Perang Persepsi Pakatan PKR, PAS dan DAP Menjelang Pilihanraya

1.    Kegagalan menangani permainan persepsi yang dilakukan oleh pakatan, merupakan satu faktor yang turut menyumbang kepada kekalahan BN di beberapa buah negeri dalam pilihanraya umum ke 12 selain dari beberapa faktor lain.

2.    Jaringan komunikasi media internet telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pakatan untuk memberikan persepsi  buruk kepada kerajaan seterusnya mengurangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan BN pada masa itu.

3.    Apa juga masalah yang timbul akan cuba dikaitkan dan dilonggokkan segala kesalahan kepada kerajaan yang memerintah. Seandainya berlaku salahlaku atau salah urus yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan biar pun mungkin yang melakukan kesalahan tersebut  hanyalah seorang dari sejuta kakitangan awam sekali pun, maka jentera pakatan akan menunding jari menyalahkan BN yang menerajui kerajaan. Ajaibnya dalam kerajaan Selangor sekarang, ia bukan begitu.

4.    Hari ini suasana sudah berbeza. Isu-isu yang dimainkan oleh pakatan berjaya diperjelaskan oleh kerajaan  melalui pelbagai saluran samada menggunakan media massa  mahu pun media sosial. Para penggiat siber BN dan juga Pro BN berjaya memainkan peranan mereka memberi penjelasan kepada rakyat tentang pelbagai isu yang dibangkitkan. Namun usaha memburukkan kerajaan tetap berjalan dan akan diteruskan sehinggalah ke PRU13 nanti.

5.    Keadaan ini menjadikan suasana politik menjadi semakin panas. Strategi diatur dan cuba diimplementasikan demi meraih sokongan rakyat. Dalam permainan politik sebegini, soal benar atau salah sudah tidak penting lagi. Apa yang lebih penting soal sejauh mana setiap isu yang dibawa itu mampu menarik sokongan rakyat kepada pakatan. Falsafah matlamat menghalalkan cara yang dipopularkan oleh Machiavelli terus digunakan. Lihatlah bagaimana mereka sanggup menggunakan surat palsu untuk memfitnah dan menyerang Tun Dr Mahathir. Ironinya bila surat sebenar didedahkan oleh kerajaan, mereka dengan rasa tidak bersalah sedikit pun terus mempertikaikan pula isi kandungan surat tersebut. Begitulah rakusnya mereka berpolitik sehingga adakalanya mereka terlupa akan matlamat untuk berkhidmat kepada rakyat melalui kuasa dan mandat yang dianugerahkan.

6.    Bilamana seorang wakil rakyat tidak jelas dengan apa yang diperjuangkannya dalam menjaga kepentingan rakyat maka terjadilah seperti di Selangor sekarang ini. Soal kebajikan rakyat terus diabaikan. Masa berharga yang sepatutnya digunakan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat telah dipersiakan begitu sahaja. Apa yang mereka tahu hanya berpolitik 24 jam sehari! Apa juga perkara harus dipolitikkan untuk mengekalkan kuasa!

7.    Barangkali pemimpin Pakatan di Selangor baru tersedar, mandat yang diberi sudah hampir tamat, justeru kuasa memilih perlu dikembalikan semula kepada rakyat. Maka sekali lagi  strategi perang persepsi diatur untuk memburukan kerajaan. Dalam permainan persepsi, rencah utama yang diperlukan adalah isu. Malangnya banyak isu yang menjadi perhatian rakyat telah ditangani dengan baik oleh kerajaan. Pepatah melayu ada berkata, jika tiada rotan maka akar pun berguna. Sampai ke satu tahap, perkara yang tiada isu pun akan diolah sedemikian rupa untuk dijadikan isu seperti yang terjadi kepada Lynas.

8.    Jika diperhalusi berkaitan isu Lynas ini, tiada apa yang salahnya tetapi pakatan cuba mengangkat isu ini sejauh yang boleh untuk menghasut rakyat dengan dakyah dan fakta yang kurang tepat. Apa yang tersirat sebenarnya Pakatan sedang mengalihkan isu dari isu besar sokongan Anwar terhadap rejim Israel dan masalah penyelewengan yang berlaku di dalam pentadbiran negeri yang dikuasai mereka disamping isu perpecahan dalaman pakatan.

9.    Lynas hanyalah sebuah syarikat  asing yang berminat untuk melabur di negara ini biar pun banyak syarikat lain menuju ke negara China sebagai destinasi pelaburan. Pastinya bukan senang untuk menarik pelaburan besar ke negara ini memandangkan situasi ekonomi dunia sekarang yang kurang menentu tetapi usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh MITI dan agensi dibawahnya telah mencapai banyak kejayaan. Usaha sebegini bukanlah semudah pergi melawat pameran di China sambil membeli belah seperti yang dilakukan oleh exco Selangor. Dengan usaha yang dilakukan oleh MIDA, kerajaan Selangor turut menerima keuntungan dari segi pelaburan. Itu pun pemimpin pakatan berkokok menjaja bahawa itu adalah kejayaan mereka!

10.    Dari sudut ekonomi, kehadiran pelaburan asing ke negara kita akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Secara tidak langsung akan berlaku pemindahan teknologi dan kepakaran kepada rakyat kita disamping keuntungan cukai yang bakal dikutip oleh kerajaan yang akhirnya akan kembali kepada rakyat.

11.    China sebagai sebuah negara komunis yang dulunya mengamalkan dasar tertutup akhirnya muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi dunia disebabkan begitu banyak syarikat luar berhijrah ke sana sejak Presiden Deng Xiaoping mula memperkenalkan dasar buka pintu kepada pelabur luar. Malah negara kita turut merasai akan kesan kehilangan pelabur yang memindahkan pusat operasi mereka ke China. Disebabkan itu, kita terpaksa bekerja keras dengan memberikan tawaran yang lebih baik kepada pelabur untuk ke sini.

12.    Limpahan pelaburan ke China membuatkan kerajaan mereka mula mengenakan syarat tertentu bagi sesetengah sektor bagi menjaga kepentingan industri mereka. Kesan dari itu kita merebut peluang dengan menawarkan kepada syarikat ini peluang untuk melabur Malaysia. Peluang pekerjaan yang bakal terhasil dari pelaburan ini akhirnya akan memberi keuntungan kepada rakyat pada masa akan datang.

13.    Soal kesan negatif yang cuba dipropagandakan kepada rakyat hanya satu ilusi yang diolah sedemikian rupa untuk menakutkan rakyat. Sudah pasti kerajaan meletakkan isu keselamatan rakyat sebagai sesuatu yang penting tetapi benarkah industri ini begitu berbahaya seolah-olah digambarkan ianya seumpama membina loji nuklear yang akhirnya memberi kesan radiasi sebagaimana yang terjadi dalam letupan bom atom di Hiroshima, Jepun. Kita tahu ini semua hanyalah satu permainan licik politik namun tidak perlulah pemimpin pakatan berfantasi sejauh itu. Terimalah hakikat bahawa Lynas bukanlah satu-satunya kilang yang memproses bahan nadir bumi. Malaysia juga bukan negara pertama yang mempunyai kilang sedemikian. Syarikat ShinEtsu yang juga mengeluarkan bahan ini telah pun lama bertapak di Selangor tanpa sebarang masalah dengan pemantauan ketat dari Jabatan Alam Sekitar.

14.    Hakikatnya apa yang dihasilkan oleh kilang ini hanya satu komponen dalam produk yang telah digunakan dalam kehidupan seharian kita. Malah bahan yang dihasilkan oleh Lynas ini digunakan dalam setiap telefon bimbit, skrin televisyen di rumah kita dan pelbagai barangan lain. Apakah semua peralatan ini begitu merbahaya sehingga memberi ancaman kepada kita semua?

15.    Seandainya pakatan cuba membangkitkan kebimbangan tentang kesan dari radiasi radioaktif, apakah selama ini penggunaan bahan radioaktif dalam bidang perubatan khususnya dalam bidang radiologi memberi kesan yang begitu teruk kepada  masyarakat berbanding aspek kebaikannya? Untuk makluman, jumlah radiasi yang digunakan dalam teknologi x-ray jauh lebih tinggi berbanding radiasi yang dikeluarkan oleh kilang Lynas. Itu pun kadar radiasi x-ray masih dikategorikan selamat kepada manusia. Kita masih belum mendengar seorang pun rakyat negara ini yang dilaporkan bermutasi disebabkan terkena radiasi x-ray. Tetapi kita mungkin pernah mendengar pemimpin pakatan yang bermutasi menjadi penyokong kuat Israel dan suka kepada jalan belakang!

16.    Rakyat perlu difahamkan bahawa apa yang cuba dilakukan oleh pakatan hanyalah salah satu strategi untuk menanamkan persepsi buruk kepada kerajaan. Himpunan hijau yang diadakan tempoh hari adalah sebahagian dari perancangan pemimpin tertentu untuk mengalih perhatian rakyat semata-mata. Rupanya rakyat negara ini sudah semakin kritikal dalam menelan bulat-bulat segala pembohongan mereka, lantaran itu himpunan yang dirancang untuk menarik puluhan ribu rakyat akhirnya gagal! Kegagalan himpunan itu telah menjelmakan pula isu khalwat pemimpin pakatan sendiri. Apakah ini juga satu konspirasi peringkat tertinggi pemimpin pakatan untuk mencapai agenda tertentu? Dalam dunia perang persepsi sekarang, segalanya berkemungkinan!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in DAP, Isu Semasa, PKR and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s