Isu Sampah Selangor : Kerajaan Selangor Ibarat Si Tikus Membaiki Labu

1.    Isu kutipan sampah yang tidak terurus bukan satu isu asing di Selangor kini. Masalah ini sudah sampai ke kemuncaknya dan rakyat sedang merasai kesan langsung dari percubaan Menteri Besar menunjukkan skil korporat hebatnya dalam menguruskan isu sisa pepejal di Selangor.

2.    Tidak perlulah saya menunjukkan bukti bagaimana sampah ini berselerak di tepi jalan dan taman-taman perumahan sehingga mencacatkan permandangan sekitar. Di sesetengah lokasi ia menyebabkan bau busuk. Ramai dikalangan penduduk merasai sendiri  pengalaman berhadapan dengan situasi sampah yang tidak dikutip dan adakalanya kutipan sampah tidak mengikut jadual yang sepatutnya.

3.    Dalam sidang media berhubung isu ini, Menteri Besar Selangor menyatakan bahawa wujud elemen sabotaj dikalangan pihak tertentu dengan membuang sampah merata-rata bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri. Persoalannya benarkah dakwaan itu? Pihak mana yang terlibat? Apakah MB mahu menyalahkan UMNO juga dengan wujudnya isu sampah ini?

4.    Dalam kenyataan media berkaitan isu ini, saya menyebut bahawa kenyataan MB Selangor itu adalah usaha kerajaan negeri melepaskan tengkuknya dari dipersalahkan rakyat, memandangkan pilihanraya yang semakin hampir. Maka perkara paling mudah ialah meletakkan segala kesalahan kepada hantu-hantu yang tidak bernama. Agaknya MB sudah letih untuk menyalahkan UMNO, maka kali ini beliau menyalahkan hantu pula!

5.    Kita lupakan seketika permainan kongkalikong MB ala kartun Tom and Jerry bagi melepaskan dirinya. Kita cuba buat sedikit kajian tentang apa yang berlaku bagi memahami isu sampah ini. [untuk makluman pembaca, sampah juga disebut sisa buangan terjadual (sisa buangan makanan yang dibuang dari kediaman) dan sisa buangan tidak terjadual (sampah dari bahan buangan di jalan dan taman perumahan seperti plastik dll.)]

6.    Selangor sebuah negeri yang pesat membangun. Banyak kawasan kediaman baru telah didirikan untuk menampung pertambahan penduduk yang berhijrah ke Selangor bagi merebut peluang pekerjaan. Ini menyebabkan taman-taman perumahan wujud bagai cendawan selepas hujan. Pihak Berkuasa Tempatan, PBT akan mengeluarkan lesen dan memberi kelulusan kepada pemaju untuk membina taman perumahan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

7.    Setiap taman perumahan yang telah siap dibina dan dihuni oleh penduduk akan diserahkan kepada PBT oleh pemaju untuk diurus tadbir mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh PBT. PBT pula akan melantik wakil penduduk yang dikenali dengan Ahli Majlis Perbandaran yang biasanya dilantik oleh parti pemerintah bagi menjaga kepentingan penduduk setempat.

8.    Penduduk pula membayar sejumlah cukai pintu yang ditetapkan oleh PBT dan dana dari hasil kutipan ini digunakan untuk tujuan membayar kos penyelenggaraan asas seperti sisa  buangan terjadual dan tidak terjadual disamping penyelenggaraan infrastruktur asas seperti  jalan taman, lampu jalan dan penyelenggaraan taman dan lain-lain demi manfaat dan kesejahteraan penduduk.

9.    Proses pengurusan sisa pepejal ini bukan sekadar hanya melibatkan kutipan sampah semata-mata seperti yang difahami ramai orang. Tetapi isu yang lebih penting dari itu, kemana sampah itu akan dibawa untuk dilupuskan dan bagaimana pula cara dan kaedah ia dilupuskan tanpa memberi kesan kepada manusia dan alam sekitar mengikut akta alam sekitar yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar, JAS.

10.    Isunya disini kita bukan bercerita tentang isu selonggok sampah untuk kita lupuskan dengan cara menanamnya atau dengan cara membakarnya sebagaimana cara yang dilakukan secara tradisi di kampung-kampung tradisional tetapi ia melibatkan beribu tan sampah yang dibuang oleh penduduk lembah kelang setiap hari. Maka mereka yang ditugaskan untuk menguruskan sisa pepejal ini sepatutnya syarikat yang benar-benar serius, mahir dan mempunyai kewangan yang kukuh bagi menguruskan urusan sampah ini dari A ke Z. Jadi atas alasan itu maka kerajaan dahulu melantik Alam Flora Sdn Bhd sebagai kontraktor utama setelah memenuhi segala kriteria yang ditetapkan. Manakala Alam Flora pula akan melantik kontraktor kecil disetiap kawasan bagi melicinkan urusan kutipan sampah.

11.    Kontraktor kecil yang mengutip sampah ini akan di selia dan di pantau oleh  Alam Flora di mana syarikat Alam Flora pula akan menumpukan kerja-kerja pelupusan sampah yang dikutip mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Sekiranya wujud masalah kutipan sampah dikawasan perumahan maka aduan boleh dibuat terus kepada Alam Flora dan penyelia mereka yang dilantik dikawasan terlibat akan mengambil tindakan perlu bagi mengatasi masalah yang berbangkit. Jika terbukti berlaku ketidakcekapan, salah urus sampah atau perlanggaran peraturan yang ditetapkan, maka Alam Flora berhak menamatkan kontrak yang telah diberi berdasarkan syarat dan terma yang telah dipersetujui bersama oleh pihak terlibat termasuk PBT. Sistem ini diwujudkan bagi membentuk elemen Check and Balance dalam memastikan keselesaan penduduk terjamin.

12.    Sewaktu kerajaan pakatan mengambilalih Selangor, khidmat Alam Flora telah ditamatkan. Urusan pengurusan sampah diserahkan terus kepada kontraktor terlibat oleh PBT tanpa pengawasan sebagaimana sebelumnya. Tahap kewibawaan kontraktor yang dipilih boleh dipertikaikan dari segi kemampuannya. Sistem sebegini sebenarnya telah diamalkan dulu, yang ternyata menyebabkan banyak masalah timbul. Bila tiada penyeliaan maka urusan kutipan sampah tidak dipantau sepenuhnya. Rakyat yang merana dengan sampah busuk yang tidak dikutip, kini tiada tempat untuk mengadu. Jika aduan dibuat kepada PBT sekalipun mereka sememangnya tiada kepakaran dan masa untuk memikirkan semua itu  memandangkan sampah hanyalah satu dari banyak lagi skop kerja mereka untuk diuruskan. Ditambah pula dengan kelibat Ahli Majlis yang lebih sibuk berpolitik dari memikirkan tentang segala permasalahan rakyat, maka penduduk dibiarkan memendam perasaan amarahnya.

13.    Begitu juga dengan sampah yang dikutip oleh kontraktor, ke mana dan bagaimana pula ianya akan dilupuskan? Sememangnya akan ada dikalangan mereka yang tidak bertanggungjawab melupuskan sampah tersebut di tempat yang tidak sepatutnya bagi menjimatkan kos pelupusan yang bukan murah. Sudah pasti mereka tidak akan membelanjakan bayaran yang diterima semata-mata untuk mengikut peraturan yang ditetapkan sedangkan mereka akhirnya rugi. Di waktu itu berkemungkinan besar mereka akan cuba mengurangkan kutipan sampah dari yang sepatutnya dan mungkin dikalangan mereka membuang ditempat-tempat tertentu yang jelas melanggar peraturan.

14.    Bila semua ini berlaku, sampah yang dibuang dihadapan rumah yang tidak dikutip atau lambat dikutip akan menyebabkannya berulat dan menghasilkan bau busuk yang sungguh meloyakan tekak penghuni rumah. Bau busuk dari tong-tong sampah dihadapan rumah ini menarik minat lalat-lalat yang berkeliaran, akhirnya membawa pelbagai penyakit.

15.    Implikasi dari keadaan sampah yang tidak terurus ini, ada dikalangan penduduk pula yang membuat keputusan bijak sifir dengan membuang sampah di kawasan sekitar perumahan mereka. Mungkin pada pandangan mereka, dari sampah itu berulat di hadapan rumah, lebih elok ianya berulat di kawasan lain yang lebih jauh dari kawasan perumahan mereka. Mereka mungkin berfikir, kontraktor sampah akan mengutip sampah tersebut satu hari nanti. Malangnya kontraktor pula berfikir, ia bukan berada dalam skop kerja mereka sebab berada diluar kawasan perumahan. Maka sampah itu akan dibiarkan di situ. Ditambah pula dengan tindakan kerajaan negeri yang mengasingkan tender sisa buangan terjadual dan sisa buangan tak terjadual, maka pihak kontraktor akan menyalahkan sesama sendiri atas sampah yang tidak dikutip. Bila semakin ramai penduduk yang bertindak sedemikian, pencemaran sampah akhirnya menjadi satu masalah kronik di Selangor.

16.    Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan penduduk semata-mata. Sudah pasti mereka merasakan sebagai pembayar cukai pintu, sepatutnya keadaan ini tidak timbul. Malangnya mereka tiada tempat untuk mengadu. Apabila diajukan permasalahan sampah ini kepada Menteri Besar yang bertaraf ahli korporat yang lagi bijak sifir, maka MB ini telah membuat satu kesimpulan yang cukup menarik. Sampah yang dibuang itu adalah sabotaj pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan negeri. Maka atas sebab itu saya katakan bahawa MB cuba melepaskan diri dari dipersalahkan atas keputusan silap yang dilakukan oleh kerajaan pimpinannya sendiri.

17.    Sebagai sebuah kerajaan baru yang mengambilalih pentadbiran kerajaan lama, tidak salah untuk mereka membuat penambahbaikan demi kesejahteraan rakyat. Tetapi apa yang berlaku ini bukan penambahbaikan tetapi merosakkan segala sistem yang dibina demi memenuhi nafsu politik segelintir pemimpin mereka. Segala yang telah dibina dengan baik telah dirosakkan oleh pemimpin yang rakus dan gila kuasa seumpama tikus yang cuba membaiki labu. Labu entah ke mana, yang tinggal sampah dipenuhi ulat untuk dihidu oleh rakyat.

18.    Sebagai satu perbandingan, di Singapura pengurusan sisa pepejal mereka sangat efisen. Insenerator bagi tujuan pelupusan sampah telah dibina bagi melupuskan bahan buangan sisa pepejal ini di kawasan bawah tanah disebabkan kekurangan kawasan tanah. Mereka mempelajarinya dari negara maju yang lain bagaimana untuk menguruskan sisa pepejal ini dengan lebih berkesan. Lihat sahaja bagaimana bersihnya lori compactor pengangkut sampah mereka. Hari ini di Selangor, kita melihat lori-lori biasa yang tidak bertutup digunakan untuk mengangangkut sampah. Kesannya sampah yang jatuh dari lori akan berselerakan di atas jalan.

19.    Mungkin ada yang berpandangan bahawa tidak adil untuk membuat perbandingan dengan Singapura, tetapi seharusnya usaha ke arah penambahbaikan sebegitu yang perlu diterapkan. Pernah di suatu ketika dahulu kerajaan cuba membina sebuah pusat insenerator bagi tujuan pelupusan sampah di Semenyih, malangnya ia telah dipolitikkan sedemikian rupa sehingga rakyat terpengaruh dan kerajaan terpaksa membuat keputusan membatalkannya. Ironinya mereka yang menentang idea insenerator itu kini telah menjadi kerajaan di Selangor, dan ternyata mereka gagal menguruskan sampah dengan berkesan! Apabila rakyat sendiri semakin menyampah, mereka dengan cepat menunding jari kepada pihak lain untuk melepaskan diri.

20.    Saya percaya selepas ini berkemungkinan besar MB akan menyalahkan PBT pula atas segala masalah yang berlaku kononnya PBT tidak menjalankan tugas dengan betul. Jika itu berlaku maka seharusnya beliau ditanya siapa yang membuat dasar yang menjahanamkan semua ini jika bukan MB sendiri? Dan apakah ahli majlis PBT yang dilantik oleh parti mereka tidak mampu memberi pandangan yang bernas untuk memastikan segala masalah rakyat  di peringkat PBT dapat diselesaikan?

21.    Menyalahkan PBT bermakna menyalahkan ahli majlis mereka yang tidak bekerja dengan betul. Rakyat juga perlu mempersoalkan apakah setimpal kenaikan elaun ahli majlis yang dilantik dengan khidmat yang diterima oleh penduduk setempat. Saya mendapat laporan di MPSJ, elaun ahli majlis telah dinaikkan. Setiap dari mereka diberi sebuah bilik pejabat dan seorang personal assistant dan dikhabarkan juga elaun mesyuarat juga telah dinaikkan berkali ganda. Ianya bukan satu kesalahan, persoalannya apakah ianya setimpal dengan khidmat yang diberikan? Mungkin inilah bentuk negeri berkebajikan yang dilaung-laungkan oleh Kerajaan Pakatan Selangor!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s