Polemik Akta ISA: Kerajaan Selangor seperti tikus membaiki labu

1.    Setelah sekian lama isu ISA senyap, kini pakatan rakyat melalui Menteri Besar Selangor sekali lagi memainkan semula ini dengan meluluskan peruntukan RM600,00.00 dari kantung kerajaan negeri untuk membiayai kempen politik mereka bagi menghapuskan akta ISA. Satu usaha yang sia-sia selain dari menghabiskan duit rakyat untuk kepentingan parti pakatan rakyat.

2.    Umumnya kebanyakan rakyat mengetahui bahawa akta ISA ini telah pun wujud sejak dari 1960 lagi sebagai satu akta yang lebih bersifat mencegah. Dalam bidang perubatan, kita memang sedia maklum, mencegah itu jauh lebih baik dari mengubati. Begitulah juga dalam aspek pembinaan negara bangsa, kos mencegah itu jauh lebih murah berbanding dengan kos memperbaiki segala kerosakan yang telah berlaku. Malah dalam sesetengah kes bilamana ianya melibatkan nyawa rakyat maka kosnya tidak ternilai dengan wang ringgit lagi.

3.    Negara US yang dulunya mengutuk keras penggunaan akta ini di Malaysia akhirnya mengakui bahawa akta ini lebih banyak membawa manfaat dari mudarat. Hasilnya pada 0ktober 2001, satu akta seumpama ini telah digubal dan luluskan oleh kongres US menggunakan nama US PATRIOT Act (Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism Act). Semua ini disebabkan kegagalan undang-undang sedia ada yang gagal menghalang tragedi 911.

4.    Sebagai sebuah negara berbilang kaum, Malaysia sering terdedah kepada pelbagai ancaman yang jika tidak ditangani segera, mampu menggugat kestabilan negara. Kesannya ekonomi tidak akan stabil, pelabur dan peniaga yang selama ini menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat akan berpindah mencari tempat yang lebih stabil. Akhirnya rakyat akan merasa keperitannya. Kerajaan tidak mendapat hasil dari pelaburan seterusnya kerajaan tidak akan dapat memulangkan duit tersebut kepada rakyat untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.

5.    Pandanglah ke negara-negara lain yang tengah bergolak dan berkonflik yang tidak berkesudahan. Apakah rakyat negara ini berseronok melihat keadaan Negara mereka? Apakah mereka selesa untuk bekerja dan mencari nafkah menyara keluarga di sana? Sudah tentu tidak! Tiada mana-mana rakyat yang meinginkan negara mereka menjadi sedemikian. Bagi mereka yang berkemampuan, sudah pasti mereka akan berhijrah untuk mencari sinar kehidupan baru di negara yang lebih makmur dan terjamin keselamatannya. Bagi yang lain, mereka akan terus merintih, berharap dan terus berharap agar diberi keamanan. Apakah kita sebagai warganegara Malaysia hari ini masih tidak dapat melihat kenikmatan berada di bumi bertuah ini?

6.    Kemakmuran yang dikecapi oleh negara ini bukan berlaku secara kebetulan. Pelbagai usaha telah dicurahkan. Kejayaan ini adalah kejayaan kita sebagai warganegara Malaysia dalam membina sebuah Negara yang dihormati oleh dunia. Semua kaum termasuklah melayu, cina, india, singh, kadazan, dusun, dayak, bidayuh, dan lain-lain telah bersama-sama membina negara sehingga ke tahap ini. Kewujudan undang-udang dalam mengawal kepentingan rakyat juga adalah salah satu penyumbang kepada kamakmuran yang dikecapi hari ini.

7.    Bilamana undang-undang tidak dapat berfungsi dengan berkesan maka mereka yang berkepentingan peribadi akan cuba menghasut rakyat melakukan perkara yang salah dan akhirnya rakyat lain terpaksa menanggung akibatnya. Jika diperhatikan, kebanyakan undang-undang ini akan mula diimplentasikan apabila seseorang itu telah melakukan kesalahan. Sebagai contoh, seseorang yang telah melakukan kesalahan membunuh dan ditangkap maka pembunuh itu jika didapati bersalah maka akan dijatuhkan hukuman mati atau dipenjarakan. Kita jarang melihat sebaliknya dari sudut kesan yang ditanggung oleh mangsa yang dibunuh termasuklah kesan dan trauma yang dihadapi anak, isteri serta keluarga mangsa. Bagaimana pula jika ia melibatkan lebih ramai rakyat biasa yang menderita hasil dari perbuatan  seorang manusia yang hanya mementingkan dirinya sendiri. Maka atas sebab inilah kewujudan akta ISA ini diperlukan bagi mencegah sesuatu mudarat yang mungkin akan berlaku dan menyusahkan orang ramai.

8.    Ramai dikalangan kita yang hanya melihat penggunaan akta ini dari sudut politik semata-mata. Hakikatnya akta ini telah digunakan dengan jayanya untuk mengekang pergerakan komunis di era sebelum kemerdekaan lagi. Malah ianya juga telah digunakan dalam menghalang penjenayah terancang, kongsi gelap dan penyalahgunaan dadah yang memberi kesan kepada rakyat. Seiring dengan kemajuan dan cara hidup era moden ini, penjenayah juga semakin pandai serta perlakuan jenayah juga menjadi lebih kompleks. Sebagai satu perbandingan mudah, dalam jenayah dadah, pengedarannya dilakukan oleh orang lain sedangkan pengedar sebenar hanya mengawal aktiviti keluar masuk dadah sahaja. Jika seorang pengedar itu ditangkap, mereka boleh mencari 10 lagi pengedar untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Maka dalam konteks ini undang-undang sedia ada mungkin gagal menyelesaikan masalah dan akta ISA seharusnya dikenakan kepada penjenayah yang menjadi perancang utama. Apakah dengan membiarkan penjenayah jerung ini bermaharajalela disebabkan undang-undang tidak dapat membuktikan mereka bersalah adalah satu perbuatan yang mulia?

9.    Kepelbagaian bangsa yang ada dinegara ini adalah satu kelebihan yang jarang ada pada negara lain di dunia ini. Setiap bangsa mempunyai kelebihan tersendiri dan formula mengabungkan kelebihan setiap bangsa ini telah berjaya membina negara kita sehingga ke tahap ini. Namun demikian, setiap bangsa juga ada kelemahan dan ada perkara yang dianggap sensitif untuk disentuh oleh pihak lain. Tidak salah untuk sesuatu kaum cuba membela nasib bangsanya tetapi seharusnya kita tidak melupakan akan hakikat bahawa kaum-kaum lain juga mempunyai haknya yang tersendiri. Bilamana kita mempertikaikan hak orang lain maka orang lain pula akan mempertikaikan hak kita. Akhirnya kita akan berpolemik sesama sendiri, natijahnya negara akan menjadi huru-hara dan rakyat yang tidak bersalah akan menjadi mangsa dan tiada lagi nikmat kemakmuaran yang kita kecapi hari ini.

10.    Hari ini memang diakui wujud kecenderungan sesetengah pihak yang berkepentingan cuba memainkan isu perkauman sempit demi meraih kuasa politik. Saban hari, perasaan dan sentimen kaum cuba dibakar untuk mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dengan harapan bilamana ianya berjaya dilakukan maka pihak ini akan dapat menangguk di air yang keruh.

11.    Saya ditemui oleh ramai rakyat dibawah yang meminta kerajaan lebih tegas dalam menangani isu ini. Saya sendiri cuba meyampaikan suara hati mereka ini kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hisyamuddin sewaktu merasmikan persidangan umno bahagian pada tahun lepas. Namun sehingga hari ini belum ada tindakan ISA pun dikenakan terhadap anansir yang cuba menggugat ketenteraman awam ini hasil dari desakan tersebut.

12.    Oleh yang demikian saya berpandangan, suara yang mewakili parti politik bukanlah penyumbang utama kepada sesuatu tindakan diambil terhadap mana-mana individu menggunakan akta ISA ini. Kuasa eksekutif yang dipegang oleh Menteri Dalam Negeri adalah kuasa yang digunakan bersama pihak polis dalam menguatkuasakan akta ISA. Setiap tindakan yang diambil perlu mematuhi prosedur dan peraturan serta justifikasinya perlu jelas. Kerajaan tidak boleh menggunakan akta ini sewenang-wenangnya demi kepentingan politik pemerintah, sebaliknya ianya hanya akan digunakan sekiranya ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara berdasarkan laporan penyiasatan terperinci yang dikemukakan oleh pihak polis.

13.    Jika ada dikalangan rakyat yang merasa agak kecewa apabila memandang KDN kurang tegas dalam melaksanakan akta ini, maka mereka seharusnya bersifat rasional bahawa setiap tindakan bukanlah semudah yang disangka. Pihak polis harus diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas mereka memantau setiap percubaan merosakkan keharmanonian dan kemakmuran negara. Mereka tentunya lebih arif dalam menilai sebarang situasi. Maka jika tiada tindakan diambil, ianya berkemungkinan pihak polis berpendapat ianya masih belum ke tahap serius yang memungkinkan penggunaan akta ISA ini dikenakan kepada pihak yang cuba mencabar kedaulatan undang-undang. Ini menunjukkan kepada kita bahawa kerajaan hari ini begitu bertanggungjawab dalam menggunakan akta ini tidak seperti pakatan rakyat yang hanya mempolitikkan isu untuk kepentingan diri sendiri.

14.    Namun begitu pihak yang tidak bertanggungjawab ini juga seharusnya sedar sebagai warganegara mereka bebas melakukan apa jua aktiviti yang dibenarkan undang-undang selagi ianya tidak melampaui batas-batas yang telah digariskan. Seandainya ianya dilangkaui maka sesiapa juga harus menerima hakikat bahawa negara ini bukannya hak milik mereka seorang. Kepentingan orang ramai dan rakyat yang ingin hidup dalam keadaan aman, perlu lebih diutamakan.

15.    Atas sebab inilah maka akta ISA diwujudkan dan dikekalkan hingga ke hari ini biarpun ada suara sumbang yang bercita-cita menghapuskan akta ini dari undang-undang negara. Persoalannya kenapa mereka ini begitu takut dengan akta ini jika mereka tidak melakukan kesalahan? Telah terbukti sepanjang kewujudannya, akta ini hanya digunakan untuk mengekang pengaruh komunis sewaktu darurat, penjenayah dan sebahagian individu yang jelas boleh menggugat ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab. Ironinya, ada dikalangan ahli politik yang pernah dikenakan ISA masih lagi aktif berpolitik hingga ke hari ini tidak kiralah ahli politik kerajaan mahu pun dari pembangkang sendiri. Seandainya mereka ini dizalimi maka sudah pastilah wajah-wajah mereka tidak lagi kelihatan dipentas politik kini. Usaha untuk memberikan persepsi bahawa akta ini bersifat zalim oleh pakatan rakyat adalah berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.

16.    Jelas sekali isu ISA hanyalah satu gimik politik yang cuba digunakan oleh sesetengah pihak bagi memberikan persepsi yang buruk kepada kerajaan yang memerintah. Rakyat telah dimomokkan dengan akta ini bersifat zalim sedangkan mereka ini cuba melupakan kebaikan yang telah rasai oleh rakyat dengan adanya akta ini. Amat jelas mereka yang cuba mempolemikkan isu ini tidak bertanggungjawab kepada negara dan generasi akan datang.

17.    Oleh yang demikian saya tetap berpandangan tindakan kerajaan negeri Selangor meluluskan bajet RM600,000.00 untuk kempen menghapuskan ISA adalah satu tindakan yang tidak wajar. Agenda menghapuskan ISA adalah agenda parti pakatan rakyat yang seharusnya dibezakan dengan agenda nasional yang berkepentingan rakyat. Maka sebarang penggunaan dana awam untuk kegunaan parti adalah satu penyalahgunaan kuasa yang dipersoalkan oleh rakyat Selangor. Bagaimana dana tersebut akan digunakan juga menjadi persoalan? Berapa banyak kain rentang dan banner yang akan dihasilkan dengan duit sebanyak itu? Berapa banyak program yang akan dianjurkan? Berapa pula kos penganjuran bagi setiap program? Pihak mana pula yang bertanggungjawab memantau segala ‘projek kempen’ ini bilamana dana ini telah digunakan. Dan persoalan yang jauh lebih penting, sejauhmana duit ini digunakan untuk kesejahteraan rakyat atau pun ianya akan digunakan untuk memberikan kemudaratan kepada rakyat pada masa akan datang. Jika ini berlaku, jelaslah kerajaan negeri cuba menzalimi rakyatnya sendiri umpama si tikus membaiki labu!

Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor

About Mohamad Satim Diman

Ketua UMNO Bahagian Puchong (2004 -sekarang), Ahli Dewan Undangan Negeri Kaw Seri Serdang (2004-sekarang)
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

3 Responses to Polemik Akta ISA: Kerajaan Selangor seperti tikus membaiki labu

  1. Nik Saufi says:

    Wajarkah duit rakyat selangor digunakan untuk membiayai kempen parti politik? Apa sudah jadi dengan kerajaan selangor ni???

  2. syukri says:

    ini baru dikatakan merakyatkan ekonomi selangor….

  3. HAIRUL SHAZNI says:

    duit rakyat disalahgunakan.buat macam duit sendiri.rakyat nak cari duit bukan senang,tapi kerajaan negeri selangor senang2 je menghabiskan duit rakyat.buat tak fikir pakai otak.ikut sedap tekak masing2.kembalikan selangor kepada BN.hanya BN sahaja memahami suara rakyat dan membela nasib rakyat,mari lah kita semua rakyat negeri selangor pilih semula BN.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s