain selain dari menjayakan misinya untuk menjadi perdana menteri! Orang ini begitu yakin, dengan kuasa sebagai perdana menteri segala salah laku berkaitan moralnya dapat padamkan dari pemikiran rakyat. Dan kini pula beliau dalam keadaan yang sangat terdesak untuk memenuhi segala janji kepada pembiaya dari luar negara yang mahukannya menjadi PM dengan apa kos sekali pun.

17.    Bagi memenuhi nafsu politik, orang ini sanggup berjanji apa sahaja walaupun beliau sendiri maklum ianya akan meyebabkan ekonomi negara hancur. KDEB hampir muflis dan dinasihatkan oleh Jabatan Audit Negara untuk menghentikan bayaran kepada Syabas kesan daripada janji pilihanraya untuk memberikan air percuma di Selangor. Kini tugas melunaskan pembayaran air ini dipindahkan pula kepada kerajaan negeri menyebabkan kantung kerajaan negeri semakin susut. Bagi mengaburi mata rakyat, segala aset-aset anak syarikat kerajaan negeri dijual dan MB pula dengan bangganya mengumumkan bahawa pendapatan negeri meningkat akibat dari pengurusan ekonomi yang kononnya berhemah! Sekali lagi rakyat ditipu umpama pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Soalnya berapa lama kaedah manipulasi sebegini dapat bertahan?

18.    Saya yakin segelintir mahasiswa yang melakukan protes dan meminta agar PTPTN dimansuhkan di Dataran Merdeka tempoh hari bukan mewakili majoriti mahasiswa di negara ini. Namun begitu saya ingin menasihatkan semua mahasiswa agar menghargai setiap peluang pendidikan yang telah diperolehi. Jadilah mahasiswa yang bersifat kritis tetapi rasional dan jangan mudah terpengaruh dengan sebarang hasutan untuk menghuru-harakan negara ini kerana ia tidak menguntungkan sesiapa pun. Mahasiswa seharusnya mengingati akan jasa lebih 10 juta pencarum KWSP yang terdiri dari para pekerja yang turut sama berkorban dalam memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh lebih ramai pelajar. Duit caruman mereka ini sepatutnya boleh dilaburkan ke tempat lain yang kurang risiko bagi menjamin pulangan yang lebih baik kepada pencarum, tetapi demi mamastikan hasrat murni kerajaan dapat direalisasikan, duit itu dilaburkan kepada mahasiswa dengan harapan akan lahir modal insan hebat bagi mengemudi negara dengan lebih baik pada masa akan datang.

19.    Justeru itu, mahasiswa seharusnya menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan tidak terlalu mementingkan diri sendiri. Mereka ini setelah tamat pengajian akan menjadi golongan pekerja, dan diwaktu itu tanggungjawab untuk membantu generasi akan datang akan dipikul oleh mereka pula.

20.    Semua orang faham bahawa tidak semua organisasi itu sempurna. Saya percaya jika ada ruang untuk penambahbaikan berkaitan dengan isu PTPTN ini, ianya perlu dirundingkan dengan cara berhemah melalui rundingan mahupun diskusi. Berdemo dijalanraya sebagaimana yang diajar oleh pemimpin parti tertentu, tidak akan menyelesaikan masalah!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Isu Semasa, Pas, PKR and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s