Penghapusan ISA Sebagai Satu Cabaran

 1. Tanggal 15hb September 2011, Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak telah membuat pengumuman menghapuskan ISA yang selama ini menjadi pertikaian hebat di antara kem penyokong ISA dan kem penentang ISA yang terdiri dari pakatan PAS, PKR dan DAP.

2. Pengumuman ini telah mengejutkan banyak pemerhati politik tanahair. Ada yang teruja, terkejut dan tidak kurang juga yang terkilan. Ia akan dikenang sebagai sebagai satu sejarah sempena Hari Malaysia yang disambut pada hari ini 16hb September 2011.

3. Hari Malaysia di sambut sempena penyatuan pembentukan Malaysia yang terdiri dari Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (yang juga turut disertai oleh Singapura sebelum keluar dari Malaysia) pada tahun 1963. Ia sedikit berbeza dengan hari kemerdekaan yang disambut setiap 31hb Ogos mengambil sempena kemerdekaan Tanah Melayu dari British pada tahun 1957.

4. Dengan memilih Hari Malaysia untuk membuat pengumuman penghapusan ISA, Perdana Menteri cuba mengambil semangat penyatuan tersebut dengan penuh keikhlasan berkorban untuk mengajak seluruh rakyat bersatu ke arah membina sebuah negara bangsa yang berjaya sebagaimana yang diimpikan.

5. Pasti ada pro dan kontra dalam isu penghapusan ISA ini. Malah ada yang sedikit emosional atas sifat nostalgia akta ini yang telah banyak menyumbang kepada keamanan negara selama ini. Reaksi sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan isu ini telah mengundang perbincangan yang hangat dikalangan pelbagai pihak.

6. Tiada siapa yang menafikan jasa akta ini kepada negara biarpun ianya telah digubal di zaman British di samping melalui 20 pindaan sejak diperkenalkan pada tahun 1960. Semenjak isu ISA ini dipolemikkan oleh pakatan pembangkang yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP maka ia mengundang perdebatan dikalangan golongan akademik, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan. Maka ada yang menyokong ianya dikekalkan dan sebahagiannya pula menggesa agar ianya dihapuskan.

7. Bagi mereka yang menyokong akta ini dihapuskan, sudah pasti mereka akan menganggap ianya satu kemenangan moral dengan pengumuman PM itu, manakala sebaliknya pula kepada mereka yang ingin mengekalkan akta ini.

8. Terdapat dua isu utama yang sering dipersoalkan oleh golongan penentang ISA:

a. ISA dilihat satu akta yang bersifat zalim kerana menahan tanpa bicara suspek. Mereka berhujah bahawa amat zalim bagi seseorang itu ditahan tanpa diberikan hak untuk membela dirinya.

b. Isu kedua dari segi persepsi bahawa akta ini boleh disalahguna untuk menahan musuh politik demi kepentingan politik pemerintah. Mereka berhujah bahawa kuasa penahanan diletakkan dibawah kuasa Menteri Dalam Negeri yang sudah tentu dipegang oleh parti yang memerintah maka penyalahgunaan mungkin berlaku.

 9. Sebagai makluman, dibawah ISA suspek boleh ditahan tanpa bicara selama 60 hari manakala tempoh tahanan boleh dilanjutkan selama 2 tahun dengan persetujuan Menteri Dalam Negeri.

10. Bagi mereka yang menyokong ISA pula mereka berhujah dari segi matlamat akta tersebut yang telah terbukti berjaya mengekang sebarang anasir subversif yang mampu menggugat keselamatan negara dan menjaga kepentingan awam dari diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka berpendapat bahawa isu ISA hanyalah sebahagian dari propaganda pembangkang bagi membentuk persepsi buruk kepada kerajaan BN yang memerintah, kononnya ia bersikap zalim kepada suspek yang ditahan. Menghapuskan akta ini seolah-olah kerajaan cuba memberikan lesen untuk mereka melakukan pelbagai dakyah yang akhirnya mendatangkan kemudaratan kepada majoriti rakyat yang inginkan keamanan.

11. Maka dengan pengumuman ini kerajaan cuba memberi penyelesaian kepada polemik yang ditimbulkan. Keputusan telah diambil, ISA dihapuskan dan gantikan dengan akta lain yang lebih sesuai dan diterima oleh semua pihak. Namun begitu saya menjangkakan akta baru yang akan digubal kelak akan turut dipertikaikan oleh PAS, PKR dan DAP. Jika itu yang berlaku, ia membenarkan dakwaan golongan penyokong ISA bahawa segala penentangan ISA hanyalah bersifat politik semata-mata tanpa mengambilkira kepentingan rakyat seperti yang diwar-warkan. Di waktu itu rakyat akan membuat penilaian apakah pembangkang benar-benar jujur dalam menentang ISA?

12. Ternyata Perdana Menteri telah menunjukkan kejujuran dan keikhlasan kerajaan untuk bersikap adil kepada semua pihak yang terlibat tanpa mengira parti. Soalnya sekarang apakah kejujuran itu akan dihargai oleh parti pembangkang? Biar apa pun PM telah menunjukkan satu keberanian yang luar biasa dengan mengambil risiko yang besar atas keputusan yang tidak popular khususnya dikalangan penyokong ISA yang rata-rata terdiri dari ahli UMNO dan BN.

13. Keberanian yang ditunjukkan itu menggambarkan satu kenyakinan yang tinggi bahawa UMNO dan BN benar-benar bersedia menghadapi segala cabaran yang mendatang. Jelas PM ingin menyampaikan satu mesej bahawa kejayaan UMNO dan BN memenangi hati rakyat bukan dengan berlindung disebalik ISA seperti yang cuba ditanam oleh pakatan pembangkang, sebaliknya BN benar-benar sebuah parti yang sememangnya layak untuk meraih sokongan rakyat atas kemampuannya yang hakiki dalam soal mentadbir negara tidak seperti PAS, PKR dan DAP yang hanya hidup atas kelemahan orang lain.

14. Sebagai ahli parti, maka kepercayaan dan keyakinan harus diberikan kepada Perdana Menteri dan barisan kepimpinannya untuk menggubal satu akta baru yang akhirnya mampu mencapai semangat dan roh ISA demi menjaga kemaslahatan umum dan dalam masa yang sama mengambilkira hak rakyat yang terkandung dan dijamin oleh perlembagaan negara.

15. Seeloknya kita menghalusi ucapan PM yang membuat satu penegasan berkaitan matlamat penggubalan akta baru sebagaimana berikut:

“Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.” – Dato Seri Najib Tun Razak

Ini menjelaskan apa juga akta yang akan digubal mempunyai satu matlamat murni memelihara ketenteraman awam sama seperti matlamat ISA. Dan jika matlamat itu diambilkira maka pembangkang tidak ada alasan untuk menolak kecuali atas kepentingan politik sempit mereka.

16. Begitu juga dengan penjelasan tentang perlaksanaanya seperti berikut:

“Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.” – Dato Seri Najib Tun Razak

Ini bermakna, akta baru hanya memperuntukan tempoh tahanan yang lebih pendek berbanding 60 hari tahanan polis dan lanjutan 2 tahun dengan kebenaran menteri seperti yang diamalkan sebelum ini. Dengan kata lain kuasa menteri dalam penahanan telah dihapuskan dan dipindahkan kepada mahkamah kecuali kes tertentu yang melibatkan keganasan.

17. Jika semua ini diambilkira maka tiada alasan untuk mereka yang menyokong ISA untuk terus mengkritik pemansuhan ini memandangkan ianya masih mempunyai matlamat yang sama, sebaliknya kita diajak untuk bersikap lebih rasional. Manakala pembangkang pula tiada alasan untuk tidak menyokong akta baru yang akan dibentangkan kerana segala kelemahan yang dipersoalkan mereka telah ditambah baik melalui akta baru itu. Namun begitu apa yang boleh diharapkan sangat dengan pembangkang yang hanya tahu menggunakan pelbagai isu demi kepentingan politik sempit mereka.

18. Berkaitan dengan Akta Buang Negeri 1959 yang turut dimansuhkan – ianya bukanlah satu isu besar memandang undang-undang ini sudah tidak lagi releven pada masa sekarang. Dengan kecanggihan teknologi dan dunia tanpa sempadan sekarang penjenayah boleh melakukan keganansan tanpa mengira tempat lagi. Maka sewajarnya ia dimansuhkan.

19. Begitu juga dengan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang tidak dimansuhkan sepenuhnya sebaliknya hanya dikaji dan tambah baik di mana proses pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Ini bermaksud mana-mana lesen penerbitan akan dibatalkan terus sekiranya didapati bersalah melanggar arahan yang telah ditetapkan berbanding akta sekarang yang terpaksa menunggu masa pembaharuan lesen yang ada kalanya mencecah sehingga beberapa bulan untuk diambil tindakan melalui pembatalan pembaharuan. Keadaan ini menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab boleh memanipulasi permit penerbitan dengan menyampaikan pelbagai dakyah dan fitnah yang boleh menggugat keamanan negara.

20. Keputusan kerajaan untuk mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 bagi menyesuaikan dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun sudah pasti akan mengambilkira soal demonstrasi jalanan yang menyusahkan orang ramai dan mendatangkan kemudaratan kepada negara.

21. Berbalik soal isu ISA, mungkin akan ada polemik di mana pembangkang akan mendakwa bahawa ini adalah kejayaan mereka dalam menghapuskan ISA manakala mereka yang memperjuangkan ISA dikekalkan pula akan merasa seolah mereka kalah dalam pertarungan ini. Namun saya melihat ianya dalam sudut padang yang berbeza, apa salahnya kita berkorban sedikit untuk menerima kekalahan kecil yang pastinya akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar dalam jangka masa panjang. Semangat juang ini seharusnya ada dalam jiwa setiap rakyat yang cintakan keamanan.

22. Satu hakikat yang mungkin pahit untuk ditelan, bahawa zaman telah banyak berubah. Dan kita perlu menunjukkan satu keyakinan yang kukuh untuk mendepani perubahan dengan semangat keberanian yang luar biasa untuk terus kekal membina sebuah negara bangsa seterusnya mencipta sebuah tamadun yang berdiri megah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh PM.

23. Pasti ada yang ingin sekali melihat ISA ini terus kekal sebagai satu elemen preemptif bagi mengekalkan keamanan negara sehingga generasi akan datang. Namun dalam isu pemansuhan ISA ini saya memilih untuk menyokong PM atas dasar bahawa akta baru yang bakal digubal mempunyai semangat dan tujuan yang sama dengan ISA biarpun berbeza dari soal perlaksanaannya, dan lebih dari itu ia bakal memberi satu tamparan hebat kepada parti pembangkang dengan syarat kerajaan perlu mempunyai ketegasan dalam melayan kerenah pembangkang yang akan cuba membuat pelbagai tuntutan bagi memenuhi nafsu politik gila mereka.

24. Keyakinan ini adalah berdasarkan bahawa akta baru ini benar-benar mampu menjamin keamanan dan kemakmuran negara yang tercinta ini. Sempena Hari Malaysia ini marilah kita sama-sama beriltizam memberikan seluruh komitmen, mengikat janji untuk terus kekal sebagai sebuah negara aman makmur yang terus dirahmati oleh Allah swt.
Sekian.

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

5 Responses to Penghapusan ISA Sebagai Satu Cabaran

  1. ROHAN says:

    Adakah undang2 yg bakal mengganti ISA lebih zalim lagi?

  2. abu idris says:

    arrayah.info – Hari Malaysia/Hari Kemerdekaan/Hari Kebangsaan : Hari Penerus Pemecah-Belah Kesatuan Umat Islam

  3. sokong isa says:

    mungkin zalim kepada mereka yang bergelar penjenayah dan suka menyusahkan org ramai..

  4. Hadi bawang says:

    ISA zalim ke? anwar ibrahim lagi zalim..

  5. khair says:

    Salam..minta kebenaran utk guna sedikit maklumat utk assgmt..terima kasih

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s