Pemimpin Pakatan Berceramah Menabur Fitnah Mengenai Hutang Negara!

1. Sejak kebelakangan ini satu perkembangan yang menarik berlaku di mana ramai nama-nama besar pakatan berkunjung ke Puchong untuk menyampaikan ceramah dan menghadiri aktiviti parti.

2. Mungkin mereka berpandangan bahawa Puchong merupakan kawasan Ketua Pembangkang, maka kawasan ini harus diserang dan dilumpuhkan terlebih dahulu bagi menjamin kemenangan selesa pakatan pada PRU akan datang.

3. Jika dilihat dari sudut lain pula, mungkin juga pakatan berpendapat dua kerusi yang dipegang oleh exco kanan DAP, YB Teresa Kok dan anak emas Karpal Singh, Gobind Singh perlu dipertahankan dengan apa juga cara dari dirampas oleh BN dalam pilihanraya umum nanti.

4. Maka tidak hairan bila saya menerima maklumat bahawa satu ceramah politik pakatan telah diadakan di perkarangan Dewan MPSJ, Taman Puchong Indah malam tadi (17/10/11) yang turut dihadiri oleh beberapa nama besar terdiri dari YB Teresa Kok, Shamsul Iskandar Mat Akin (Ketua AMK), Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor, YDP Pas Kawasan Puchong dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Puchong. Sebelum ini pula diberitakan Menteri Besar telah pun turun ke Puchong pada minggu yang lalu.

5. Pas sememangnya amat sinonim dengan aktiviti ceramah. Bila bercakap tentang soal kerahan tenaga untuk meramaikan ceramah, Pas paling menonjol kerana mempunyai ahli yang sanggup dikerah dan diperah tenaganya. Jika dibandingkan dengan DAP dan PKR, mereka langsung tidak boleh diharap dalam hal ini – ironinya apabila mendapat kuasa maka mereka lebih ke depan berbanding pemimpin pas sendiri!

6. Tahniah saya ucapkan kepada pas yang telah berjaya mengadakan ceramah politik mereka biarpun menurut maklumat yang diterima, kehadirannya agak mengecewakan. Dengan kehadiran hanya seramai lebih kurang 100 orang, maka banyak perkara menjadi persoalan. Apakah ianya berkait dengan trend gelombang aliran maklumat khususnya media maya yang menyebabkan orang ramai sudah tidak lagi berminat dengan ceramah politik? Atau mungkinkah rakyat sudah mula bosan dengan retorik kosong para penceramah pakatan yang cakap tidak serupa bikin.

7. Mengikut maklumat yang diterima, bukan hanya satu ceramah pas yang kurang mendapat sambutan, malah ianya berlaku juga di tempat lain di Selangor. Saya tidak mahu mengambil sikap selesa dengan mengatakan bahawa BN semakin kuat kerana masih banyak perkara perlu dilakukan dan sedang diusahakan dipelbagai peringkat untuk memperkukuhkan BN. Pasti ia bukan mudah tetapi usaha telah pun digerakkan dengan semangat tabah dan berani sebagaimana yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

8. Sebaliknya pakatan seperti terkena ‘denial syndrome’ dengan cuba menyembunyikan segala masalah dalaman mereka di bawah karpet. Apakah pergolakan dalaman telah memberi kesan terhadap kehadiran ke program ceramah yang mereka anjurkan? Atau mungkinkah rakyat Selangor sendiri sudah bosan dengan segala janji manis ibarat menanam tebu dihujung bibir dan cakap tak serupa bikin seperti yang diamalkan oleh pemimpin pakatan? Atau mungkinkah pengundi mereka sudah muak melihat suara Pas seringkali disisihkan dalam pakatan? Kita tinggalkan persoalan ini untuk dinilai oleh rakyat!

9. Dalam sesi ceramah tersebut, seperti dijangka penceramah pas lebih banyak bermain retorik tentang islam dengan membawa contoh hebatnya pemerintahan pas di Kelantan manakala muslimat pas pula bercerita tentang zalimnya kerajaan dan polis kerana menghalang perhimpunan BERSIH yang lalu. Penceramah PKR dan DAP pula cuba memberi tumpuan kepada bajet yang kononnya kerajaan berbelanja lebih dengan memberi duit kepada rakyat menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung hutang sebanyak 52% berbanding KDNK. Saya menjangkakan isu ini akan terus dimainkan oleh pemimpin pakatan untuk menanam persepsi buruk kepada pemimpin negara yang kononnya menggunakan duit secara tidak berhemah.

10. Satu perkara yang cuba disembunyikan oleh pemimpin pakatan, benarkah jumlah RM437 billion itu merupakan hutang kerajaan? Hakikatnya jumlah itu merupakah jumlah hutang awam dan swasta. Jika diperhalusi lagi hutang awam pula dibahagikan kepada dua iaitu hutang Kerajaan Persekutuan dan Hutang PABK (Perusahaan awam bukan kerajaan termasuk GLC). Realitinya hutang swasta tidak ditanggung oleh rakyat seperti yang diwar-warkan oleh pakar putar alam Anwar Ibrahim. Namun Anwar dan pemimpin pakatan cuba menggambarkan segala hutang itu perlu ditanggung oleh rakyat jelata sebagaimana rakyat menanggung hutang kereta dan rumah sekiranya pihak swasta tidak mampu membayar hutang tersebut! Saya harap rakyat Malaysia dapat melihat kembali rekod pembayaran hutang oleh kerajaan dan swasta berdasarkan laporan-laporan bank negara sebelum ini.

11. Sebelum mengkritik bajet kerajaan, mereka seharusnya melihat kembali konsep negara kebajikan yang mereka laungkan selama ini. Kini rakyat semakin sedar bahawa BN berpuluh kali lebih berkebajikan dari mereka yang hanya menjaja slogan kebajikan semata-mata. Maka untuk menafikan semua ini pelbagai tuduhan jahat telah dilemparkan kepada kerajaan. Peliknya selama ini mereka tidak pernah peduli pun soal hutang negara bila mengemukakan buku jingga. Dalam persoalan ekonomi, isu hutang bukanlah sesuatu yang luar biasa. Jika nisbah hutang berbanding KDNK, diambilkira sebagai satu-satunya faktor bagi mengambarkan situasi ekonomi negara, maka ekonomi US dan UK pastinya paling teruk kerana dua negara ini mempunyai jumlah hutang tertinggi didunia! Hakikatnya hutang bukanlah satu isu selagi kita mampu membayar. Ia hanyalah satu propaganda murahan Anwar untuk mengalih perhatian rakyat kes liwat yang dihadapi oleh beliau.

12. Pihak swasta memerlukan kemudahan kredit untuk mengembangkan perniagaan mereka. Hutang tidak akan diberi kepada mereka yang mendapat penarafan kredit yang rendah oleh bank. Boleh dikatakan kebanyakkan individu berhutang untuk tujuan membeli rumah, kenderaan dan lain-lain. Mungkin Anwar tidak perlu berhutang sebagaimana orang biasa untuk membeli rumah yang berharga jutaan ringgit, dan jika benar maka beliau antara mereka yang sangat beruntung! Bagi orang biasa hutang perkara yang biasa, apatah lagi syarikat swasta untuk terus berkembang.

13. Isunya disini bukan soal hutang tetapi soal bagaimana pemimpin pakatan cuba menutup kegagalan kerajaan pakatan untuk membela nasib rakyat kononnya dengan slogan negara kebajikan mereka! Slogan yang indah tanpa perancangan dan implementasi yang berkesan akhirnya akan memberi kemudaratan kepada rakyat. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan telah melakukan segala perancangan untuk memajukan negara dengan mengambilkira soal kebajikan rakyat. Namun bagi pakatan, mereka hanya pandai memutarbelitkan fakta untuk memenuhi nafsu politik mereka demi kuasa!

14. Bagi menutup coretan ini saya ingin bercerita tentang kisah seorang tua, anaknya dan seekor keldai untuk renungan kita bersama.

Kisahnya bermula bila si bapa dan anaknya pergi mengembara bersama dengan membawa keldai mereka. Di peringkat awalnya si bapa dan si anak meletakkan barangan di atas keldai tersebut sedang mereka berjalan.

Sampai di sebuah kampung, mereka terdengar suara-suara sumbang berkata “lihatlah bertapa bodohnya mereka berdua, tidak menunggang keldai itu.” Maka si bapa pun menyuruh si anak menaiki keldai tersebut sedang dia sendiri menarik tali keldai itu dan meneruskan perjalanan.

Dalam perjalanan itu mereka telah melalui sebuah kampung yang lain dan sekali lagi terdengar suara mengata mereka. “lihat bertapa teruknya si anak yang membiarkan bapanya yang tua berjalan, sedangkan si anak seronok menaiki keldai!”.

Akhirnya si anak telah meminta si bapa pula menunggang keldai sementara si anak berjalan. Sampai di perkampungan berikutnya, sekali lagi mereka mendengar orang mengata “lihatlah si bapa yang tidak bertanggungjawab membiarkan si anak berjalan sedang dia berseronok menunggang keldai!”.

Maka mereka berhenti dan berbincang dan satu keputusan diambil. Mereka akan menunggang keldai itu bersama-sama dan meneruskan perjalanan. Sangkaan mereka tiada lagi suara sumbang itu muncul apabila melalui perkampungan seterusnya. Tenyata sangkaan mereka salah! Orang kampung masih mengata mereka. Kali ini berbunyi… “lihatlah bertapa teruknya orang itu, sanggup menzalimi keldai!”

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink.