PRU13: Fobia Kerajaan Selangor Menghadapi Rakyat?

1.    Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) sebelum bulan Jun 2012.

2.    Alasan yang cuba digunakan untuk mewajarkan tindakan ini adalah faktor belanjawan yang belum dilaksanakan sepenuhnya. Namun begitu, saya berpendapat ia bukanlah isu pokok sebaliknya kerajaan negeri begitu takut untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat lantaran pelbagai isu yang kini jelas tidak memihak kepada mereka.

3.    Situasi ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami. Selepas lebih 3 tahun kerajaan pakatan memerintah bermacam janji dalam pilihanraya yang lalu gagal dilaksanakan. Jika ada sekalipun, ia gagal mencapai golongan sasaran disebabkan permainan politik melampau pimpinan kerajaan negeri.

4.    Begitu banyak duit yang dibelanjakan untuk program air percuma, malangnya rakyat miskin gagal menikmatinya. Lebih malang bila ramai rakyat yang tinggal di flat dan pangsapuri menghadapi masalah bekalan air yang dipotong dan dibiarkan menanggung sendiri masalah mereka tanpa langsung diambil peduli oleh pemimpin pakatan.

5.    Sewaktu pilihanraya umum ke 12, saya dimaklumkan ada sesetengah juru kempen pakatan yang menjanjikan bekalan air percuma 100% kepada rakyat namun setelah memerintah, ianya hanyalah indah khabar dari rupa. Mungkin MB Selangor boleh lepas tangan dengan mendakwa yang berjanji itu bukan beliau tetapi bagi rakyat yang mengundi sudah pasti mereka mengharapkan janji tersebut dapat ditunaikan. Di sesetengah tempat ada yang beranggapan bil air tidak perlu dibayar kerana berpegang pada janji yang ditabur pakatan.

6.    Itu baru kita bincangkan tentang soal air. Bagaimana pula dengan bermacam isu yang lain yang jauh panggang dari api untuk dilaksanakan? Di mana janji untuk memberikan RM75 sebulan kepada setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak? Di mana janji  elaun kepada surirumah yang tidak bekerja? Itu belum disentuh tentang soal ketelusan dan bermacam perkara yang dijanjikan.

7.    Di Dewan Undangan Negeri, saya sebagai Ketua Pembangkang dan ADUN BN cuba menyuarakan luahan dan ketidakpuasan hati rakyat Selangor. Jika bukan kami yang suarakan segala masalah yang dihadapi oleh rakyat, maka siapa lagi yang akan bersuara bagi pihak mereka. Kami mempersoalkan, dimanakah janji kerajaan negeri bagi pihak rakyat. Malangnya pelbagai pertanyaan kepada MB gagal dijawab dan ada ketikanya ada dikalangan ADUN BN yang dihalau dari dewan bagi menutup segala kelemahan pentadbiran. Jelas kerajaan pakatan begitu angkuh kerana tidak mempedulikan segala permasalahan rakyat.

8.    Akhirnya bila pilihanraya umum semakin hampir, ternyata mereka amat takut untuk menghadapi rakyat sekali lagi kerana risau rakyat menghukum mereka atas salah laku dan kegagalan mereka mengurus tadbir kerajaan sebagaimana yang telah diamanahkan. Jika mereka benar-benar bekerja secara jujur, amanah, telus, berintegriti dan bertanggungjawab sepatutnya mereka tidak perlu gusar dan takut untuk menghadapi rakyat. Pepatah melayu ada berkata berani kerana benar, takut kerana salah.

9.    Maklumat yang diterima juga menunjukkan ada dikalangan pemimpin pakatan kini berlumba-lumba mengejar projek dan menyapu apa yang ada kerana khuatir mereka tidak lagi memerintah selepas PRU akan datang. Maka tidak hairanlah jika golongan berkepentingan ini mendesak kerajaan pakatan Selangor agar tidak menyertai PRU sehingga belanjawan dilaksanakan dan berkemungkinan duit belanjawan itu selamat sampai ke kocek masing-masing sebelum PRU berlangsung.

10.    Pada masa ini rakyat Selangor sedang merasai akan kesan dari penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan negeri sekarang. Kakitangan kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri mula merasai akan bahang salah urus tadbir yang berlaku. Pelbagai perkara cuba dipolitikkan untuk kepentingan peribadi dan pemimpin tertentu menyebabkan mereka semakin tertekan.

11.    MB Selangor pula semakin hilang punca dan adakalanya membuat keputusan yang salah demi untuk memenuhi nafsu kelompok tertentu yang berkepentingan. Bila ini berlaku maka pentadbiran menjadi semakin bercelaru. Soal kutipan sampah di PBT pun menjadi isu besar yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri. Dalam situasi dimana kerajaan membelanjakan berjuta ringgit duit pembayar cukai untuk kempen zon bersih, rakyat terpaksa berdepan dengan sampah berulat didepan rumah yang tidak dikutip. Sungguh memalukan!

12.    Sewaktu lawatan MB dikawasan Puchong Permai, beliau diajukan soal longkang yang tidak terjaga oleh seorang penduduk, malangnya MB menyuruh penduduk tersebut menjual rumahnya kerana kerajaan negeri sanggup membelinya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Apakah dalam fikiran MB, soal longkang tersebut boleh diselesaikan dengan cara kerajaan membeli semua rumah yang menghadapi masalah longkang? Tidak perlulah saya memberi cadangan bagaimana caranya untuk menyelesaikan masalah longkang ini memandangkan MB seorang ahli korporat yang hebat.

13.    Jika soal longkang pun MB gagal untuk menyelesaikannya, bagaimana mungkin beliau mampu menyelesaikan semua masalah kerajaan negeri yang jauh lebih besar seperti soal anak syarikat kerajaan negeri yang semakin parah. Tidak hairanlah bila Tuanku Sultan Selangor terpaksa bertitah agar GLC Selangor diuruskan dengan lebih baik. Sudah pasti bila Baginda Sultan bertitah, bermakna ada sesuatu yang tidak kena dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh MB.

14.    Isu kompleks PKNS yang mendapat bantahan dari rakyat Selangor juga gagal dijawab oleh MB Selangor. Soalan saya kepada MB Selangor di dewan amat mudah. Syarikat mana yang diberikan projek pembangunan Kompleks PKNS  dan siapa pemilik syarikat tersebut. Sekali lagi MB Selangor enggan menjawab pertanyaan tersebut.

15.    Kita digambarkan bahawa projek yang bakal dibina ini dapat memberi pulangan lumayan kepada kerajaan negeri hasil pembinaan pusat komersial dan kediaman mewah. Rakyat Selangor berhak untuk tahu tentang projek pembangunan ini memandangkan ia merupakan tanah milik kerajaan negeri. Persoalannya apakah semua rakyat akan mendapat nikmat dari pembangunan tersebut? Apakah rakyat biasa akan dapat membeli lot-lot kedai ini jika dijual dengan harga jutaan ringgit? Maka apa guna jika kerajaan mendapat keuntungan sedangkan rakyat biasa tidak dapat menikmatinya. Apakah ini konsep merakyatkan ekonomi Selangor yang dibanggakan oleh kerajaan negeri?

16.    Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri oleh Menteri Besar Selangor akan terus dipolemikkan oleh pemimpin pakatan untuk menunjukkan kuasa mereka. Soal akan berlaku pembaziran wang rakyat seperti yang dimaklumkan oleh SPR bukanlah isu penting bagi mereka. Maka sama-samalah kita melihat setakat mana keangkuhan Kerajaan Pakatan di Selangor nanti untuk berhadapan dengan rakyat nanti. Bagi BN ia bukanlah suatu isu, kerana kita yakin bahawa selagi kita ikhlas bekerja untuk rakyat, maka rakyat akan terus memberi sokongan!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

….

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in DAP, Isu Semasa, Pas, PKR and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s