Pas Selangor Di Landa Sindrom Penafian

1.    Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman dalam kenyataan terbarunya berkata bahawa Pas tidak tergugat dengan isu pemecatan Hasan Ali. Berikut adalah petikan kenyataan beliau:

”Tetapi itu semua langsung tidak menjejaskan atau menggugat perjalanan politik parti. Malah kami yakin orang ramai terutamanya pengundi tidak akan percaya membuta tuli kerana pengundi sekarang bijak,” – Dr Abd Rani Osman

2.    Namun begitu, saya sempat hadir bagi mendengar sendiri ceramah Hasan Ali bagi memenuhi undangan pihak penganjur di Dataran Pahlawan, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi (juga dibeberapa tempat lain) dan ternyata ceramah beliau mendapat sambutan orang ramai termasuk ahli pas sendiri.

3.    Biar pun kepimpinan Pas Selangor hari ini terkena ‘denial syndrome’, hakikatnya mereka terpaksa mengaku, Pas tersilap menilai pengaruh  dan keupayaan sebenar bekas exco kerajaan Selangor, YB Datuk Hasan Ali. Dalam isu ini biarlah orang ramai membuat keputusan siapa benar dan siapa yang salah setelah mendengar sendiri kenyataan dari kedua-dua pihak.

4.    Saya ingin memetik beberapa kenyataan Datuk Hasan Ali dalam siri ceramah beliau sebagaimana dilaporkan oleh media:

“Di Selangor ini yang Menteri Besar orang Islam, Exco kerajaan negeri (terdiri) lima orang Islam dan Exco agama juga orang Islam pun tak boleh nak dilaksanakan tindakan mencegah kemungkaran, apa yang kita (Pas) boleh buat kalau kita tawan Putrajaya?

“Saya dipecat tanpa ada pertuduhan bertulis sedangkan mengikut perlembagaan parti ia wajib. Saya juga tidak diberi ruang walau seminit untuk membela diri dan inilah kali pertama dalam sejarah Pas, parti ini begitu drastik mahu memecat saya hanya kerana tekanan DAP dan PKR.”

“Kesalahan saya bukan mencuri; bukan merompak; bukan menggugat kepimpinan parti dan bukan isu moral. Saya tak meliwat orang, kesalahan saya bukan kerana gila kuasa, kesalahan saya kerana melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah di Selangor.”

“Salah saya kerana membuat ulasan bukan mengenai Pas tapi mengenai Anwar hanya kerana tidak setuju demonstrasi 9 Januari. Isu mahkamah itu masalah peribadi, kenapa harus dibabit dengan rakyat dan mahasiswa yang ketika itu peperiksaan sedang berlangsung.” – Datuk Dr Hasan Ali

5.    Hasan Ali membangkitkan tentang persoalan peranan kuasa yang menjadi idaman Pas selama ini. Pada pandangannya kuasa yang diperolehi hasil perkahwinan dengan PKR dan DAP tidak akan berguna seandainya usaha pembersihan kumpulan parasit yang menguasai Pas sekarang tidak dilakukan. Isu lain yang turut dipersoalkan tentang keadilan terhadap dirinya sebagai ahli parti yang dipecat tanpa diberi peluang membela diri mengikut pandangan Islam mahu pun peraturan parti. Kenyataan beliau cukup jelas dan tidak perlu diulas lanjut.

6.    Ternyata apa yang cuba dipotretkan Pas dalam perjuangan mereka hanya indah khabar dari rupa. Mereka yang hadir pastinya ingin mendengar sendiri kisah disebalik tabir permainan politik kotor pakatan rakyat yang menyebabkan tersingkirnya pengaruh golongan ulama dalam Pas. Bila kisah sebegini diceritakan oleh pemimpin UMNO, rakyat mungkin kurang percaya. Oleh yang demikian, biarlah bekas pemimpin Pas sendiri yang bercakap tentang apa yang telah berlaku di Selangor.

7.    Golongan parasit yang cuba digambarkan oleh Hasan Ali ini muncul hasil sokongan kuat Anwar. Golongan ini bergerak secara senyap tetapi terancang untuk membunuh karier politik para pendokong ulama dalam Pas bagi memastikan Anwar terus kekal menjadi pilihan tunggal bakal Perdana Menteri jika pakatan berjaya menguasai Putrajaya. Taktik pecah dan perintah digunakan dengan jayanya oleh Anwar sebagaimana yang telah dilakukannya sewaktu berada di dalam UMNO satu masa dahulu.

8.    Kegilaan memenuhi cita-citanya sebagai PM menyebabkan Anwar sanggup melakukan apa sahaja. Politik ‘asalkan boleh’ yang cuba dipopularkan oleh Anwar amat merbahaya kepada agama Islam, bangsa melayu dan negara. Beliau sanggup menghalalkan fahaman pluralism agama, sanggup menyokong budaya homoseksual, mempertikaikan hak keistimewaan melayu, menghakis sistem raja dan lebih menyedihkan lagi, bila beliau sanggup mengguris perasaan umat Islam dengan menyatakan sokongan kepada rejim zionis Israel semata-mata ingin mendapatkan simpati yahudi.

9.    Sudah pasti ramai yang masih terpinga-pinga bagaimana Pas boleh diperbodohkan oleh PKR dan dalam masa yang sama diperkudakan oleh DAP dalam memenuhi agenda politik sempit mereka. Saya teringat tentang filem P Ramlee, dalam kisah Tiga Abdul bila abd wahab dan abd wahid yang mewarisi harta peninggalan bapanya (Ismet Ulam Raja, seorang hartawan di negeri Isketambola) ditipu oleh Tuan Hj Sidek Sigaraga dan Tuan Penasihatnya. Mungkin begitulah nasib yang menimpa Pas sekarang.

10.    Sebagai parti politik, Pas bekerja siang dan malam sepanjang tahun berpolitik, berceramah, berdemo untuk mendapatkan kuasa kononnya untuk Islam. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kuasa yang diperolehi terpaksa diserahkan kepada orang lain atas arahan ketua penasihat RM1. Lebih malang lagi bila kuasa yang diserahkan itu akhirnya mendatangkan kemudaratan kepada Islam, bangsa melayu dan Institusi Raja yang menjadi kunci kepada kestabilan negara.

11.    Pas ternyata silap kerana memilih menjadikan Anwar sebagai paksi perjuangan mereka. Gula-gula politik yang ditabur oleh Anwar kepada Pas menyebabkan segelintir pemimpin mereka lupa kepada prinsip yang diperjuangkan selama ini. Bila ini terjadi maka berlakulah pertembungan ideologi seperti yang berlaku sekarang. Dalam konteks ini, Hasan Ali dilihat betul kerana berpegang kepada prinsip yang diyakini sewaktu memilih untuk menyertai politik Pas.

12.    Seperti biasa, UMNO tidak terlepas dari dituduh sebagai perancang kepada apa yang berlaku sebagaimana biasa. Hakikatnya, UMNO tidak pernah ada kuasa untuk memecat Hasan Ali dari Pas, apatah lagi memaksa beliau menyertai Pas. Malah UMNO juga tidak pernah sesekali memaksa DAP dan PKR untuk memusuhi Hasan Ali dan UMNO juga tidak pernah melantik Hasan Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor!

13.    Kita bersimpati dengan pemecatan Hasan Ali yang diusahakan oleh golongan parasit tanpa diberi peluang pembelaan seadilnya apatah lagi pemecatannya dilakukan kerana ketegasannya  mempertahankan prinsip perjuangannya.  Apa yang cuba dipertahankan oleh beliau tentang Islam, Melayu dan Raja itu amat selari dengan prinsip perjuangan UMNO mengikut perlembagaan negara. Islam sebagai agama rasmi negara ini perlu dimartabatkan sesuai dengan peranannya dan dalam masa yang sama kita perlu menjaga hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka.

14.    Sejak ditubuhkan, UMNO tidak pernah lari dari perjuangan memartabatkan agama Islam, bangsa dan negara biarpun terpaksa berkongsi kuasa dengan parti komponennya. Memang kita akui bahawa sebagai sebuah parti politik yang besar, sedikit sebanyak wujud kelemahan. Namun begitu dalam menghadapi apa juga cabaran, UMNO tidak pernah meninggalkan prinsip perjuangannya sebagaimana yang dilakukan oleh Pas. Sekurang-kurangnya bila BN dilanda tsunami politik dalam PRU yang lalu, UMNO berpijak dibumi yang nyata, mengaku akan kesilapan dan berusaha untuk membetulkanya seboleh mungkin dan yang penting tidak terus berada dalam sindrom penafian berterusan sebagaimana Pas.

15.    Apa yang berlaku di Selangor hari ini telah membuka mata banyak pihak tentang segala kepincangan yang berlaku dalam pemerintahan kerajaan Pakatan. Mungkin inilah hikmah disebalik apa yang berlaku. Kita bernasib baik segala krisis ini berlaku pada waktu Pakatan hanya memerintah negeri, bayangkan jika ianya berlaku diwaktu mereka ini diberi peluang untuk mentadbir Putrajaya! Sudah pasti nasib agama, bangsa dan negara ini berada diambang kehancuran. Di saat itu, air mata darah sekali pun tidak akan mampu mengubah keadaan yang berlaku!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in DAP, Pas, PKR and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s