Pas Sedang Menuju Zaman Kegelapan Bila Hasan Ali Di Pecat!

1.    Pemecatan Hasan Ali yang dibuat oleh PAS dan disusuli dengan tindakan memecat beliau dari jawatan Exco kerajaan negeri Selangor adalah satu petanda bahawa Pas kini sudah hilang arah dalam permainan politik yang dicipta oleh Anwar Ibrahim.

2.    Bagi UMNO ianya adalah satu isu dalaman pakatan yang diterajui oleh PKR, PAS dan DAP. Maka amat tidak adil jika ianya dikaitkan dengan UMNO. Tetapi sebagaimana biasa, UMNO akan tetap dipersalahkan sebagai satu kaedah untuk menutup segala kelemahan gabungan pakatan mereka.

3.    Hasan Ali sendiri dengan tegas menolak untuk menyertai UMNO apabila ditanya oleh wartawan tentang hala tuju perjalanan politiknya selepas ini. Beliau juga menjelaskan bahawa apa yang berlaku bukan disebabkan UMNO, sebaliknya ia berkait dengan prinsip mempertahankan Islam, hak keistimewaan Melayu dan Raja yang dipegang erat oleh beliau sewaktu menjawat jawatan exco kerajaan negeri. Dalam kenyataan beliau sebelum ini pun, dengan jelas Hasan berkata beliau tidak akan berkompromi dengan 3 perkara tersebut dan sanggup dipecat untuk mempertahankannya.

4.    Saya amat bersimpati dengan pemecatan beliau oleh Pas tetapi dari satu sudut lain pula Hasan memang wajar dipecat kerana prinsip perjuangannya sudah tidak selari dengan apa yang diperjuangkan oleh partinya. Bagaimana mungkin seorang pemimpin parti boleh kekal dalam parti sedangkan apa yang diperjuangkannya jelas bertentangan dengan prinsip parti? Maka tindakan memecat adalah satu tindakan yang betul pada pandangan parti bagi mengelakkan keributan dalaman parti yang lebih besar.

5.    Untuk memahami apa yang berlaku kini, kita perlu menyingkap kembali kisah pembabitan Hasan Ali dan rakan seangkatan dengannya dalam PAS. Sebelum menyertai Pas pun, beliau bukanlah ahli UMNO tetapi beliau mendapat segala nikmat dari usaha UMNO yang cuba menegakkan syiar Islam di negara ini. Di waktu itu, ulama seperti Haron Din, Ismail Kamus dan Hasan Ali diangkat dan diberi ruang sepenuhnya untuk berdakwah kepada rakyat Malaysia melalui program yang diatur secara tidak langsung.

6.    Usaha ini telah menampakkan hasil di mana tahap kesedaran Islam dikalangan rakyat mula bercambah. Di mana sahaja orang mula bercakap soal agama, nama Hasan Ali, Haron Din, Ismail Kamus terus popular dan meniti dari bibir ke bibir dikalangan rakyat jelata. Keikhlasan mereka dalam berdakwah menyebabkan ramai dikalangan rakyat mula mendekati Islam.

7.    Namun diwaktu itu Pas pula berkempen mengatakan bahawa suara melalui ceramah belum cukup untuk menengakkan Islam. Oleh itu kuasa lebih penting dari dakwah yang disampaikan. Mereka memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad berhijrah ke Kota Madinah dan akhirnya mendapatkan kuasa berbanding berdakwah di Mekah. Lantaran itu maka mereka ini memilih untuk menyertai pas kerana beranggapan bahawa Pas sebuah parti yang benar-benar ingin mendapatkan kuasa untuk memperjuangkan Islam.

8.    Kemasukan beliau ke dalam Pas menyebabkan ramai pengikutnya turut sama menyertai Pas dan akhirnya dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor.  Masa berlalu pantas, akhirnya Pas bersama rakan pakatan berjaya membentuk kerajaan di Selangor setelah mewujudkan konsep tahalluf syiasi dengan rakan PKR dan DAP. Hasan Ali yang dulunya hanyalah seorang moderator rancangan Hal Ehwal Islam, yang hanya mampu bercakap mengenai Islam, diberi kuasa yang besar sebagai Exco yang ditugaskan mentadbir Hal Ehwal Agama Islam di Selangor.

9.    Bermula detik itulah episod sedih beliau bermula. Mungkin beliau beranggapan bahawa dengan kuasa yang ada, beliau mampu menegakkan Islam di bumi Selangor, malangnya ia tidak berlaku. Usah bercerita perihal menegakkan islam, untuk mempertahankan Islam pun beliau terkial-kial ditinggalkan keseorangan. Apa juga keputusan yang dibuat tidak mendapat sokongan yang baik dari parti Pas sendiri. Campurtangan keterlaluan terhadap segala polisi berkaitan islam oleh pihak rakan pakatan menyebabkan beliau akhirnya terpaksa akur bahawa tiada apa yang boleh dilakukannya untuk mempertahankan Islam yang menjadi prinsip perjuangannya. Kesudahannya beliau akhirnya dipecat dari parti pada 8hb Jan 2012, sehari sebelum perhimpunan 901 untuk membebaskan Anwar.

10.    Pemecatan beliau dari Pas adalah satu simbolik kejayaan DAP dan puak Anwarinas menguasai parti Pas yang dipaksa menurut apa sahaja segala kehendak Anwar yang pada pandangan bekas rakan beliau dari ABIM mengamalkan pluralisma agama. Umpama seekor lembu yang dicucuk hidung, itulah nasib parti Pas ketika ini. Keadaan ini tidak pernah berlaku sewaktu zaman Ustaz Fadzil Noor dulu yang dilihat lebih tegas dan konsisten mempertahankan prinsip parti. Pas kini sedang menuju zaman kegelapannya.

11.    Presiden Pas, Hj Hadi telah membuat satu keputusan politik yang silap dengan memecat Hasan Ali. Rakyat akan melihat bahawa Pas kini bukan lagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebagaimana prinsip yang dipegang oleh Hasan Ali. Rakyat akan terus mempersoalkan bagaimana sebuah parti Islam sanggup memecat pemimpin mereka yang tegas memperjuangkan Islam? Seperti biasa, Pas akan mencipta pelbagai alasan dan mengeluarkan segala dalil bagi mempertahankan keputusan mereka dan pada akhirnya mungkin bila keadaan semakin tidak terkawal, maka jalan menutup mulut akan dipaksakan kepada ahli mereka seperti biasa.

12.    Tetapi ia tidak mampu menghalang rakyat dari bertanya lagi, apakah kesalahan Hasan Ali begitu besar sehingga sanggup dipecat tanpa langsung diberi amaran mahupun peluang untuk membela dirinya? Seburuk-buruk UMNO yang digambarkan oleh Pas pun, masih memberi peluang ahlinya membela diri sebelum sebarang tindakan dibuat. Maka jika dalam soal parti pun mereka tidak mampu bersifat demokratik, bagaimana mungkin mereka ini boleh bersikap demokratik kepada rakyat jika diberi kuasa untuk memerintah kelak.

13.    Selepas ini, jika Hasan Ali menggunakan pentas ceramah untuk mempertahankan dirinya, jangan disalahkan beliau kerana parti Pas sendiri gagal memberikan peluang untuk beliau mempertahankan dirinya. Soal siapa benar, siapa salah akan dinilai oleh rakyat. Kenyataan Nik Aziz yang menyifatkan Hasan Ali sebagai pemimpin yang tidak senonoh dan wajar dipecat amat keterlaluan. Sepatutnya Nik Aziz cuba bandingkan dahulu antara Hasan Ali dan Anwar, siapa yang lebih tidak senonoh sebelum bersuara! Jelas Nik Aziz tidak memahami dengan jelas tentang apa yang berlaku di Selangor dan sewajarnya Hasan Ali menjemput Nik Aziz berkunjung ke Selangor melihat sendiri kebanjiran rumah urut dan pusat pelacuran yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

14.    Saya tidak mahu mengatakan UMNO lebih Islam dari dari Pas tetapi sewaktu BN memerintah Selangor, terbukti UMNO berjaya mempertahankan Islam walaupun bergabung dalam parti komponen lain dalam Barisan Nasional. Namun prinsip tahalluf syiasi yang diamalkan oleh pas dalam pakatan jelas menyebabkan parti mereka hilang hala tuju dan prinsip perjuangannya. Soal istilah yang digunakan samada bahasa arab  (tahalluf syiasi) atau bahasa melayu (kerjasama dengan bukan islam) bukan menunjukkan siapa yang lebih islam. Sebaliknya bagaimana konsep yang digunakan itu mampu memartabatkan Islam sebagai agama yang dihormati sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara. Itu yang lebih penting! Nampaknya slogan PAS GANTI UMNO yang diwar-warkan oleh Pas jelas satu angan-angan Mat Jenin yang semakin jauh meninggalkan Pas!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in DAP, Isu Semasa, Pas, PKR and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s